LBS yang novel perdananya menggunakan judul Budak Setan mendapat sambutan luar biasa di kalangan pengikut novel.
Ia berkisar tentang kenakalan seorang pelajar sekolah bernama Kasyah hinggakan dia digelar ‘Budak Setan’.
Novel ini berkembang dengan pelbagai plot - lucu, nakal, sedih dan cinta yang membawa tumbuhnya karakter Ayu dan lain-lain. Novel itu itu kemudian disambung kepada Budak Setan II, Budak Setan III dan dikompilasikan dalam karya Lagenda Budak Setan.
Namun, satu fenomena yang bakal dilalui produksi adalah adakah filem ini akan laris sama seperti novelnya?
Ini kerana di sebalik lambakan adaptasi novel ke filem yang sukses seperti adaptasi komik Superman dan fiksyen Narnia atau Harry Potter, terdapat segelintir filem yang hasilnya mengecewakan seperti Da Vinci Code.
Sedar akan fenomena tersebut, Sharat memberitahu dia begitu teliti dan teruja memproses LBS dalam bentuk visual.
Duduk berbincang dengan Ahadiat yang menjadi penulis skrip filem terbitan Astro Shaw Sdn. Bhd. hasil kerjasama Nusantara Films dan Tarantella Pictures ini, janji Sharat, imaginasi khalayak tidak akan lari daripada fokus novel.
Apa yang difilemkan hampir sama dengan apa yang pernah dibaca.
“Saya sedar bahawa penonton akan mencari persamaan antara jalan cerita novel dan filem.
“Namun, realiti yang harus diterima mereka adalah kami menghimpunkan semua jalan cerita itu menjadi satu tanpa menghilangkan nilai atau karakter yang hidup dalam novel ini,” katanya.
Sharat menyifatkan LBS sebagai hasil kerja paling mencabar buatnya kerana tidak dihasilkan dalam kepakarannya sebagai pengarah filem semi Bollywood.
Kenyataan itu disokong oleh pelakon utama LBS yang memegang watak Kasyah, Farid Kamil.
Menurut pelakon kelahiran Perlis ini, sebuah novel tidak boleh difilemkan sepenuhnya.
Bagaimanapun katanya, dengan pemahaman untuk menerbitkan sebuah filem, novel yang ditulis dengan ratusan muka surat akhirnya diterjemahkan dalam durasi kurang tiga jam.
Jelas Farid yang tidak terbeban membawa karakter Kasyah: “Benar karakteristik dari segi imaginasi seseorang terhadap sesebuah novel yang diadaptasi ke dalam sebuah filem akan berkurangan. Namun, itu tidak bermakna sesebuah filem yang diadaptasi tidak boleh sukses.
“Saya percaya dengan memahami plot juga karakternya, dan disokong oleh lakon layar yang baik, sebuah filem adaptasi akan berjaya.
“Lagipun, pengikut novel ini pasti ingin melihat bagaimana bentuk imaginasi yang mereka fahami sewaktu membaca novel ini divisualkan ke dalam sebuah filem.”
Lisa Surihani yang membawa karakter Ayu dan Que Haidar sebagai Azmi turut berpendapat LBS pasti akan mencapai kejayaan kerana label yang sudah dicipta sejak novel ini diterbitkan pada tahun 1984.
“Inilah cabaran yang harus kami semua pikul iaitu memberi persembahan terbaik dan membawa imaginasi pembaca selari dengan apa yang bakal mereka tonton di layar lebar.
“Namun dengan label LBS sendiri yang sudah kukuh dan mempunyai pengikut, kami yakin bahawa LBS akan menarik minat orang ke panggung,” ujar Lisa yang tidak pernah membaca novel LBS, berbeza dengan Que yang merupakan penggemar novel Ahadiat.
Biar apapun persepsi dan sambutan yang bakal diterima kelak, mereka sepakat menyatakan bahawa imaginasi setiap individu berbeza sewaktu membaca novel.
Bagaimanapun, satu yang pasti, semua titik fokus akan bersatu apabila menyaksikan sebuah naskhah diadaptasi dalam sebuah filem Novel Budak Setan ke panggung
2 Komen:
ok juga tuh cerita
hahaha! are you Ahadiat's fan ? well, he's my father :D i just want to know about his fans. read my blog at http://aishahraaaawr.blogspot.com/ or http://aishahahadiat.blogspot.com/ :P see ya niggah !