Mencari hubungan penuh makna


Share on Tumblr
Mencari hubungan penuh makna

Dalam kehidupan saban hari, kita sentiasa berhubungan dengan orang di sekeliling kita sama ada yang sudah lama dikenali ataupun baru pertama kali bersua muka.

Suka atau tidak, kita perlu berinteraksi dengan pelbagai jenis ragam manusia. Sebagai manusia yang hidup bermasyarakat, kita tidak boleh mementingkan kehendak diri semata-mata tetapi harus mengamalkan sifat murni dan bersikap bertolakansur.

Manusia sememangnya dikenali sebagai makhluk yang gemar bersosial dan tidak mungkin boleh hidup berseorangan biarpun dicuba.

Ini kerana sebagai manusia, kita mahu dihargai, disayangi dan meluahkan apa yang terbuku di hati atau kotak fikiran.

Mungkin disebabkan itu, keluarga, sahabat-handai dan pasangan menjadi insan yang paling penting buat kita.

Namun pada zaman materialistik ini, kejayaan individu seakan-akan diangkat lebih tinggi berbanding perhubungan baik dengan keluarga dan orang sekeliling.

Akibatnya, biarpun setinggi mana pencapaian seseorang, sekiranya tidak mempunyai perhubungan baik dengan manusia, ia akan berasa keseorangan dan hidup terasa kurang bermakna.

Bukankah lebih bermakna sekiranya anda mempunyai hubungan yang rapat dengan keluarga, disayangi pasangan dan dihormati serta dikasihi rakan anda?

Panduan berikut mungkin boleh dijadikan renungan bagi mengukuhkan hubungan silaturahim dengan orang di sekeliling.

* BELAJAR UNTUK MENDENGAR DAN MEMAHAMI

Kita sering mendengar rungutan orang yang kurang berpuas hati apabila pendapatnya tidak didengari atau dihargai. Itulah yang dimahukan mereka, hanya penghargaan menerusi kesediaan kita mendengar keluh-kesah yang mereka mahu lontarkan.

Oleh itu, apa salahnya kita meluangkan sedikit masa hanya untuk mendengar apa saja yang ingin diluahkan oleh orang di sekeliling, bukannya hanya mahu orang mendengar luahan kita saja.

Sesekali kita perlu memberi kesempatan kepada orang lain meluahkan apa saja dan kita hanya bertindak sebagai pendengar dan memahami luahan mereka dalam usaha membina satu hubungan yang kukuh.

Apabila mendengar luahan hati seseorang, biarlah ia dilakukan dengan pemikiran terbuka dan berhenti menghukum atau membuat kesimpulan, sebaliknya mendengar dengan empati.

Secara tidak langsung, anda juga akan dihargai dan mereka juga tidak akan teragak-agak untuk mendengar luahan hati anda pula apabila keadaan memerlukan anda berbuat demikian.

* PERCAYA PADA ORANG

Agak sukar meletakkan kepercayaan pada orang lain terutama sekiranya kita pernah disakiti pada masa lalu. Mereka yang baru gagal bercinta selalunya antara golongan yang paling sukar meletakkan kepercayaan pada orang lain.

Bagaimanapun sekiranya ingin memiliki hubungan yang kukuh dengan sesiapa saja, kita perlu mempunyai kepercayaan kepada mereka.

Tidak mempercayai orang lain bermakna anda sentiasa berasa risau terhadap apa yang difikirkan atau diperkatakan orang lain mengenai diri anda apabila anda tidak ada bersama mereka.

Ini bermakna anda akan lebih memantau dan mengawal keadaan sedangkan anda sepatutnya bergembira mempunyai kenalan.

Tidak ada sebarang jaminan dalam hidup, anda tidak tahu siapa yang akan menyakiti atau merosakkan kepercayaan anda. Anda hanya perlu menikmati setiap saat kehidupan dengan tenang dan gembira supaya mendapat kualiti hidup yang terbaik.

