Fahami jenis-jenis bahan bualan


Share on Tumblr Kebanyakan daripada kita suka berbual mesra dengan sahabat handai sama ada di tempat kerja, di waktu rehat, semasa menunggu waktu mengambil anak dari sekolah ataupun semasa menikmati juadah hidangan . Maka banyaklah perkara yang menjadi pojok perbualan kita dari politik, sukan, harga barangan, menu masakan, cuaca, hal ehwal dunia mahupun tempatan.

Tapi tahukah kita apakah bentuk bahan perbualan atau perbincangan kita itu? Adakah ia khabar angin, spekulasi, gosip atau suatu keterangan dengar cakap? Cuba kita amati tiga situasi di bawah ini:

1) Ahmad sedang menantikan keputusan temu duga kerja yang amat diidamkan. Tiba-tiba kawan baik Ahmad sengaja memaklumkan dia telah berjaya. Sebenarnya Ahmad tidak berjaya.

2) Harga barangan melonjak naik sebaik saja ada berita yang diuar-uarkan bahawa kakitangan awam akan mendapat kenaikan gaji.

3) Joyah, seorang artis terkenal dikatakan kelihatan begitu intim dengan seorang lelaki yang jauh lebih muda daripadanya di sebuah tempat peranginan terkenal di Eropah.

Dalam situasi 1, Ahmad telah terpedaya dengan khabar angin yang telah dimaklumkan kepadanya. Ia juga berbentuk penipuan; dalam situasi 2 pula harga pasaran melonjak naik atas spekulasi kenaikan gaji kakitangan awam; dan dalam situasi 3, berita mengenai kelakuan artis terkenal Joyah adalah gosip sensasi yang mungkin sengaja diwujudkan bagi melariskan penjualan majalah hiburan.

Merujuk kepada ketiga-tiga situasi di atas tadi sekiranya pertikaian berlaku di antara pihak yang terlibat dan keadaan menyebabkan mereka terpaksa mengheret pertikaian tersebut ke muka pengadilan, persoalannya adakah informasi tersebut boleh digunakan di mahkamah?

Dengan lain perkataan adakah informasi tersebut melepasi syarat-syarat undang-undang keterangan iaitu “kaedah dengar cakap”.

Keterangan langsung (direct evidence) adalah jenis keterangan yang diberi secara lisan oleh seseorang secara langsung kepada mahkamah mengenai sesuatu fakta atau pemerhatian beliau sendiri mengenai sesuatu fakta.

Dengar cakap pula termasuk dalam golongan jenis keterangan yang tidak langsung (not direct evidence). Ia adalah suatu keterangan yang diberikan oleh seseorang saksi di dalam mahkamah mengenai sesuatu perkara yang didengarinya daripada pihak ketiga di mana pihak tersebut tidak dipanggil sebagai saksi. Keterangan yang diberikan oleh saksi tersebut adalah tidak boleh diterima pakai bagi membuktikan kebenaran fakta yang dinyatakan.

Mahkamah berpegang secara tegas kepada kaedah perundangan bahawa tiada sebarang keterangan dengar cakap boleh diterima pakai bagi membuktikan sesuatu perkara yang telah diperoleh melalui pihak ketiga.

Contohnya, Abu bertindak sebagai saksi dan menyatakan dalam mahkamah bahawa Dolah memberitahu beliau yang Dolah nampak Kadir yang mencuri basikal Maniam.

Dalam hal ini memandangkan pernyataan Abu mengenai kecurian itu adalah tidak berdasarkan pemerhatian pancaindera beliau sendiri maka beliau tidak layak membuat pernyataan tersebut.

Pernyataan Dolah pula telah dibuat di luar mahkamah dan oleh itu tidak boleh diterima. Ini kerana ia tidak mungkin dapat diuji kesahihannya melalui soalan balas dan cabaran oleh pihak satu lagi di dalam mahkamah. Besar kemungkinan Dolah tidak pernah berkata sedemikian.

Peraturan bagi menghalang keterangan dengar cakap daripada diterima ke dalam mahkamah adalah suatu peraturan yang telah sekian lama dibuat dan diterima pakai dalam semua negara sebagai prinsip fundamental yang tidak boleh dikompromi. Lord Normand, seorang Hakim kanan di United Kingdom telah menyatakan dalam kes Teper v R [1952] AC 480,486:

“Keterangan dengar cakap dihalang oleh sebab ia bukanlah suatu keterangan yang terbaik dan tidak dibuat berdasarkan sumpah dalam mahkamah. Kesahihan dan ketepatan kata-kata orang ketiga itu yang diucapkan oleh orang lain sebagai saksi tidak dapat diuji melalui soal balas. Tambahan lagi reaksi perwarakan beliau terhadap keterangan itu juga hilang begitu saja.”

Tambahan pula ada kecenderungan bahaya keterangan dengar cakap ini boleh di ada-adakan, diputarbelit atau ditempah khas menurut kehendak sesuatu pernyataan.

Justeru, demi mencapai keadilan dan tanpa menggugat perjalanan sesuatu perbicaraan maka mahkamah tidak membenarkan sebarang keterangan dengar cakap diterima sebagai bukti. Namun terdapat beberapa pengecualian yang dibenarkan oleh undang-undang terhadap kaedah dengar cakap ini.

Oleh itu jika anda terdengar sebarang khabar angin, spekulasi atau gosip hendaklah berhati-hati menyebarkannya. Bukan saja pernyataan itu semua adalah tanpa kredibiliti dan dengar cakap malah anda pula boleh diambil tindakan kerana bersubahat menabur fitnah.

Oleh: ABDUL HALIM SIDEK


- PROF. MADYA ABDUL HALIM SIDEK ialah seorang pakar Undang-Undang Jenayah, Kriminologi dan Keadilan Jenayah. Beliau berkhidmat di Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM). Fahami jenis-jenis bahan bualan

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.