Kisah Pengajaran: Kisah 3 lelaki di majlis ilmu


Share on Tumblr
Kisah tiga lelaki dalam majlis ilmu yang dikendalikan Rasulullah SAW boleh dijadikan pengajaran kepada sesiapa yang berminat mendalami ilmu agama dan khabar dibawa Rasulullah SAW boleh dijadikan panduan dalam proses pencarian ilmu keagamaan.

Daripada Abi Waaqid Allaithy menceritakan, sewaktu Rasulullah SAW berada dalam majlis ilmu di masjid bersama sahabatnya, datang tiga lelaki, lalu dua orang terus menyertai majlis ilmu itu manakala seorang lagi berlalu begitu saja (tanpa menyertainya).

Sewaktu kedua-dua orang itu berada dekat halaqah, salah seorang daripada mereka terlihat ruang kosong lalu dia duduk di situ, manakala seorang lagi duduk jauh di belakang. Lelaki yang ketiga beredar.


Apabila Rasulullah SAW selesai mengendalikan pengajian lalu Baginda bersabda: “Mahukah kalian aku khabarkan mengenai hal orang bertiga itu? Yang pertama itu dia bersungguh-sungguh untuk mencari ilmu, maka Allah melapangkan tempat untuknya, manakala yang kedua itu dia berasa malu (tidak bersungguh-sungguh) maka Allah juga malu daripadanya (yakni tidak memberinya ilmu yang banyak) dan yang ketiga itu dia berpaling dari Allah, maka Allah juga berpaling daripadanya (tidak mengendahkannya).”

Daripada Abi Musa, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perumpamaan hidayah dan ilmu yang aku bawa daripada Allah adalah bagaikan hujan yang lebat menimpa bumi; maka ada bahagiannya yang subur dan mudah menyerap air, lalu tumbuhlah pokok dan rumput yang banyak, dan ada pula bahagiannya yang keras hanya menakung air tetapi tidak menyerap, lalu manusia dapat mengambil manfaat daripadanya seperti minum, menyirami dan mengairi tanaman, dan ada pula bahagian yang lain iaitu bahagian tanah yang sama sekali tidak menerima air dan tidak pula tumbuh tanaman (diatasnya).”

Itu adalah perumpamaan (untuk) orang yang memahami agama Allah, dia dapat mengambil manfaat daripada apa yang diberikan Allah kepadaku, lalu ia mengetahuinya dan mengajarkannya (kepada orang lain); dan perumpamaan (untuk) orang yang tidak mengangkat kepala dengan itu; dan (perumpamaan untuk orang) yang tidak menerima hidayah yang telah diturunkan oleh Allah SWT kepadaku.” (Hadis sahih, Muttafaq ‘Alaihi).

Antara ilmu yang utama ialah ilmu yang diwahyukan kepada Rasul-Nya. Ilmu agama ini diturunkan Allah Taala dengan dua tujuan iaitu mengaturkan hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan Allah Taala.

Keduanya, dengan ilmu agama ini diajarkan adab dan peraturan yang mesti diamalkan seseorang dalam hubungannya dengan Allah demi mencapai keredaan-Nya. Matlamatnya jelas untuk kebahagiaan di dunia dan mendapat balasan sebaik-baiknya di akhirat kelak.

Letakkan niat yang baik supaya dapat memperbaiki diri dengan menambah pengetahuan dalam ilmu agama bagi memudahkan urusan amal ibadah.

Daripada Ka’ab bin Malik, katanya: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang menuntut ilmu (agama) bertujuan untuk menyaingi ulama atau berbahas dengan orang jahil atau supaya dengan ilmu itu wajah orang ramai tertumpu kepadanya, maka Allah masukkan dia ke dalam neraka.” (Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah).
Kisah Pengajaran: Kisah 3 lelaki di majlis ilmu

1 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.