Kawan baik menabur fitnah


Share on Tumblr
Sahabat baik suka fitnah

Nama saya Zara (bukan nama sebenar) dan mempunyai seorang kawan baik yang saya panggil sebagai Julia (bukan nama sebenar). Dia memiliki wajah yang cantik dan mempunyai personaliti menarik serta mudah menarik perhatian sesiapa sahaja yang melihatnya.

Saya cuma gadis biasa yang berasal daripada keluarga susah, manakala Julia pula anak tunggal yang berasal daripada keluarga berada.

Masalah yang saya hadapi sekarang ialah saya sudah tidak selesa berkawan dengan Julia kerana dia seolah-olah cemburu dengan kejayaan saya dalam pelajaran dan sering memperlekeh minat serta cita-cita saya.

Semuanya bermula apabila saya berjaya mendapat 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dua tahun lalu manakala dia cuma berjaya mendapat 6A 2B.


Walaupun mendapat keputusan cemerlang, saya tidak memohon menyambung pelajaran ke mana-mana Sekolah Berasrama Penuh (SBP) kerana tidak mahu membebankan keluarga yang perlu menanggung kos persekolahan saya di SBP kelak.

Setiap kali saya bercakap mengenai cita-cita untuk menyambung pelajaran ke universiti di luar negara pula, Julia akan memperlekeh dan mentertawakan saya.

Katanya, saya terlalu bercita-cita tinggi sedangkan keluarga saya belum tentu mampu untuk menampung kos pengajian saya kelak.

Mungkin baginya orang seperti saya tidak layak mempunyai minat atau cita-cita melangit seperti dirinya. Bukan sekali dua dia mengejek cita-cita saya malah berkali-kali juga dia menjadikan keinginan saya itu sebagai bahan lawak bersama-sama rakan-rakan lain.

Tidak cukup dengan tindakan memperlekeh cita-cita saya, Julia juga sudah mula membuat pelbagai cerita mengenai saya antaranya saya ini mempunyai teman lelaki di sekolah dan sering berjumpa dengan lelaki berkenaan di kawasan sekolah.

Saya dapati semua tindakan itu dibuat bagi membuatkan saya merasa tertekan sekali gus tidak dapat menumpukan perhatian ketika berada di dalam kelas atau mengulang kaji pelajaran.

Sekiranya saya hilang tumpuan, pastinya pencapaian saya dalam pelajaran juga akan merosot sekali gus memberi peluang kepadanya untuk menandingi dan mengatasi saya di dalam kelas.

Tidak dinafikan, sedikit sebanyak tindakan Julia itu memang menjejaskan prestasi akademik saya malah saya berasa sangat marah dengan cerita rekaannya itu.

Saya kerap terfikir untuk memutuskan hubungan persahabatan kami kerana bagi saya sudah tidak bermakna berikutan dia sering memalukan saya dan tidak menghargai saya sebagai sahabatnya lagi.

-----------------

Terima kasih kerana sudi berkongsi luahan rasa dalam ruangan ini. Sudah menjadi lumrah dalam persahabatan, pastinya ada sahabat yang kadangkala boleh menerima diri seadanya atau sebaliknya. Persahabatan kadangkala boleh menjadi racun dan penawar.

Dalam kes adik ini, cubalah berbincang mengenai perkara ini dengan kawan baik dan meminta pandangan daripada guru kaunseling untuk mengatasinya.

Setiap orang ada kelebihan dan kekurangan tersendiri jadi anda jangan sesekali menyimpan rasa dendam dan sakit hati terhadap kawan baik kerana akan membuatkan hati adik semakin sakit tanpa penawar.

Cuba untuk memaafkan setiap apa-apa yang orang lain lakukan kepada adik. Buang perasaan itu supaya kehidupan adik akan menjadi lebih tenang dan tenteram.

Jika kita mendoakan kebaikan untuk orang lain, pastinya akan datang kebaikan untuk kita pada masa depan. Semoga dengan doa, kawan baik adik akan menyedari kesalahannya satu hari nanti.

Oleh Kak Azma

Kawan baik menabur fitnah

2 Komen:

nur faraharil berkata...

kawan baik tidak semestinya baik kadangkala kita rasa hendak marah sahaja kadang2 sampai merapu2 cakap jadi apabila kita sedang marah satu je benda yang boleh menenangkan kita yaitu ADALAH istifar banyak2 baru lah hati kita rasa lega tenang kalau tak nak istifar pun ada lagi satu cara yaitu bersembahyang meminta maaf kepada ALLAH meminta maaf kepada rakan/kawan

Tanpa Nama berkata...

kenapa dia org suka menabur fitnah

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.