Tip Mendekati Idaman Hati


Share on Tumblr Pernahkah bertemu dengan si buaya darat yang begitu retorik menggoda anda dengan tujuan menarik perhatian? Apabila sudah berjaya mendekati, dia akan hinggap kepada yang lain pula.

Jika anda berada dalam situasi itu, pasti terasa betapa tidak adilnya dipertemukan dengan lelaki sedemikian.

Begitu juga dengan si lelaki yang menerima salam perkenalan daripada wanita yang dipuja.

Hati mula menganyam impian jika ditakdirkan bersama membina istana bahagia.


Namun tanpa disangka, ada dugaan melanda. Si dia rupanya hanya berpura-pura menyayangi anda sedangkan pada masa sama, dia sudah memasang yang lain untuk dijadikan mangsa. Berdepan situasi yang mengecewakan itu pasti membuatkan hati begitu pedih, terluka dan serik untuk mengulanginya.

Ada juga yang sukar memulakan langkah perkenalan dengan orang diminati. Mengapa? Apakah takut jika si dia menolak atau dikecewakan?

Bak kata orang tua-tua, kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.

Dalam erti kata lain, kalau takut dikecewakan elakkan diri daripada jatuh cinta atau menyintai seseorang. Kalaupun wujud perasaan itu di hati, simpanlah seerat mungkin.

Setiap orang mungkin mempunyai pelbagai kisah atau pengalaman dalam menghulur salam pertama.

Ada yang malu-malu memulakannya, tetapi apabila sudah mengena, terasa indah sekali.

Tidak kurang juga yang lebih cenderung menjaga diri serta imej. Mungkin malu-malu, takut-takut, tetapi sebenarnya mahu.

Pertemuan dengan orang yang disukai mungkin boleh berlangsung di mana saja, namun bagaimana komunikasi anda dengan orang yang anda sukai itu?

Diharapkan anda tidak mempermainkan hati wanita atau lelaki yang anda temui itu. Lakukan pendekatan wajar supaya perhubungan yang baru bermula itu tidak berakhir dengan rasa benci di penghujungnya.

# Diperkenalkan melalui teman

Jika anda punya teman yang kenal dengan si dia, mintalah bantuannya untuk memperkenalkan orang yang diminati itu, sekali gus dapat mencungkil maklumat mengenai dirinya. Wanita akan lebih rasa selesa berkenalan dengan teman baru dengan cara berhemah.

# Pura-pura bertanya

Ketika bertemu dengan si dia di jalan ketika menunggu bas, teman atau apa saja situasi, tanyalah sesuatu. Misalnya, bertanyakan jalan, urusan perniagaan dan seumpamanya. Apa yang pasti, bersikap wajar dan seolah-olah tidak sengaja.

Jika reaksi diberikan memberangsangkan, anda mungkin boleh menanyakan hal lain seperti kuliah atau sekolah, tempat tinggal dan pelbagai tajuk perbualan lain.

Seterusnya, jika reaksinya agak baik, mungkin anda boleh bertanyakan nombor telefon, e-mel dan pastikan alasan anda boleh diterima atau logik.

# Pendekatan anggota keluarga

Jika anda kenal anggota keluarga si dia seperti kakak, adik malah ibu bapanya, pendekatan boleh dilakukan secara baik-baik kerana suatu ketika mungkin anda bertemu dengannya dan mengajak dia bersembang untuk kenal lebih mesra.

Namun sekali menjalin hubungan dengannya, anda harus menjaga hubungan sebaiknya dengan anggota keluarganya. Jangan sampai menyakitkan hati supaya keluarganya tidak memasukkan anda ke dalam senarai hitam.

# Membantu di saat kesulitan


Jika anda melihat seseorang yang disukai, perhatikan gerak-gerinya tanpa rasa curiga. Ketika si dia dihimpit kesulitan, tawarkan bantuan seadanya.

Pada dasarnya, beberapa teknik pendekatan di atas tetap memerlukan perencanaan serta latihan matang sebelum dilakukan supaya tidak salah tingkah atau mati gaya di hadapan wanita atau lelaki pujaan hati anda. Tip Mendekati Idaman Hati

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.