Cinta Kampus - Cinta perlu ada matlamat


Share on Tumblr Semalam kita bertemu,
Semalam jua kita bersua muka,
Kau berikan janji manis,
Kau semaikan kasih yang mesra,
Lalu kita meraikan cinta yang baru bersemi,
Tanda kasih mula berputik.


Begitulah bait-bait sajak yang sering dilafazkan oleh pasangan bercinta. Cinta sebenarnya mempunyai makna yang luas. Dalam konteks cinta di kampus, masyarakat sering mengaitkannya dengan cinta sesama mahasiswa atau pelajar. Kadangkala cinta di kampus turut dikaitkan dengan masalah sosial.

Pensyarah Jabatan Psikologi dan Awal Kanak-kanak Universiti Malaya, Dr. Mariani Md Nor berkongsi pengetahuannya tentang pengertian sebenar cinta di kampus.

Menurut Dr. Mariani, cinta atau kasih sayang manusia merangkumi elemen tanggungjawab, komitmen dan keghairahan.

“Cinta di kampus umumnya melibatkan mahasiswa. Seseorang itu memerlukan sokongan sosial dan emosi terutama pelajar. Lumrahnya, pelajar banyak tugasan, masalah dengan kawan serumah, sekolah dan pensyarah. Faktor-faktor inilah yang mendorong mereka mencari bantuan dan sokongan moral,” jelasnya.

Dr. Mariani memberitahu, seseorang pelajar sama ada lelaki atau perempuan perlu memahami hati budi seseorang untuk mendapat sokongan.

Sebagai contoh, apabila berlaku interaksi antara perempuan dan lelaki, maka bermulalah hubungan.

“Interaksi ini melibatkan luahan masalah dan masing-masing akan memberi maklum balas. Selepas itu, timbul perasaan ingin berjumpa kerana mereka saling mengingati,’’ ujarnya.

Jelasnya, inilah yang dikatakan ke arah keintiman dan apabila mereka sudah mula mempercayai, akan timbul tarikan seks.

Dr. Mariani mengakui, cinta di kampus sering dikaitkan dengan seks bebas seperti melakukan hubungan seks di tempat tersorok.

Tambahnya, cinta seperti ini hanya dikenali sebagai cinta berahi kerana ia tidak bermatlamat untuk berakhir hingga ke alam perkahwinan.

“Terdapat banyak sebab yang mendorong ke arah wujudnya cinta di kampus. Antaranya untuk membantu diri pelajar menyiapkan tugasan.

“Selain itu ia juga berpunca dari segi keselamatan. Merujuk kepada teori Maslow, manusia bukan sahaja memerlukan keperluan asas tetapi mereka turut mengutamakan aspek keselamatan,” katanya.

Menurut beliau, seseorang itu akan berasa selamat apabila terdapat orang yang menjaganya dan hanya orang yang memahaminya boleh memberikan pengiktirafan seperti itu.

“Malah, setiap manusia juga memerlukan penghargaan. Apabila kita bercinta, secara lazimnya orang yang bercinta sentiasa memuji pasangannya.

“Keadaan seperti ini akan melahirkan ketenangan, keadaan yang selesa dan emosi yang stabil,” ujarnya.

Dr. Mariani turut mengambil contoh para pelajarnya yang berada dalam keadaan gembira walaupun hanya mendapat markah C kerana mereka ini mendapat sokongan moral daripada pasangan.

Beliau menegaskan, cinta sejati yang ingin dibentuk oleh pelajar-pelajar perlu berlandaskan pegangan agama yang kukuh.

“Cinta sering dikaitkan dengan keghairahan walaupun belum ada ikatan yang sah kerana ia adalah fitrah manusia.

“Sekiranya setiap pelajar itu sentiasa ingat akan Penciptanya, perkara-perkara maksiat boleh dielakkan,” katanya.

Dr. Mariani berkata, masyarakat sering mengaitkan cinta di kampus dengan aktiviti berdua-duaan di tempat-tempat sunyi.

“Sebab itulah pasangan yang bercinta perlu tahu apa sebenarnya matlamat mereka kerana cinta di kampus itu sebenarnya luas.

“Bukan menjadi satu kesalahan bercinta, tetapi mereka perlu menjaga perlakuan, tidak melanggar batas-batas agama dan tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai pelajar dan anak,” nasihatnya. Cinta Kampus - Cinta perlu ada matlamat

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.