Cintailah Rasulullah


Share on Tumblr Dalam kitab Shahih Bukhari, terdapat hadis yang mengetengahkan kepentingan mencintai Rasulullah yang berbunyi: “Tidak sempurna iman di kalangan kamu hingga aku lebih dicintainya daripada ibu bapanya, anaknya dan manusia keseluruhannya.”

Hadis itu membawa maksud setiap mukmin berkewajipan meletakkan kecintaan dan kasih pada Rasulullah mengatasi segala-galanya. Mengikut iktiqad ahli sunnah wal jamaah, Nabi Muhammad adalah insan yang paling afdhal di sisi Allah.

Baginda adalah insan pilihan Allah s.w.t untuk menyampaikan risalah Islam buat umat sejagat. Demi menyelamatkan akidah umat, baginda sanggup berdepan dengan pelbagai cabaran yang menuntut seribu satu pengorbanan.

Allah menceritakan peranan Rasulullah dalam satu ayat bahagian yang terakhir daripada surah at-Taubah: “Sesungguhnya sudah datang kepada kamu seorang rasul daripada kalangan kamu, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan keimanan dan kebahagiaan bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang beriman.”

Nabi Muhammad adalah insan pilihan Allah. Baginda dicipta dengan seindah-indah ciptaan. Baginda dihiasi rupa paras yang menawan, akhlak yang terbaik dan sebagai manusia yang memiliki pelbagai kehebatan.

Sahabat Rasulullah amat mengenali peribadi baginda hingga ke akar umbi. Pergaulan mereka dengan Rasulullah menghasilkan satu momentum besar dalam diri dan melakarkan kenangan yang kekal abadi di dalam sanubari mereka.

Sahabat mengambil inisiatif untuk memuliakan baginda dan mencontohi sunnah yang dibawanya.

Kata-kata sahabat adalah ungkapan yang paling tepat untuk dijadikan rujukan dalam hal bagaimana bentuk penampilan, budi pekerti, gaya kepimpinan dan sebagainya mengenai Rasulullah. Berikut sebahagian informasi yang diberikan sahabat berkaitan kemuliaan Rasulullah:


  • Berkata Aisyah, isteri Rasulullah tercinta: “Adalah akhlak Rasulullah (gambaran) al-Quran.”


  • Berkata Anas b Malik : “Tidak ada seorang pun yang bercakap-cakap dengan Rasulullah kecuali orang itu terlebih dahulu beredar sebelum Rasulullah beredar (tatkala selesai berbual kerana baginda ingin menyenangkan hati orang itu). “Tiada seorang pun yang berjabat tangan dengan Rasulullah melainkan orang itu yang terlebih dahulu melepaskan tangannya (daripada tangan baginda yang mulia ).”Rasulullah adalah orang yang pertama memulakan salam kepada mereka yang dijumpainya dan orang pertama mendahului menghulurkan tangan untuk berjabat tangan dengan mereka.Pernah baginda menghamparkan pakaian miliknya dan menghulurkan bantal (alas duduk) kepada tetamu (sebagai adab meraikan tetamu).


  • Anas memuji lagi baginda dalam hadis yang lain: “Aku tidak pernah mencium sesuatu haruman yang lebih wangi sama ada anbar atau wangian kasturi atau sumber yang lain yang terlebih harum daripada wangian badan Rasulullah.


  • Berkata Al-Baraa’: “Adalah Rasulullah orang yang paling menawan wajahnya dan baik akhlaknya.”


  • Jabir b Abdullah meriwayatkan bahawa suatu ketika ketika bulan terang benderang: “daku sedang menatapi kepada wajah Rasulullah (yang berada di samping) dan juga ke arah bulan, tetapi mengikut pandanganku wajah Rasulullah terlebih indah daripada bulan.”


  • Saidina Ali menegaskan bahawa beliau tidak pernah melihat sesiapa pun yang terlebih kacak dan segak sama ada sebelum bertemu Rasulullah dan selepas bertemu yakni dalam tempoh sepanjang hayatnya.


  • Berkata Ibnu Abbas: “Adalah Rasulullah insan yang amat pemurah.”


  • Berkata Saidina Husin: “Rasulullah sentiasa tersenyum. Budi pekertinya indah dan baik, seorang yang merendah diri, tidak berlaku kasar, tidak bersuara keras, tidak melakukan dan mengucapkan dengan perkara keji.”Semua ini sekadar secebis daripada ribuan ciri-ciri keistimewaan junjungan besar Nabi Muhammad. Sahabat tidak rela berpisah dengan Rasulullah walaupun sesaat.Apabila Rasululah dijemput pulang menghadap Allah, mereka diselubungi perasaan sangat sedih. Sahabat hampir hilang kawalan dan menangis tidak henti-henti melihat pemergian kekasih mereka yang banyak berjuang selama ini demi menyelamatkan mereka daripada menjadi bahan bakar neraka.Perutusan Nabi Muhammad amat bermakna buat umat manusia. Dengan kedatangan baginda manusia mula mengenali erti tamadun yang sebenar. Tanpa tunjuk ajar baginda, manusia hilang identiti sebagai insan berakal serta hilang arah dalam mengenali erti peradaban yang diredai Allah. Baginda berjaya mengubah alam kekufuran yang menghantui manusia dengan sinaran tauhid dan rahmat.

