Remaja hati-hati dengan jerat cinta


Share on Tumblr Oleh ROSLAH OTHMAN

“CINTA itu adalah perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap diri manusia, ia laksana setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci. Cuma tanahnya yang berlain-lain menerimanya. Jika ia jatuh ke tanah yang tandus, tumbuhlah kedurjanaan, kedustaan, penipu, langkah serong dan lain-lain perkara tercela. Tetapi jika ia jatuh kepada tanah yang subur, di sana akan tumbuh kesucian hati, keikhlasan, budi pekerti yang tinggi dan lain-lain perangai yang terpuji.”

- Ilmuan tersohor Profesor Dr. Hamka


Sememangnya perasaan kasih dan sayang atau cinta adalah kurniaan Allah yang amat unik dalam diri setiap insan. Cinta luhur dan suci, namun mampu bertukar menjadi jerat memakan diri jika tidak diurus secara rasional.

Justeru, timbul isu-isu seperti lari dari rumah gara-gara mengikut teman lelaki. Lebih malang apabila ia membabitkan remaja bawah umur dan masih di bangku sekolah, sebagaimana yang banyak berlaku akhir-akhir ini.

Akibat ‘demam cinta’ mereka sanggup mengikut lelaki yang tidak diketahui asal-usulnya, sekali gus melukakan hati ibu bapa dan keluarga, serta menggadaikan masa depan dengan meninggal alam persekolahan.

Persoalan sekarang apakah faktor yang mendorong remaja ini bertindak senekad itu. Sejauh mana kefahaman mereka tentang istilah cinta yang sebenar atau sekadar suka-suka menyebutnya?

Sebelum persoalan ini dijawab, pakar motivasi, Dr. Robiah K. Hamzah, lebih suka menjelaskan istilah cinta itu sendiri.

Katanya, apa sahaja yang membuatkan mereka gembira, tenteram, kenyang dan menang, itulah cinta bagi remaja sekarang.

“Soal halal haram tidak ada lagi, asal sahaja keperluan dan kehendak mereka berjaya dicapai, itu sudah dianggap kemenangan besar,’’ ujarnya.

Malah katanya, dorongan-dorongan kepada minda seksualiti bahawa cantik, hebat dan popular itu lebih penting, secara tidak langsung membangkitkan keghairahan untuk melakukan sesuatu yang luar biasa.

Menerangkan lebih lanjut katanya, kurang kemahiran di kalangan ibu bapa dalam menangani anak-anak di peringkat usia ini, juga mendorong anak-anak remaja terjerumus kepada kancah tidak sihat.

Ini katanya, berkait rapat dengan cara dan bagaimana ibu bapa mahu berhadapan serta membangunkan minda mereka sesuai dengan kehendak remaja hari ini.

Malah lebih malang, apabila asas agama yang selama ini menjadi tunjang kepada kehidupan, tidak lagi berjaya disuburkan oleh ibu bapa di kalangan anak-anak mereka.

“Remaja hari ini jauh berbeza dengan remaja dahulu. Hakikat yang perlu diterima ibu bapa hari ini ialah cara mereka membesar jauh berbeza dengan anak-anak sekarang. Begitu juga dari segi keperluan, kehendak serta cabaran yang dihadapi,’’ ujarnya.

Malah katanya, ibu bapa perlu sedar tahap kematangan anak-anak mereka hari ini lebih cepat atas dorongan dan pengaruh persekitaran.

Berkasih sayang

Kematangan yang dimaksudkan bukan sahaja dari segi keperluan fizikal tetapi termasuk dari segi biologi.

“Pada usia lapan atau sembilan tahun, ada yang sudah mencapai akil baligh. Keinginan untuk berkasih sayang dan tertarik kepada seseorang berlainan jantina sedikit sebanyak sudah berputik dalam diri anak-anak ini.

“Sebagai individu yang melalui proses peralihan dari usia kanak-kanak ke remaja, perasaan menyukai pada seseorang mudah timbul,’’ ujarnya.

Walaupun tidak salah kata Robiah, remaja ini harus dibimbing dengan betul tentang bagaimana untuk mengurus perasaan tersebut.

Peranan ibu bapa untuk memberitahu bahawa pada usia remaja keutamaan mereka adalah pelajaran sebagai permulaan bagi membina masa depan.

Cinta usia remaja atau lebih dikenali dengan jolokan ‘cinta monyet’ hanya menganggu tumpuan kepada pelajaran gara-gara hanyut dilanda perasaan.

Beliau berkata, emosi memang bersifat subjektif tetapi dalam usia muda, apa yang lebih menjadi tanggungjawab mereka ialah menghabiskan pelajaran bukan masanya untuk diamuk perasaan cinta.

Lebih teruk lagi jika jatuh hati pada lelaki yang baru sahaja dikenali hingga ada kalanya boleh memberi kesan psikologi kepada pelajar.

“Remaja harus ingat, pada waktu ini kesempatan terbaik untuk merencanakan masa depan, mencipta kejayaan dalam hidup, bukan hanya berangan-angan kosong,” katanya.

Robiah mengingatkan bahawa, kematangan yang tidak diurus dengan baik membuatkan ada antara remaja tidak berasa takut untuk meredah apa sahaja yang ada di luar dari rumah mereka.

Ini ditolak lagi oleh faktor persekitaran termasuk pendedahan yang dibuat media massa dan elektronik, sehingga remaja berasa mereka juga mempunyai hak dan kebebasan sendiri.

“Bagi anak remaja ini mereka berasa mereka sudah boleh membuat keputusan sendiri, tanpa perlu dikawal ibu bapa atau pihak sekolah,’’ ujarnya.

Dalam keadaan ini, tidak ramai ibu bapa yang cuba untuk memahami perubahan-perubahan serta kehendak anak-anak ini.

“Cara didikan ibu bapa sekarang tidak lagi sesuai dengan jiwa anak-anak yang semakin berani dan terbuka.

“Apabila ibu bapa masih mengekalkan cara mendidik anak sama seperti 20 atau 30 tahun dulu, secara tidak langsung anak-anak akan berasa terdapatnya jurang ketidakserasian antara mereka dan ibu bapa,’’ jelasnya yang juga Presiden Wanita Islam Antarabangsa, Malaysia.

Keadaan diburukkan lagi apabila sikap dan kefahaman anak remaja hari ini yang tidak lagi kuat untuk menjurus kepada pendidikan keagamaan.

Ketaatan mereka terhadap ibu bapa semakin rendah, begitu juga ketaatan kepada Tuhan dipandang ringan.

Akibat daripada kerapuhan iman inilah, remaja berjaya membina budaya ‘mereka boleh hidup sendiri’ berpandukan apa yang mereka lihat dan buat.

“Kebanyakannya melupakan akhirat dan terlalu mengejar keduniaan. Katanya, konsep membangunkan budaya ketuhanan sudah tidak ada sebaliknya mengutamakan keperluan duniawi.

“Apabila mereka lebih mengutamakan keduniaan, mencari kekayaan dengan cara jalan pintas sehingga melupakan halal haram, maka generasi yang tidak berkualiti akan dilahirkan,’’ ujarnya mengakhiri perbualan. Remaja hati-hati dengan jerat cinta

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.