Empat perkara terbaik perlu diamalkan


Share on Tumblr
Empat perkara terbaik perlu diamalkan

Ahli bijak pandai ada berkata, empat perkara berikut adalah baik, namun daripadanya ada yang lebih baik lagi iaitu:

* Perasaan malu seorang lelaki itu baik, namun bagi wanita ia adalah lebih baik.

* Sifat adil seseorang itu baik, namun adil dalam kalangan pemimpin lebih baik.

* Taubat oleh seorang tua itu baik, tapi dilakukan oleh orang muda lebih baik.

* Dermawan bagi orang kaya itu baik, tapi bagi orang fakir ianya lebih baik.

Pengertian baik pada teks ini adalah dari aspek kualiti, bukan saja terpuji di dunia, bahkan di akhirat mendapat pahala.

Malu atau segan melakukan sesuatu kerana khuatir tercela dan jatuhnya maruah diri lebih besar bagi kaum Hawa berbanding kaum Adam. Sebabnya, wanita memang diciptakan dengan sifat semula jadi seperti itu, termasuklah sifat pengasih dan penyayang.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Iman itu ada tujuh puluh cabang lebih dan malu adalah satu cabang iman."

Namun, sesetengah orang sudah hilang rasa malu. Disebabkan itu, pelbagai tingkah laku tidak senonoh menonjol di tengah masyarakat. Sifat malu sangat penting untuk dimiliki, malah Nabi SAW sendiri seorang insan yang sangat pemalu.

Seterusnya, adil sifat dan tindakan tepat mengikut selayaknya, tidak berkurang dan berlebihan. Sifat terpuji itu dituntut kepada semua orang, terutama pemimpin dan ketua, baik di peringkat jabatan, organisasi dan syarikat mahupun wilayah, negeri dan negara.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: "Tiga orang yang tidak ditolak doanya iaitu pemimpin yang adil, orang berpuasa ketika dia berbuka dan orang yang dianiaya. Allah mengangkat doa-doa itu ke awan dan pintu-pintu langit dibuka."

Malah, baginda turut menegaskan, penguasa atau hakim yang adil adalah seorang daripada tujuh golongan yang akan mendapat naungan di bawah payung Allah di hari kiamat.

Taubat adalah kembali kepada Allah, meninggalkan belenggu dosa dan mengerjakan suruhan-Nya.

Pada pandangan tasawuf, taubat wajib bagi setiap manusia. Bertaubat di usia muda adalah lebih baik, berbanding di usia senja kerana selalunya ketika muda ramai menangguhkannya akibat lemas dibuai keseronokan.

Dalam satu hadis diriwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Allah membentangkan tangan-Nya pada malam hari untuk menerima taubat orang yang bersalah siang hari dan membentangkan tangan-Nya siang hari untuk menerima taubat orang bersalah pada malam hari sehingga matahari terbit di barat."

Seterusnya, sifat dermawan itu pula memberikan sesuatu yang baik kepada orang lain tanpa mengharapkan ganjaran. Ia sikap terpuji, digalakkan kepada sesiapa jua, tidak mengira lelaki mahupun wanita, bangsa dan agama.

Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Jagalah dirimu daripada api neraka meskipun hanya dengan sedekah separuh biji kurma. Jika tidak dapat (bersedekah benda), dengan kalimah baik."

Empat perkara terbaik perlu diamalkan

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.