    Allah mengutuskan Nabi Muhammad dengan slogan ‘saiyyidul mursalin wa khatamun nabiyiin’ - penghulu rasul dan utusan terakhir untuk menyampaikan Islam kepada seluruh manusia.

    Baginda bersungguh-sungguh, berjihad, berkorban apa sahaja dalam menyampaikan amanat Allah supaya manusia akhirnya akur kepada pencipta mereka yang maha agung.

    Firman Allah di dalam surah Ahzab: “Wahai nabi! Sesungguhnya kami mengutuskan kau sebagai saksi umat manusia, pemberi berita gembira (mengenai ganjaran beramal soleh) dan pemberi ancaman (terhadap mereka yang ingkar). Serta penyeru kepada Allah dengan keizinan-Nya dan sebagai cahaya yang memerangi alam.” (ayat 45 dan 46: surah al-Ahzab)

    Jasa Rasulullah terlalu besar untuk dihitungkan. Rasulullah pernah terseksa demi kebahagiaan umat Islam. Sirah mendedahkan bahawa Rasulullah pernah tercedera dan patah gigi dalam perjuangan dakwah.

    Rasulullah pernah dihina dan diancam melalui percubaan bunuh oleh golongan kafir yang menentang risalah Islam. Tanpa Rasulullah kita tidak mengenal apa itu Islam, siapa pencipta alam ini dan akhirnya kita terus terbelenggu dengan rantaian kekufuran. Persoalannya, adakah majoriti umat Islam mengasihi dan menghargai pengorbanan baginda? Apakah muslimin dan muslimat benar-benar mengamati peribadi Rasulullah selaku insan pilihan?

    Sebagai membuktikan kecintaan kita pada Nabi Muhammad, kita perlu mengorak langkah berikut:


  • Sedarilah as-sunnah adalah peninggalan berharga kepada umat Islam. Mengamalkan sunnah Rasulullah sebagai tanda kita mengasihi baginda. Sabda Rasulullah: “Barangsiapa taat kepadaku (mengamalkan ajaran Islam yang terkandung di dalam as-sunnah), maka ia sesungguhnya taat kepada Allah. Firman Allah: “Katakanlah wahai Muhammad (kepada umatmu) seandainya kamu mencintai Allah (sebagai buktinya) ikutilah (sunnah) aku.” (ayat 31 : surah al-Baqarah ).


  • Memperbanyakkan ucapan salam sejahtera pada Rasulullah, iaitu selawat. Baginda amat kasih pada mereka yang banyak berselawat kepada baginda.Sabda Rasulullah: “Barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, nescaya Allah akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.”


  • Janganlah memperkecil-kecil, menghina dan menpertikai Rasulullah, keluarganya dan sahabatnya. Perbuatan itu boleh membatalkan iman.Justeru, menjadi tanggungjawab kita untuk sensitif, prihatin dan membela kekasih Allah sebagai bukti kecintaan kita kepadanya.Dengan tiga inisiatif yang disebutkan tadi, dapatlah kita amalkan supaya dipermudahkan kita masuk syurga bersampingan dengan Rasulullah yang mulia.Ulama menyatakan, nikmat dan ganjaran paling berharga di syurga ialah dapat melihat Allah. Di samping itu, nikmat yang tiada taranya ialah berpeluang bersama Rasulullah.

  • Oleh Muhd Yusry Affandy Yusuff al-Hafiz

    ~ Penulis adalah pengajar di Maktab Mahmud, Alor Star. Cintailah Rasulullah

    2 Komen:

    Tanpa Nama berkata...

    terima kasih..cerita ini telah menyedarkan sy supaya mencintai Allah dan Nabi Muhammad lebih dari segala-galanya..sebelum ini,sy terlalu mencintai seorang perempuan sehingga lupa pada agama.byk dosa yg telah sy lakukan bersamanya.dan dia telah pun meninggalkan sy..sy mahu bertaubat.

    tulislah lbh byk tentang peribadi nabi supaya sy dpt mengikuti sunnah-sunnah nabi supaya memberi pedoman kpd umat islam sejagat.

    Tanpa Nama berkata...

    Kecintaanmu kepada umat ini selalu engkau contohkan dlm sunahmu ya Rasulullah, untuk menyelamatkan manusia dari kekufuran engkau berkorban apa saja, ya allah baginda rasul tdk menuntut apa apa dari pengorbana beliau, beliau melakukan ini semua hanya ingin menyelamatan manusia dari kekufuran, ya allah berilah aku kekuatan untuk mencintai beliau hanya itu lah cara terbaik umat ini utk menyadari betapa cintanya rasul kepada kita

    Selepas Baca, Sila Komen

    Artikel Terkini

    Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.