* JUJUR DENGAN KEHENDAK DIRI SENDIRI

Pernahkah anda berasa kecewa apabila orang yang anda harapkan sebenarnya tidak seperti yang disangka-sangka selama ini? Mungkin ibu bapa anda sendiri pernah melakukan perkara yang mengecewakan anda. Mungkin juga buah hati anda tidak memahami anda sehingga membuatkan anda kecewa.

Namun sekiranya difikirkan semula, kita tidak sepatutnya berasa kecewa kerana kita sendiri tidak pernah memaklumkan kepada mereka apa yang kita suka atau tidak. Bukannya menyalahkan mereka kerana tidak tahu membaca fikiran kita.

Apabila kita mahukan sesuatu atau berkongsi sesuatu dengan orang lain, luahkan apa yang boleh membuatkan anda berasa tidak selesa. Meluahkan apa yang dimahukan mungkin pada mulanya rasa tidak selesa tetapi ia membuatkan orang lain faham apa yang anda mahukan dan kemungkinan besar akan mengelak sesuatu yang anda tidak suka.

* JADILAH SEORANG YANG PEMURAH

Selalunya kita sering meminta tetapi jarang memberi, bukan saja dari segi wang ringgit tetapi juga dari segi emosi dan pengetahuan. Biarpun manusia secara asasnya mempunyai sikap pentingkan diri sendiri, kita harus membuang perasaan tamak sebaliknya bersikap lebih pemurah kepada orang di sekeliling kita.

Dalam perhubungan yang sihat dan kukuh, kita tidak boleh mengamalkan sikap menerima saja sebaliknya perlu bersedia memberi. Sekiranya anda mengambil sikap pentingkan diri sendiri tanpa memikirkan orang lain, tidak mungkin sesiapa pun akan terus kekal di sisi anda.

Oleh itu, `melaburkan' diri sendiri dalam sesuatu perhubungan dapat memastikan ia berjaya, kekal dan kukuh. Buat orang rasa gembira, curahkan perhatian tidak berbelah bahagi, cari masa untuk mereka dan anda akan dihargai dan disayangi oleh orang di sekeliling anda.

* LEPASKAN KEHENDAK UNTUK TAMPIL SENTIASA BETUL

Apabila kita tidak bersetuju dengan seseorang, kita akan menjadi marah. Apabila kita tidak sukakan sesuatu, kita menghukum.

Apabila kita rasakan diri arif mengenai sesuatu, kita akan memberi nasihat yang dirasakan terbaik. Secara kesimpulannya, kita rasa bangga sentiasa betul dan membuatkan orang lain berasa salah.

Namun dalam perhubungan, tidak ada orang yang suka diarah-arah atau diberitahu apa yang perlu dibuat kecuali mereka yang meminta nasihat daripada anda. Sekalipun mereka meminta nasihat, mereka mahu anda bersikap memahami bukannya menghakimi.

Jangan sesekali memaksa orang untuk menerima pendapat kita. Jangan mendesak, suka menang atau gemar menyalahkan orang lain, tidak kisah apa pun yang anda rasakan. Biarpun anda sememangnya berada di pihak yang betul, anda perlu faham bahawa setiap orang mempunyai pandangan mereka sendiri.

Cuba mendengar tanpa menghukum pendapat orang lain sekiranya anda mahu pendapat anda dihormati.

Kesimpulannya dalam dunia hari ini, semakin ramai orang yang mementingkan diri sendiri hingga perhubungan dengan orang sekeliling menjadi rapuh. Sekiranya hanya terlalu memikirkan mengenai diri sendiri, sudah pasti anda akan keseorangan menempuh setiap cabaran dalam kehidupan ini.

Cara terbaik membina hubungan kukuh dengan orang sekeliling adalah sentiasa berfikiran positif dan berusaha menjaga hati serta perasaan orang lain.

Majalah Metro
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
Mencari hubungan penuh makna

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.