Lelaki bergosip?


Share on Tumblr Gossip. Istilah ini cenderung dikaitkan dengan dunia showbiz. Mengapa begitu? Sedangkan perbualan mengenai cerita atau skandal ahli politik, pemain bola sepak atau individu terkenal juga berbau gosip. Cuma mungkin ia tidak digelar gosip tetapi lebih kepada sembang-sembang atau borak kosong.

Gosip boleh ditafsirkan sebagai perbualan yang mempunyai nilai, menyentuh perihal atau peribadi seseorang yang tidak berada di tempat perbualan. Gosip biasanya timbul melalui sesi borak-borak bersama rakan.

Definisi pengkaji psikologi terhadap gosip tidak mengklasifikasikan perbuatan ini hanya membabitkan kritikan atau memperkecil-kecilkan orang lain. Kajian yang dilakukan sebelum ini menunjukkan, kritikan dan penilaian negatif hanya membentuk sebahagian kecil daripada perkara yang sering menjadi bahan gosip.

Kebanyakan perbualan gosip berkisar cerita seseorang yang dikaitkan dengan individu lain serta pengalaman sosial yang dilalui seseorang.

Penilaian yang dibuat dalam perbualan yang menjurus kepada elemen gosip tidak selalunya negatif. Ada yang bergosip mengenai tepatnya seseorang memilih pasangan kekasih, mengenai kerjaya atau apa saja perkara menarik yang dilakukan individu terbabit.

Perkara utama dalam gosip lazimnya membabitkan lebih daripada berkongsi cerita dan maklumat mengenai kehidupan atau hubungan seseorang. Ini diperkuatkan dengan elemen ekspresi, pendapat atau perasaan mengenai cerita atau maklumat berkenaan. Pendapat atau perasaan ini mungkin tersirat atau disampaikan secara halus.

Gosip juga tidak semestinya membabitkan apa yang dilakukan pihak ketiga saja. Gosip juga boleh membabitkan hal si tukang gosip yang mungkin menarik untuk diperbincangkan. Cerita peribadi tukang gosip inilah yang lazim berkembang kepada gosip lain.

Subjek paling kerap dijadikan bahan gosip pastinya selebriti dan individu dikenali ramai. Lihat saja bagaimana rancaknya sebaran gosip mengenai perkembangan peribadi selebriti dalam industri hiburan. Apa saja berita atau perkara yang dilakukan mereka, tidak kira sudah disahkan benar ataupun tidak akan mengundang minat masyarakat untuk diperbualkan.

Perbuatan gosip cenderung dikaitkan dengan wanita. Namun, kajian yang dilakukan sebelum ini mendapati, lelaki juga bergosip cuma tempoh masa yang diluangkan dikatakan berbeza sedikit berbanding wanita.

Lelaki dan wanita dikatakan meluangkan tempoh masa yang hampir sama dalam membicarakan soal hubungan peribadi. Manakala bagi cerita membabitkan sukan popular seperti bola sepak, lelaki lebih banyak meluangkan masa membicarakannya.

Lelaki dikatakan cenderung membicarakan subjek penting seperti politik, kerja, seni, hal akademik berbanding wanita. Namun, keadaan ini berubah jika perbualan itu turut membabitkan wakil wanita.

Apabila berada dalam kumpulan jantina sama. lelaki akan berbicara atau bergosip mengenai perkara yang disifatkan penting itu tadi. Namun, jika perbualan itu disertai wanita, sesetengah lelaki cenderung berbual mengenai topik yang lebih sensasi dan menarik.

Lelaki juga menghabiskan lebih banyak masa memperkatakan perihal diri sendiri. Lelaki juga dilihat meluangkan dua pertiga perbualan kepada perhubungan sendiri sedangkan wanita, hanya satu pertiga saja perbualan mereka membabitkan diri sendiri.

Apabila ditanya tabiat bergosip lelaki dan wanita, ramai lelaki menafikan mereka suka bergosip. Kebanyakan wanita pula mengakui mereka terjebak dengan tabiat ini.

Bagaimanapun, jika dinilai lebih mendalam, lelaki dan wanita masing-masing terbabit dalam perlakuan ini. Cuma apa yang dipanggil gosip di kalangan wanita, didefinisikan pula sebagai ‘pertukaran maklumat’ bagi lelaki. Mungkin golongan lelaki tidak suka perbuatan bertukar maklumat mereka itu dilabel sebagai gosip, seolah-olah tidak ada kerja yang lebih baik hendak dilakukan.

Pakar motivasi, Prof Izzudin Ali, ketika ditanya isu lelaki dan gosip mengulas, rata-rata lelaki lebih berminat berborak dan mendengar cerita lebih serius seperti politik, ekonomi dan kerjaya. Ini mungkin dipengaruhi tanggungjawab yang dipikul mereka. Berbeza dengan wanita yang boleh berbual mengenai apa saja yang mengikut pertimbangan mereka, menarik untuk dibicarakan.

Prof Izzudin menambah, keadaan berbeza bagi lelaki mungkin disebabkan sifat mereka lelaki yang tidak begitu berminat berkongsi pendapat peribadi mereka mengenai sesuatu perkara.

“Subjek yang selalunya menarik minat lelaki apabila berada bersama rakan adalah cerita politik atau isu yang ada kaitan dengan diri mereka sendiri.

“Jika tiada kaitan, mereka hanya akan berbual mengenainya ala kadar saja,” katanya

Ditanya sama ada lelaki suka atau tidak pada wanita yang mempunyai tabiat suka bergosip, Prof Izzudin berkata, rata-rata lelaki kurang berminat dengan wanita yang suka bergosip kerana perbuatan ini bukan hanya tidak bermanfaat malah mengundang padah.

Komen:

* Zhafrilee Shah Ramlee - “Kalau lepak berbual dengan rakan, kami selalunya jarang dan tidak berminat bercerita mengenai orang lain. Biasanya kami bercerita mengenai peristiwa kelakar atau apa-apa yang ada kena-mengena dengan rakan yang menyertai sesi berborak itu.”

* Akmar Ruskin - “Tidak dinafikan, memang ada lelaki menonton program televisyen berkonsep gosip hiburan. Tetapi tidak semestinya apabila menonton program begini, mereka gemar bergosip atau mendengar gosip. Kadangkala sekadar tontonan saja, jika tidak tonton pun tak rasa rugi.”

* Amirul Anuar Abdullah Zubir - “Tabiat bergosip, bagi saya lelaki dan wanita sama saja. Bezanya cuma subjek yang digosipkan atau kekerapan mereka bergosip. Adakalanya seseorang akan ikut bergosip apabila diajak atau berada dalam kumpulan kaki gosip.”

* Sarina Salleh - “Saya tidak begitu bersetuju kalau orang kata wanita saja suka bergosip. Wanita kebanyakannya suka bersembang dan bercerita mengenai pelbagai perkara dengan rakan baiknya tapi sering disalah anggap sebagai bergosip.”

* Roslindah Chin - “Mulanya, saya percaya bahawa lelaki tidak suka bergosip. Tapi apabila saya berjumpa dengan kenalan lelaki yang suka bergosip mengenai artis dan rakan wanita mereka, saya mula sedar tabiat ini bukan hanya dilakukan wanita saja,”

* Retna Normasinda Sulaiman - “Sebenarnya, bukan niat atau kegemaran seseorang untuk bergosip mengenai orang lain pun. Tetapi kadangkala sesuatu perkara mengenai mereka terjadi depan mata, jadi kita hanya bercerita mengenai perkara itu saja.” Lelaki bergosip?

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.