Solat Istikharah Jawapan Kekeliruan


Share on Tumblr Saya mempunyai masalah membuat keputusan atau pilihan. Semuanya tidak meyakinkan.
Selepas membuat sesuatu keputusan, saya akan memikirkan kembali keputusan yang sudah dibuat itu.

Kadangkala, keputusan saya akan berubah kepada satu keputusan lain.

Tolonglah saya Dr bagaimana untuk membuat keputusan dengan penuh keyakinan? Bagaimana kaedah diguna pakai Islam dalam membuat keputusan?

---------

KESUKARAN membuat keputusan yang baik boleh memberi masalah kepada adik.
Dalam Islam, sebelum membuat sebarang keputusan, kita dicadangkan menunaikan solat Istikharah.


Solat ini bagi memohon petunjuk dari Allah dalam membuat sesuatu keputusan.

Istikharah bermaksud 'meminta Allah mengilhamkan sesuatu dalam sesuatu urusan' adalah senjata terbaik untuk membuat pilihan yang tepat.

Adik bukan sahaja boleh melakukan solat Istikharah yang membabitkan pemilihan bakal pasangan, tetapi memohon petunjuk Allah dalam perkara lain.

Solat Istikharah membantu adik memohon petunjuk mesngenai perkara yang menimbulkan keraguan dalam membuat sesuatu penentuan atau pilihan.

Apabila adik melakukan solat dan doa Istikharah, ia bererti adik memohon semoga Allah menunjukkan keputusan yang terbaik.

Kata Jabir bin Abdullah: "Rasulullah s.a.w. mengajar kami beristikharah dalam semua pekerjaan seperti baginda mengajar kami satu surah dari Al-Quran, sabdanya: 'Apabila seseorang kamu mempunyai rancangan untuk melakukan sesuatu hendaklah dia melakukan solat sunat dua rakaat, kemudian bacalah doa ini.

'Maksudnya: "Ya Allah, aku memohon petunjuk daripada-Mu dengan ilmu-Mu dan aku memohon ketentuan daripada-Mu dengan kekuasaan-Mu dan aku memohon daripada-Mu akan limpah kurniaan-Mu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahui segala perkara yang ghaib. Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini (sebutkan...) adalah bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatlah bagiku padanya dan seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya." (sebutkan urusan yang dimaksudkan di tempat yang bertitik).'"

Melakukan solat istikharah memberi faedah besar kerana Allah berfirman: "...dan berbincanglah dengan mereka (sahabat) dalam urusan itu (peperangan, ekonomi, politik dan lain-lain). Apabila kamu sudah membulatkan tekad, bertawakallah kepada Allah..." (AQ Ali Imran 3:159) (HR Bukhari 7/162)

Mengikut beberapa buah kitab seperti Kitab Minyatul Musolli, Sabilal Muhtadin dan Sairus Salikin, secara ringkasnya cara melakukan solat Istikharah adalah seperti berikut;

1. Pertama, waktu yang terbaik ialah pada 2/3 malam (iaitu sekitar jam 2 pagi). Bagaimanapun, ia boleh dilakukan pada bila-bila masa dalam waktu yang diharuskan solat contohnya selepas Maghrib.

2. Niatnya 'Sahaja aku sembahyang sunat istikharah dua rakaat kerana Allah ta'ala.'

3. Dalam rakaat pertama selepas surah Al-Fatihah baca surah Al-Kafirun atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca.

4. Dalam rakaat kedua selepas surah Al-Fatihah baca surah Al-Ikhlas atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca.

5. Selepas memberi salam baca doa berikut (mulakan dengan basmalah dan selawat dahulu).

Semoga sedikit penerangan Dr mengenai solat Istikharah ini dapat membantu adik menjawab persoalan diri serta membantu adik dalam membuat keputusan yang baik.

Adik boleh mengetahui lebih lanjut mengenai solat istikharah ini dengan bertanya orang yang arif seperti ustaz atau membaca buku yang berkaitan.

- Dr Sapora Sipon Solat Istikharah Jawapan Kekeliruan

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.