Menilai Kecantikan Yang Bererti


Share on Tumblr Seawal zaman Socrates dan Plato, manusia telah cuba mengungkap erti kecantikan. Socrates menyatakan bahawa kecantikan itu sesuatu yang sukar untuk dijelaskan. Akan tetapi anggapan Voltaire jauh lebih tegar dengan menganggap kecantikan itu sesuatu yang mustahil untuk dijelaskan. St. Augustine mengungkap persoalan ini dalam bentuk pertanyaan sekali gus pilihan; adakah kecantikan sesuatu benda itu dilihat kerana ia memberi kesenangan hati, atau hati akan senang kerana melihat sesuatu yang cantik? Kalangan ahli falsafah mengakui bahawa kecantikan melibatkan perasaan gembira, seperti Thomas Aquinas, walaupun sesetengahnya menganggap kecantikan sebagai sesuatu yang benar-benar subjektif sifatnya dan ia sangat bergantung kepada keadaan diri seseorang sebagaimana yang dipegang oleh Rene Descartes.

Kepelbagaian tafsiran mengenai sifat cantik yang ada pada orang, benda atau perbuatan tertentu pada umumnya merupakan kebebasan pemikiran dan naluri. Serentak dengan itu juga tanpa mengira sukarnya untuk membina tafsiran berkenaan kecantikan, ia tidak mengurangkan keghairahan dari kalangan ahli falsafah, penggiat seni, pengkritik, malah dari kalangan ahli sains daripada memberi tindak balas terhadap fitrah kecantikan, abad demi abad.

Walaupun begitu, sekurang-kurangnya ciri-ciri asas dalam mentafsir kecantikan perlu ada untuk dijadikan sebagai wadah perbincangan mengenai sifat cantik yang boleh diterima umum. Di sini, mungkin pada dasarnya kita boleh menerima pandangan orang-orang Yunani kuno yang mentafsir kecantikan sebagai sesuatu yang baik dilihat dari sudut moral masyarakat, bersesuaian dengan kebiasaan masyarakat dan ia sesuatu yang boleh memberi kesenangan hati kepada mata yang melihat. Sementara itu pada kaca mata masyarakat silam Cina, kecantikan merujuk kepada kekayaan, umur yang panjang, berbakat, memiliki nama baik dan mempunyai pekerti.

Kenyataan Charles Darwin yang menyebut bahawa kecantikan menjadi sifat atau kualiti yang sangat tinggi kerana ia sebenarnya mempunyai peranan tertentu merupakan pandangan yang sukar untuk dinafi. Maka, rasa tertarik terhadap kecantikan, keinginan untuk menjadi cantik atau lebih cantik dan hasrat untuk memiliki benda yang cantik adalah adalah sesuatu yang biasa dan bersifat sejagat.

Perkembangan teknologi pengetahuan serta berlakunya silang budaya sebagai sebahagian daripada evolusi atau revolusi perubahan sosial tidak dinafikan mempunyai pengaruh dalam pembinaan neraca dalam mengukur kecantikan. Maka amalan dalam sesetengah budaya masyarakat bagi membentuk kecantikan pada diri seseorang lama kelamaan hilang, tidak diamalkan dan hanya menjadi sejarah. Contohnya amalan mengecilkan kaki di kalangan wanita Cina silam sudah tidak diamalkan oleh generasi baru. Selain ia sangat tidak digalakkan dari segi kesihatan dan kesejahteraan diri yang hakiki.

Melalui pengajaran yang terkandung dalam budaya orang-orang Timur, yang diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi, kecantikan itu akan diambil kira bersama dengan peribadi yang baik dan pekerti yang penuh kesantunan. Walaupun tingkah laku orang-orang Timur seperti orang Melayu pada hari ini dikatakan telah semakin berubah dan tidak lagi mengekalkan apa yang dipegang oleh nenek moyang, akan tetapi itulah yang menjadi pengenalan diri kepada orang-orang Melayu dan juga di kalangan bangsa sebelah Timur. Kecantikan wajah seseorang akan bertukar serta-merta menjadi sesuatu yang dilihat buruk dan jelik apabila ia menyerlahkan rasa marah atau bengis. Ini juga yang disebut oleh Plotinus. Sifat malu yang sangat tebal yang secara budayanya dimiliki oleh orang-orang Timur juga menjadi sebahagian daripada ciri-ciri kecantikan yang perlu ada pada diri seseorang. Baruch Spinoza mempunyai pemikiran yang sama lantas mengenepikan kecantikan sebagai intipati kepada nafsu semata-mata.

Silang budaya yang berlaku ada ketikanya lebih tepat disebut sebagai penjajahan budaya. Pegangan yang murni dalam melihat dan menilai kecantikan, terjajah oleh pemikiran-pemikiran yang keras sifatnya lantas menolak pemikiran tradisi yang sesetengahnya bersifat lebih mendamaikan jiwa.

Sesetengah daripada kita menerima bulat-bulat terhadap pengenalan dan tafsiran kecantikan yang tidak diasaskan oleh prinsip-prinsip yang jelas. Bila ini berlaku, kita menjadi begitu taksub sehingga tidak sedar lemas dalam arus. Dari situlah kita membina kecantikan diri dan berpenampilan tanpa mengambil kira secara saksama budaya hidup yang sudah begitu lama melindungi peradaban bangsa.

Juga telah sangat lama sebenarnya kita mentafsir kecantikan menurut apa yang ada secara zahir. Lalu kita terlepas pandang bahawa kalangan yang cacat penglihatan juga mempunyai naluri yang sama untuk menikmati kecantikan. Bagaimana mereka mentafsir kecantikan juga sewajarnya turut diambil dalam perkiraan oleh orang-orang yang celik supaya kecantikan itu dapat dinilai dengan lebih seimbang dan menyeluruh. Mereka menilai melalui suara yang didengar. Cara berhubungan adalah ukuran bagi mereka menilai kecantikan seseorang.

Ketaksuban kita mengejar kecantikan atau ketaksuban kita untuk menjadi lebih cantik adakalanya memerangkap diri sehingga tidak memiliki jati diri. Di sinilah kita melihat pentingnya ketakwaan untuk dijadikan sebagai asas dalam membina neraca untuk mengukur dan menilai erti kecantikan, supaya kecantikan itu merupakan sifat atau unsur yang benar-benar bererti.

Agama akan membimbing naluri dan pemikiran untuk mewujudkan kerangka dalam mentafsir kecantikan. Ada ciri-ciri yang boleh diterima agama sebagai ciri-ciri kecantikan semula jadi. Tetapi agama Islam amat mementingkan tauhid dan juga akhlak sebagai prasyarat yang perlu ada. Agama akan membendung pemikiran, nafsu dan juga emosi untuk kita mentafsir kecantikan, atau bagi kita membentuk kecantikan pada diri. Kecantikan juga seharusnya diguna bagi tujuan yang baik. Sebaliknya, mempergunakan kecantikan dengan niat yang tidak baik hanya akan merendahkan martabat kecantikan itu sendiri.

~ Siti Shamsiah Binti Md Supi

Sumber: Ikim Menilai Kecantikan Yang Bererti

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.