Remaja Dan Budaya Internet


Share on Tumblr Internet adalah sebahagian daripada setitik rahmat, nikmat dan ilmu yang dikurniakan Allah SWT kepada manusia dan juga untuk dimanfaatkan bersama golongan remaja, belia dan muda-mudi. Sama seperti kita memperolehi rahmat dan nikmat berupa akal kesihatan tubuh badan, makan, minum, belajar, bersekolah, bekerja, dibayar gaji dan sebagainya.

Zaman sains dan teknologi, zaman pesatnya kemajuan teknologi maklumat dan sains komputer, akhir-akhir ini telah membentuk satu budaya baru iaitu “budaya internet”. Remaja adalah golongan yang cukup sensitif dengan perkara yang baru-baru dan mudah terperangkap dalam lingkungan yang bernilai negatif serta kurang memberi kebaikan dari segi jangka panjang untuk diri, peribadi dan masa depan yang terbaik.

Dari setitik rahmat, nikmat dan ilmu, kemudian menjadi suatu budaya dan amalan yang sangat cepat merebak, dari bandar menuju ke pekan, ke kampung dan akhir sekali menyusup memasuki rumah setiap keluarga. Golongan dewasa seperti ibu bapa, guru, intelek dan ulama serta mereka yang peka terhadap kesan negatif budaya internet cukup merasa bimbang, kerana ia boleh merosakkan diri sahsiah dan masa depan golongan remaja dan muda-mudi, terutama bagi mereka yang tiada kekuatan aqidah, ilmu akal, akhlak mulia, amal soleh dan taqwa.

Budaya internet yang telah berkembang ekoran majunya sains teknologi dan sains komputer, yang sudahpun kita terima sebagai suatu ilmu yang diperlukan mengikut peredaran zaman. Kehadirannya bukan untuk disekat, tetapi remaja dan muda mudi hendaklah mempunyai kekuatan dan kekebalan peribadi dan dalaman yang berasaskan aqidah iman, ilmu, akal, akhlak mulia, amal soleh, taqwa dan istiqamah. Firman Allah SWT maksudnya:

“Dan sesungguhnya Allah pasti memberi hidayah (petunjuk) kepada orang-prang yang beriman menuju jalan yang lurus.” (Surah al-Haj, ayat : 54)

Kerana itu golongan remaja harus bijak memanfaatkan ilmu atau maklumat yang disalurkan melalui internet. Malah kita sewajarnya memiliki daya tapis dan seiring antara maklumat yang berguna, baik dan boleh membina nilai-nilai positif demi sebuah kehidupan yang bahagia, sejahtera dan selamat di dunia dan akhirat.

Manakala maklumat yang bersifat negatif dan boleh memberi kesan yang tidak baik kepada diri remaja dan rakan, ketegasan diri dan sikap kita perlu diperkatakan supaya nilai-nilai negatif yang terdapat dalam internet tidak menyubur dalam pemikiran dan pembawaan remaja. Seumpama kita melihat peraturan, hukum atau etika yang dikenakan dalam perkara yang menyangkut kehidupan seharian, seperti kawasan larangan merokok, bagi orang yang mahu dan sensitif dengan peraturan dia tidak akan merokok di kawasan larangan itu, bukan sekadar takut kena denda, tetapi dijiwanya terasuh suatu sikap dan peribadi hormat kepada hukum dan terasa dirinya mempunyai tanggungjawab bersama dalam mendaulatkan peraturan yang bermanfaat kepada diri dan masyarakatnya.

Begitu juga halnya dalam hukum yang telah diputuskan syarak, seperti dilarang atau haram hukumnya berjudi, berzina, minum arak dan sebagainya. Bagi orang yang jiwanya terdidik dengan hukum Islam ini, mereka tidak akan berani melakukannya kerana dosanya amat berani untuk ditanggung di dunia dan di akhirat nanti, apatah lagi kesan buruknya kepada diri, kluarga dan masyarakat juga cukup buruk dan jahat.

Kita boleh membandingkan di sini dari segi kekebalan dan kekuatan peribadi sendiri dalam usaha untuk mendisiplinkan diri supaya tidak mudah terikat nilai negatif yang disalurkan melalui internet. Tentang nilai positif internet berupa ilmu dan juga maklumat bermanfaat lagi baik, inilah sepatutnya golongan remaja utamakan dan cari. Matlamat dan tujuan kebaikan ini cukup besar fadilatnya, sebagaimana yang pernah disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya bermaksud:

“Orang yang memberi petunjuk kepada kebaikan sama pahalanya seperti orang yang malakukannya.” (H.R. Bukhari)

Ertinya, remaja mesti bijak dan mempunyai pertimbangan iman, ilmu, akhlak mulia, akal budi, amal soleh dan taqwa, seandainya yang kita harap dari budaya internet itu ialah kebaikan dan faedahnya yang terbaik untuk kehidupan dunia dan akhirat. Ruang untuk mencari kebaikan dan berbuat yang terbaik itu bagi golongan remaja sentiasa terbuka luas, seluas bumi yang terhampar, walaupun kita berlawan dengan ruang, iklan dan promosi untuk menjerumus remaja ke arah kejahatan juga cukup hebat, apa lagi melalui internet yang dihasilkan dari ilmu sains komputer itu.

Akhirnya, kemajuan sains dan teknologi, sains komputer dan internet memang diperlukan oleh generasi manusia zaman ini dan begitu juga kepada golongan remaja. Dan Islam sendiri mengharuskan kemajuan sains dan teknologi untuk kebaikan manusia, di atas paksi tauhid dan ibadah kepada Allah SWT.

Islam tidak menghalang sebarang bentuk kemajuan ciptaan manusia, tetapi Islam menekankan aspek tauhid, ibadah dan meletakkan satu asas dan nilai yang bersifat sejagat lagi manusiawi, supaya keselamatan, kesejahteraan dan keamanan hidup manusia dan remajanya benar-benar terjamin sama ada di dunia mahupun di akhirat nanti.

Internet tidak merosakkan manusia dan remajanya, malah manfaatnya juga cukup banyak dari segi penyebaran maklumat, ilmu hubungan dan lain-lain. Dengan syarat manusia yang mengendalikannya, termasuklah tukang cipta sains komputer ini dan para penggunanya, adalah mereka yang memiliki kekebalan dan kekuatan iman, aqidah, ilmu, taqwa, akhlak mulia, amal soleh, cinta kebaikan, benci keburukan dan manusiawi. Remaja Dan Budaya Internet

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.