Panduan Motivasi: Kejayaan dan kebahagiaan


Share on Tumblr
Kejayaan dan kebahagiaan menjadi idaman setiap insan tanpa mengira asal keturunan, pangkat, jawatan, kaya atau miskin, di desa terpencil atau di bandar raya kosmopolitan. Persoalan yang sering menghantui ialah  adakah kita perlu ‘berjaya’ dahulu untuk kemudiannya  menikmati apa yang disebut ‘kebahagiaan’?

Menurut Sayidina Ali bin Abu Talib:

Kebahagiaan ialah sesuatu yang dapat menghantar kepada kejayaan (syurga).



Ungkapan ini jelas menunjukkan bahawa kebahagiaan adalah alat untuk meraih kejayaan dan bukan sebaliknya. Sedangkan sebahagian besar kita berasa bahagia ketika mencapai kejayaan yang diimpikan.

Misalnya, kita berjaya meraih segulung ijazah, berjaya naik pangkat dan mendapat durian runtuh. Mana lebih tepat? Untuk itu, mari tanya diri yang mana lebih berharga, ‘pencapaian’ itu sendiri atau ‘perasaan bahagia’ kita.

Kita mendapat ijazah, tapi terfikir pula ramai yang sudah ada ijazah namun sulit mendapat pekerjaan, adakah kita berasa bahagia? Kita menjadi jutawan lalu mula bimbang harta akan diambil orang, adakah kita masih bahagia? Pasti jawapannya tidak. Maka, jelaslah bahawa bahagia yang kita cari bukan bergantung pada  ijazah, harta, wang atau apa-apa yang berbentuk fizikal.


Ini kerana, bahagia itu pada perasaan tenang, perasaan puas, perasaan kaya dan perasaan damai yang sebenarnya sudah diberikan secara percuma tanpa henti di dalam diri kita. Tidak perlu mengejarnya di mana-mana kerana kita boleh sahaja bahagia tanpa ijazah, tanpa wang dan tanpa harta melimpah.

Ertinya, kita selama ini sudah menemui ‘kejayaan’ tetapi tidak menikmati ‘rasa berjaya’ itu dalam diri setiap hari. Padahal jika kita mampu mengolah ‘rasa berjaya’ itu dalam setiap aktiviti hidup, pasti kita sudah pun menikmatinya. Ini kerana, kejayaan itu bukan satu pencapaian tetapi ia adalah hasil daripada rasa hati yang bahagia.

Ini bermakna, proses mencapai kejayaan itu lebih bermakna dalam menuju apa yang diimpikan, bukan hasil-nya semata-mata. Jika hati kita bahagia menurut Ali bin Abu Talib, hasilnya pasti kejayaan. Jika inilah prinsipnya, maka kita akan menjalani hidup dengan rasa kejayaan semata.

Bayangkan kita sudah berjaya dalam perjuangan pertama untuk menjadi manusia. Iaitu ketika kita dalam bentuk sel sperma... bersaing dengan 249,999,999 sel lain yang ingin bersatu dengan sel telur. Akhirnya kita berjaya menjadi janin dan lahir ke dunia ini.

Berpandukan rasa bahagia kerana berjaya lahir ke dunia ini seharusnya memacu kita menghargai kehidupan sebaiknya dalam setiap tindakan dan selalu bersyukur dengan apa yang diperolehi.

Hasilnya, kita akan berasa bahagia pada setiap saat lantaran kita sudah tahu apa yang diinginkan. Lebih penting, kita menyedari apa yang dilakukan itu adalah bagi mencapai apa yang kita mahukan.

Salah satu sebab kebanyakan kita sukar berasa bahagia ialah pekerjaan yang dilakukan tidak sesuai dengan visi dan misi hidup atau gagal membina visi dan misi hidup yang jelas. Lalu kita terus melakukan pekerjaan tersebut bertahun-tahun dan akhirnya baru menyedari ia tidak sesuai.

Kebanyakan kita melakukan pekerjaan dengan alasan pendapatan, apatah lagi jika bayarannya besar tanpa perlu memikirkan sama ada ia sesuai atau tidak. Kita menerima analogi, jika berpendapatan besar, pasti kita akan bahagia kerana tiada masalah kewangan.

Tetapi sebenarnya jarang berlaku sedemikian secara amalinya. Pekerjaan yang tidak sesuai dengan visi dan misi peribadi akan menyebabkan ia gagal memberi kebahagiaan. Malah, pekerjaan itu menjadi beban berat buat kita.

Selagi pekerjaan tersebut belum serasi dengan visi dan misi peribadi, selagi itulah kita berasa serba kekurangan. Semakin tinggi jawatan yang dipegang, kian kering ertinya buat kita.

Sepatutnya, kita mengejar kejayaan untuk menghilangkan rasa sakit dan terbeban. Semaklah perasaan. Jika kita berasa bahagia dan lapang, maka kejayaan akan bersama kita hingga hujung nyawa.   

~DR ROBIAH K.HAMZAH
Panduan Motivasi: Kejayaan dan kebahagiaan

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.