Berinteraksi Dengan Insan Berkerusi Roda


Share on Tumblr Dalam kehidupan seharian, kita tidak dapat mengelak untuk berhadapan dengan insan kurang upaya terutamanya mereka yang menggunakan kerusi roda. Mereka mungkin salah seorang rakan baik, rakan sekerja, ataupun jiran yang tinggal setempat dengan anda. Oleh itu, jangan sesekali memperlekehkan mereka.

Terdapat pelbagai sebab yang menyebabkan seseorang itu perlu menggunakan kerusi roda. Ini termasuklah kehilangan keupayaan untuk bergerak mahupun sementara seperti baru selesai menjalani pembedahan.

Apabila berhadapan dan berurusan dengan insan sebegini, anda perlu tahu bahawa mereka mempunyai keupayaan dan kebolehan yang berbeza antara satu sama lain. Walaupun menggunakan kerusi roda, sesetengah dari mereka boleh menggunakan lengan dan tangan. Ada juga yang boleh bangun dari kerusi roda malah ada juga yang boleh berjalan dalam jarak tertentu. Tetapi ada juga yang tidak berupaya untuk melakukan sebarang pergerakan fizikal kerana lumpuh.

Berikut beberapa tips penting yang perlu anda ingat apabila berinteraksi dengan insan yang menggunakan kerusi roda atau mempunyai kecacatan fizikal.

1. Mereka yang menggunakan kerusi roda ialah manusia dan bukannya sejenis barang kelengkapan. Oleh itu, apabila bersama mereka, jangan sesekali melindungi mereka yang berada di kerusi roda apabila mahu berjabat tangan dengan orang lain. Jangan juga sesekali meminta insan berkerusi roda ini menjadi pemegang barang anda.

2. Minta kebenaran terlebih dahulu dan jangan sesekali menolak atau menyentuh kerusi roda seseorang dengan sesuka hati. Tahukah anda kerusi roda tersebut boleh diibaratkan sebagai harta atau ruang peribadi mereka. Walaupun anda mempunyai niat baik seperti mahu menolong menolak kerusi roda mereka ini tanpa diminta, tahukah niat anda itu menjadi kesusahan buat diri insan yang berkerusi roda ini. Satu perkara yang mungkin anda buat ialah anda mungkin secara tidak sengaja akan tertolak atau membuatkan mereka terjatuh dari kerusi roda yang sedang mereka duduki itu. Bukan itu sahaja, anda juga mungkin boleh menyebabkan salah satu bahagian kerusi roda seperti tempat meletak tangan atau tempat kaki kerusi roda itu tercabut secara tidak sengaja. Ini sudah tentu menyusahkan empunya kerusi roda itu sendiri.

3. Pastikan laluan khas untuk mereka yang berkerusi roda dan juga pintu yang boleh digunakan dengan mudah oleh insan ini tidak dikunci mahupun dihalang.

4. Beri perhatian kepada had capaian pengguna kerusi roda. Letakkan barang-barang keperluan di tempat yang boleh dicapai oleh mereka ini. Patikan juga tempat laluan untuk mencapai barang-barang tersebut tidak dihalang.

5. Apabila bercakap dengan pengguna kerusi roda, ambil sebuah kerusi dan duduk sama tinggi dengan mereka ini. Jika boleh jangan berdiri agak jauh daripada mereka. Ini supaya insan yang berkerusi roda ini tidak sakit leher kerana terpaksa mendongak untuk bercakap dengan anda.

6. Jika bangunan anda mempunyai laluan lain bagi pengguna kerusi roda , pastikan bahawa tanda-tanda berkaitan penggunaan kerusi roda itu merupakan cara paling senang dan mudah buat mereka. Selain itu, orang kurang upaya yang menggunakan tongkat atau topang tangan juga perlu tahu cara yang paling senang untuk bergerak di dalam bangunan tersebut. Pastikan juga bahawa pengawal keselamatan dan penyambut tetamu anda mampu menjawab sebarang pertanyaan mengenai cara yang paling mudah untuk bergerak di dalam premis anda.

7. Mereka yang menggunakan tongkat mahupun topang tangan memerlukan tangan dan lengan mereka untuk seimbangkan badan. Oleh itu, jangan sesekali menarik mereka dengan sesuka hati. Orang kurang upaya sebegini mungkin juga memerlukan diri mereka bersandar pada pintu bagi mendapatkan bantuan semasa menolaknya. Oleh itu berhati-hati ketika keluar atau masuk di pintu. Menolak atau membuka dengan cepat mungkin boleh menyebabkan insan kurang upaya ini terjatuh dengan mudah.

8. Jika anda menawarkan tempat duduk kepada orang kurang upaya, pastikan anda ingat bahawa kerusi yang mempunyai pemegang tangan lebih mudah untuk digunakan oleh mereka.

9. Terjatuh merupakan satu masalah besar bagi mereka yang kurang upaya. Oleh itu pastikan anda meletakkan tanda-tanda amaran yang bersesuaian selepas mencuci dan mengelap lantai. Ketika hari hujan pula, jangan lupa untuk meletakkan pelapik kaki supaya lantai sentiasa kering. Namun begitu, pastikan juga pelapik lantai tersebut tidak menyebabkan kesukaran kepada pengguna kerusi roda. Berinteraksi Dengan Insan Berkerusi Roda

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.