Motivasi Dalam Diri Individu Berbeza


Share on Tumblr
Motivasi Dalam Diri Individu Berbeza
Mengapa sesetengah kanak-kanak bermotivasi untuk berjaya dalam pelajaran manakala sesetengahnya langsung tidak mengambil berat?

Ahli-ahli psikologi mendapati, manusia mempunyai darjah motivasi dan matlamat yang berbeza-beza.

Ada kanak-kanak yang sangat bermotivasi untuk berjaya dalam mata pelajaran tertentu contohnya matematik manakala ada yang membenci mata pelajaran itu.

Motivasi tidak hanya berlaku dalam aspek mata pelajaran di sekolah. Sesetengahnya mempunyai motivasi yang lebih dalam bidang muzik atau sukan berbanding bidang akademik.

Antara dua konsep motivasi paling popular yang selalu dibincangkan oleh sarjana psikologi ialah motivasi intrinsik dan motivasi ekstrinsik.


Walaupun kedua-duanya merujuk kepada usaha untuk mencapai kejayaan, ia mempunyai konsep yang berbeza. Motivasi intrinsik ialah usaha seseorang terhadap sesuatu yang bakal memberi kepuasan dan menggembirakan. Ia disifatkan sebagai motivasi dalaman.

Sebaliknya, motivasi ekstrinsik pula ialah seseorang cuba melakukan sesuatu yang terbaik kerana didorong oleh faktor-faktor luaran.

Misalnya, seorang pelajar terdorong untuk menghasilkan kerja yang berkualiti kerana dia dipuji guru atau berpeluang untuk masuk ke kelas yang lebih baik.

Jadi, walaupun kedua-dua elemen motivasi ini penting, ibu bapa sewajarnya melihat sifat dan darjah motivasi anak-anak. Misalnya, anak-anak kita memang terdorong untuk melakukan tugasan dalam mata pelajaran Sejarah tetapi bukan dalam subjek Matematik. Mereka kelihatan gemar membaca topik-topik sejarah walaupun tidak disuruh. Ini bermakna kemungkinan besar mereka mempunyai motivasi intrinsik untuk subjek sejarah tetapi bukan matematik.

Mencapai kejayaan

Dalam hal ini, motivasi ekstrinsik itu perlu diwujudkan bagi membolehkan anak-anak berusaha mencapai kejayaan bagi subjek Matematik. Misalnya, jika mereka berjaya dalam subjek Matematik, mereka akan dibawa bercuti ke taman tema. Walaupun usaha mereka tidak datang dari hati, sekurang-kurangnya ia boleh membentuk motivasi anak-anak.

Hal inilah yang patut diperhatikan oleh ibu bapa dan guru. Adakalanya kita tersalah memberi peneguhan kepada anak-anak.

Misalnya, anak A sememangnya mempunyai motivasi intrinsik bagi subjek Matematik tetapi tidak anak B. Sebagai ibu bapa, kita mungkin menjanjikan kedua-dua anak dengan ganjaran yang sama. Hakikatnya, ganjaran tersebut mungkin tidak begitu relevan untuk anak A kerana mereka sudah berusaha bersungguh-sungguh sekalipun tidak diberikan ganjaran.

Jadi, perkara yang sepatutnya dilakukan ialah memberi ganjaran kepada anak B. Anak A pula mungkin diberi ganjaran jika dia berjaya dalam subjek yang kurang diminati. Kemungkinan lain pula ialah anak A diberi ganjaran dengan nilai yang lebih baik berbanding anak B jika mereka berjaya dalam subjek Matematik.

Sebagai ibu bapa, kita tentu melihat semua fenomena ketika anak-anak menyelesaikan kerja sekolah atau mengulang kaji pelajaran.

Bagaimanapun, adakalanya kita tersalah mengambil pendekatan dalam perkara-perkara tertentu. Misalnya, anak tadi memang telah mempunyai motivasi intrinsik bagi subjek tertentu. Maksudnya, minat datang dari hati mereka sendiri.

Sayangnya, ibu bapa mengugut anak dengan hukuman jika mereka gagal dalam subjek tersebut. Keadaan ini menyebabkan mereka merasakan minat tersebut tidak dihargai oleh ibu bapa, lalu motivasi terhadap subjek terbabit akan berubah atau berkurangan.

Sebab itulah, seni keibubapaan perlu dimiliki oleh setiap orang. Gaya keibubapaan dalam mendidik anak-anak tidak semestinya mengikut pengalaman yang pernah kita lalui.

Relevan


Misalnya, pada masa silam jika malas belajar, kita akan dirotan atau dikenakan hukuman berat. Namun, merotan mungkin tidak relevan dalam semua keadaan. Kita juga harus melihat sifat anak-anak itu sendiri dan bukannya berpegang kepada falsafah lama bahawa hukuman yang teruk akan menjadikan anak lebih baik.

Memang benar, ada anak-anak yang berjaya kerana dikenakan hukuman teruk. Namun, ada juga anak-anak yang tidak berubah sekalipun telah dihukum atau dikenakan denda. Malah, ada yang semakin teruk. Ada yang berjaya sekali pun ibu bapa sekadar memberi pujian tanpa ganjaran istimewa.

Ini menunjukkan bukan semua kaedah sesuai dalam banyak keadaan. Ia bergantung kepada siapa anak kita dan apa yang sedang mereka pelajari. Jangan terpesona dengan kata-kata orang kerana anak-anak kita sangat unik dan berbeza dengan anak orang lain. ~ Kosmo
Motivasi Dalam Diri Individu Berbeza

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.