Perlukah perigi mencari timba?


Share on Tumblr Sebagai perempuan, saya memang mahu bercinta dan dicintai seperti orang lain. Tapi saya amat pemalu untuk berterus terang, apa lagi meluahkan lafaz cinta kepada pemuda kerana dikhuatiri tidak berbalas. Saya tidak mahu ‘perigi mencari timba’.

Untuk pengetahuan Kak Sri, saya seorang guru berusia 31 tahun, tapi masih kelihatan muda. Wajah saya tidaklah terlalu cantik dan tidak pula terlalu hodoh. Kini saya rasakan waktunya sudah semakin terdesak untuk saya memasuki alam rumah tangga. Tambahan pula ibu saya sering bertanyakan bila saya mahu naik pelamin.

Masalah saya sekarang ialah saya tidak mempunyai teman. Bagi saya waktu untuk bercinta sudah berlalu dan seboleh-bolehnya saya ingin terus berkahwin bagi mengelak sindiran orang lain.

Ramai teman yang sebaya saya sudah pun berkeluarga dan ini menambahkan kesepian hidup saya. Alhamdulillah, setakat ini saya masih bersabar dan mengharapkan jodoh yang baik daripada Allah.

Sebagai guru saya cuma dapat bermesra dan bergembira dengan murid-murid saja. Tetapi apabila saya berhadapan dengan ahli keluarga, mereka kerap kali menyuruh saya berumah tangga.

Wajarkah saya mencari, merisik dan meminang seorang lelaki? Memang tidak wajar saya melakukannya apatah lagi saya seorang gadis pemalu dan bertudung litup.

Baru-baru ini saya dilamar seorang pemuda tetapi malangnya dia membatalkan hasratnya apabila mengetahui usia saya enam tahun lebih tua daripadanya.

Apa yang harus saya lakukan Kak Sri untuk mengubat kerunsingan hati ini. Adakah saya perlu berdiam diri (tanpa usaha) hingga ada orang melamar saya sekali lagi?

Mas Adilah,
Kuala Terengganu

~~~~

JODOH pertemuan Tuhan tentukan. Setiap orang ada pasangannya masing-masing. Ada yang mendapat jodoh ketika berusia awal 20-an, dan tidak kurang juga yang sudah berusia 40-an baru berpeluang bergelar isteri.

Namun usah berasa tertekan untuk berkahwin hanya semata-mata kerana desakan keluarga atau kerana melihatkan teman-teman sudah berumah tangga. Membina rumah tangga perlukan banyak perhatian dan perhitungan dan tidak boleh tangkap muat saja.

Pernikahan itu satu amanah dan perkahwinan itu kewajipan. Hidup sebagai isteri tidak sama dengan hidup ketika sendirian.

Ada perkahwinan membawa bahagia, tidak kurang pula menjadi di sebaliknya. Ada perkahwinan berdasarkan suka sama suka atau diatur keluarga. Memang tidak mustahil bagi seorang wanita melamar lelaki. Tetapi lamarannya itu biarlah dilakukan dengan bersopan supaya tidak pula dikata orang perigi mencari timba.

Lamaran begini memerlukan jasa baik ahli keluarga dan biasanya melalui saudara mara yang lebih tua dan dilakukan secara tidak langsung namun bersopan dan teratur.

Bantuan orang tengah yang dipercayai diperlukan untuk mencari jodoh yang salih khasnya mereka yang mengetahui lebih dekat tentang latar belakang lelaki yang menjadi calon suami.

Dalam Islam harus kepada seseorang perempuan melamar seseorang lelaki yang dilihatnya sebagai seorang yang salih. Melamar di sini bermaksud menyatakan hasrat hati kepada lelaki berkenaan dan memintanya supaya meminang gadis itu. Saudari disarankan memperbanyakkan membaca Surah Yusuf.

Dalam zaman serba mencabar ini ramai wanita sebaya saudari masih belum berumah tangga. Namun begitu usahlah terburu-buru untuk mengejar dan mendapatkan sesuatu yang belum diberi restu.

Usahlah risau dan runsing. Allah lebih mengetahui kerana Dia yang mencipta segala-galanya. Jika sudah tiba jodoh pertemuan, saudari akan berkahwin juga. Ada orang cepat jodohnya dan tidak kurang pula yang lambat. Sementara itu banyakkan bersabar dan berdoalah kepada Allah semoga dipercepatkan pertemuan jodoh anda itu.

Dalam pada itu, memohon agar Allah SWT memberikan jodoh orang yang baik (soleh) memang digalakkan. Di samping berdoa, mintalah bantuan ibu bapa agar dapat mencari pasangan yang sesuai. Tindakan ini adalah lebih baik daripada mencari sendiri demi mengelakkan fitnah dan maksiat.

Untuk mendapatkan pasangan suami yang beriman, boleh dilakukan dengan beberapa pendekatan. Antaranya menunaikan solat hajat dan memohon suami yang soleh daripada Allah SWT. Membanyakkan bacaan doa; “Ya Allah Ya Tuhanku kurniakanlah kepada kami isteri (atau suami) serta anak-anak yang menjadi penyejuk mata hati kami dan jadikanlah kami sebagai ikutan kepada orang-orang yang bertakwa.”

~ Sri Siantan Perlukah perigi mencari timba?

1 Komen:

Tanpa Nama berkata...

Kita manusia terlanjur hidup dengan tekanan masyarakat. Menikah menjadi standar normalitas, padahal itu hanya pilihan individual. Selama kita tidak bisa memenuhi standar normalitas itu, tertekanlah kita. Sebenarnya tak salah bila kita hidup melajang hingga akhir hayat, apakah itu karena nasib atau pun pilihan kita. Jadi, just don’t worry. Be happy.

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.