Menentu masa depan


Share on Tumblr Oleh NOOR HASLIZA NUSI

Siapakah sebenarnya yang layak dalam menentukan hala tuju atau masa depan anak-anak? Ibu, bapa atau anak-anak itu sendiri?


“SAYA seringkali dihimpit rasa bersalah apabila memikirkan ke mana hala tuju saya selepas tamat sesi pengajian nanti. Sedangkan bapa terlalu memaksa saya mengikuti jejak langkahnya dahulu sebagai seorang tentera”.

“Adakah saya digelar anak derhaka sekiranya gagal menurut perintah ibu bapa dalam menentukan masa depan saya sendiri, sedangkan saya mempunyai misi dan arah tujuan yang tersendiri?”.

“Saya melakukan semua ini atas dasar paksaan kedua-dua ibu bapa dan bukannya bersifat ikhlas. Demi merealisasikan impian mereka, saya sanggup berkorban segala cita-cita yang diidamkan selama ini”.

Begitulah antara rintihan dan luahan hati remaja dalam menentukan kerjaya atau masa depan mereka. Siapakah sebenarnya yang layak membuat keputusan? Adakah ibu bapa mahupun anak-anak itu sendiri?

Untuk mengupas isu ini, KOSMO! berpeluang menemuramah kaunselor dari Unit Kerjaya dan Kaunseling, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Rokiah Mahmood.
Menurutnya, masalah yang melibatkan siapa yang layak menentukan hal berkaitan pembelajaran mahupun masa depan anak-anak seharusnya dilihat menerusi pelbagai aspek dan bukannya bergantung pada satu pihak sahaja.

Malah katanya, ia juga berdasarkan daripada kombinasi perbincangan kedua-dua pihak sehingga masing-masing memperoleh titik pertemuan yang tepat.

Dalam membuat keputusan jelasnya, terdapat pelbagai faktor yang boleh mempengaruhi pemikiran dan mentaliti ibu bapa dan anak-anak. Pertama, kita seharusnya memahami watak dan ciri-ciri yang ada pada diri mereka. Antaranya:

Watak melawan

Contohnya: Sikap degil seorang anak yang suka melawan ibu bapanya sehingga berani membuat keputusan sendiri tanpa mendengar nasihat dan pendapat ibu bapa.

Watak mengikut

Contohnya: Menyedari sikap ibu atau bapa yang suka mendesak, menyebabkan anak-anak terpaksa mengikut kehendak dan keputusan yang dibuat. Mereka terpaksa menunaikan segala hajat yang diimpikan ibu bapa selama ini tanpa memikirkan kesan dan hala tuju mereka sendiri.

Watak autokratik

Contohnya: Semua keputusan yang dibuatkan adalah berdasarkan jawapan daripada ketua keluarga. Bapa yang akan menentukan masa depan dan cita-cita anak mereka.

Sekiranya seseorang anak ingkar, maka akan timbul konflik dalam hubungan kekeluargaan. Sekiranya anak itu jenis mengikut, dia akan mengalah dan akur dengan setiap keputusan yang di buat.

Watak ibu bapa berkuasa tinggi

Contohnya: Ibu bapa cuba menonjolkan sifat keperibadian tinggi yang ada dalam diri. Mereka inginkan anak-anak mengikut jejak langkah kerjaya mereka selama ini.

Sebaliknya, ibu bapa haruslah memahami setiap perkara yang diingini oleh anak-anak mereka. Kata sepakat dan jalan penyelesaian adalah jalan terbaik dalam menentukan hala tuju anak-anak.

“Sekiranya situasi memaksa, maka ibu bapa haruslah mendalami kesan yang akan ditempuhi anak mereka suatu masa nanti.

“Perlu diingatkan, sekiranya seorang anak memperoleh kejayaan tanpa sebarang ilmu pengetahuan, pengalamannya juga dapat mengajar erti kematangan,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Kata Rokiah, semua langkah-langkah yang dinyatakan itu memberikan kesan terhadap psikologi, rohani, mental dan fizikal kedua belah pihak terutama golongan remaja. “Sekiranya hal ini berlarutan, anak-anak akan berasa tertekan sehingga mengakibatkan tekanan mental.

“Bagi remaja pula, mereka haruslah berani menyatakan pendapat dan kemahuan. Berani berhadapan dengan situasi marah dan berterus-terang perkara yang betul.

“Tidak dinafikan, setiap keputusan yang dibuat oleh ibu bapa mempunyai tujuan dan matlamatnya tersendiri. Mereka hanya inginkan sebuah kejayaan daripada anak-anak dan bukannya sekadar merasai hasil titik peluh anak-anak mereka,” tegasnya.

~ Kosmo! Menentu masa depan

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.