Tiada cara yang lebih baik untuk meneroka makna sesebuah hubungan melainkan berbincang dengan ibu bapa berdasarkan pengalaman peribadi orang terdekat.
SEGELINTIR ibu bapa menganggap, apabila anak remaja sudah mula ada temu janji, bermakna berakhirnya peranan mereka sebagai ibu bapa. Ia juga dilihat sebagai tiba masa yang tegang dengan pelbagai masalah.
Justeru, persediaan yang rapi menjadi kunci kepada pengurusan kehidupan anak remaja anda.
Hampir kebanyakan ibu bapa mungkin berasa bimbang tentang peringkat kehidupan anak remaja mereka. Dalam kebanyakan kes, situasi anak yang mula ‘bertemu janji’ dilihat sebagai langkah pertama mereka untuk belajar berdikari atau tidak memerlukan kongkongan ibu bapa lagi.
Tetapi belum tentu ia begitu. Temu janji hanyalah satu norma dalam kehidupan remaja. Sudah tentunya mereka masih memerlukan anda (ibu bapa) dalam tempoh ini dan masa akan datang.
Tempoh ini juga boleh menjadi masa yang sukar dalam kehidupan anak remaja anda. Namun, banyak yang boleh dilakukan untuk melancarkan proses hubungan di antara anda selaku ibu bapa dan anak.
Seperti dalam hal-hal lain, kejayaan sesebuah temujanji bermula dengan didikan yang betul. Adalah penting untuk anda berbincang dengan anak remaja sebelum mereka mula ‘bertemu janji. Perbincangan seharusnya menumpukan kepada ciri-ciri sebuah hubungan yang berjaya.
Mungkin mudah bagi anda membuat andaian bahawa anak remaja tahu apa yang betul dan tidak tentang temujanji tetapi ia tidak semestinya begitu.
Jika anda berfikir sejenak, kebanyakan maklumat mereka tentang subjek tersebut berkemungkinan diperoleh daripada televisyen. Namun, apa yang mereka nampak itu tidak semestinya mencerminkan kehidupan sebenar.Apa yang ditonton mungkin dianggap sebagai hiburan semata-mata.
Anak remaja anda sepatutnya memahami apa itu hubungan yang saling menyayangi dan memberi sokongan. Tiada cara yang lebih baik untuk meneroka makna sebuah hubungan, melainkan berbincang dengan ibu bapa berdasarkan pengalaman peribadi orang terdekat.
Ini bermakna, apa yang anda katakan akan memberi impak kepada anak remaja anda. Begitu juga dengan apa yang mereka lihat dan contohi daripada anda. Disebabkan itu, tingkah laku hubungan anda dan pasangan perlu dijaga agar anak tidak mendapat petunjuk yang negatif.
Apabila anak sudah mula ‘bertemu janji’, anda perlu sedar perbincangan yang bakal mengambil tempat adalah sesuatu yang akan diteruskan.
Pasangan yang ditemui itu tidak semestinya orang yang anda atau anak jangkakan. Jadi, kesediaan anda menjadi tempat anak meluahkan perasaan dan berbincang masih mustahak kala saat dilanda kemelut jiwa.
Ingatlah bahawa komunikasi yang baik dan berterusan boleh mendidik anak remaja tentang cara yang betul menguruskan sebuah hubungan. Benarkan mereka mengetahui bahawa layanlah orang lain sebaik mungkin sebagaimana diri kita ingin dilayan.
Berjumpa dengan pasangan anak remaja anda buat kali pertama ada kalanya boleh mewujudkan tekanan. Tetapi, ingatlah betapa pentingnya anda sebagai ibu bapa untuk membuatkan perjumpaan itu satu situasi yang selesa dan saling menghormati.
Elakkan daripada melakukan kesilapan klasik seperti berleter dan mengutuk hubungan anak anda dalam perjumpaan pertama.
Jika terlintas di fikiran untuk menyediakan syarat-syarat penting, anda boleh lakukan ini hanya apabila anda dan anak duduk bersama.
Dalam keadaan terburuk sekali pun, misalnya apabila anda tidak menyenangi pilihan anak remaja anda, jangan tunjukannya secara terang-terangan. Sebaliknya, berilah sokongan kerana mungkin ada sebab kenapa anak remaja anda memilihnya.
Setelah berkongsi dan sedikit sebanyak mendidik mereka tentang perhubungan yang sihat, berikan keyakinan terhadap keputusan anak. Jangan campur tangan dalam hal hubungan, melainkan terasa bahang bahaya yang bakal melanda.
Sesungguhnya, agak sukar untuk menyaksikan perkembangan anak remaja dan kecenderungan mereka mengenali orang baru. Tetapi, asalkan anda sudah melakukan bahagian yang sepatutnya, percayalah bahawa anak remaja anda tahu dan boleh mempertimbangkan apa yang betul dan salah. – AP Mengurus temu janji
0 Komen: