Jiwa pemaaf sentiasa tenang


Share on Tumblr AIDILFITRI turut dikaitkan dengan sifat saling bermaafan, antara sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap individu Muslim. Ayat al-Quran dan hadis menekankan keutamaan bersifat pemaaf yang disebutkan juga sifat orang yang hampir di sisi Allah.

Firman Allah bermaksud: "Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah menyintai orang yang berbuat kebajikan." (Surah al-Imran, ayat 134)

Orang yang bersifat pemaaf adalah golongan insan yang berjaya menahan nafsu amarahnya terhadap orang lain tanpa rasa dendam dan sakit hati. Insan pemaaf selalunya akan bebas perasaan buruk sangka dan dendam kesumat.

Pada Syawal ini, mereka bersifat dan berhati mulia akan sentiasa mendapat ketenangan dan kebahagiaan akan dilimpahi Allah kepadanya lantaran memartabatkan kemaafan bagi mengisi Aidilfitri yang begitu bermakna.

Salah dan silap dalam sebarang tingkah laku yang berlaku sebelum ini akan dilupakan, begitu juga kepahitan terjadi, dianggap sebagai ujian Allah untuk menduga sejauh mana kemampuan kita mengawal perasaan marah.

Timbul juga pertanyaan sampai bila kita harus sentiasa memaafkan khususnya mereka yang tidak serik melakukan kesalahan melukakan hati orang lain. Bukankah orang yang dizalimi boleh membela diri untuk membalas kezaliman itu.

Saat persoalan itu mula menyucuk hati, hendaklah kembali menyemai sifat murni untuk memaafkan kesalahan orang lain.

Allah berfirman bermaksud: "Dan bagi orang yang dizalimi mereka akan membela diri. Dan balasan sesuatu kejahatan adalah kejahatan serupa. Maka, sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik, maka pahalanya adalah tanggungan Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang zalim." (Surah as-Syuara', ayat 39-40)

Setiap Muslim perlu sedar kebaikan kita kepada seseorang tidak seharusnya akan lenyap begitu saja lantaran kejahatan orang lain kepada kita seperti sikap Saidina Abu Bakar as-Siddiq ketika berlaku peristiwa berita dusta menimpa anaknya, Aisyah, isteri Rasulullah SAW.

Umum mengakui penyebaran fitnah dan pembohongan adalah perbuatan keji yang boleh meruntuhkan kemakmuran dan keharmonian hidup insan seluruhnya. Lantaran itulah ketika berlaku peristiwa itu, Saidina Abu Bakar begitu marah kepada orang yang membuat fitnah.

Beliau terus memberhentikan layanan baik yang diberikan kepada sahabat handai dan rakan taulan yang turut terbabit dalam peristiwa penyebaran khabar dusta itu. Tindakan Saidina Abu Bakar itu rupa-rupanya tidak disukai Allah.

Lalu turunlah wahyu kepada Rasulullah SAW bagi memberi teguran dalam firman yang bermaksud: "Dan janganlah orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan memberi pertolongan kepada kaum kerabatnya, orang miskin dan orang yang berhijrah di jalan Allah. Hendaklah mereka sentiasa memaafkan mereka dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi." (Surah an-Nur, ayat 22)

Sesungguhnya putik-putik kejahatan yang tumbuh hanya akan membangkitkan persengketaan berterusan untuk tempoh masa lama. Sebaliknya jika kejahatan dibalas dengan kebaikan, nescaya akan padam api kemarahan dan terurai rasa terpendam dalam diri.

Aisyah pernah menyatakan: "Rasulullah SAW tidak pernah memukul sesiapa pun, tidak juga isteri dan pembantu Baginda, kecuali dalam berperang di jalan Allah. Dan dia tidak pernah membalas sedikitpun kepada seseorang yang menyakiti hatinya, kecuali dalam hal larangan Allah." (Hadis riwayat Muslim)

Anas pula menceritakan: "Ketika saya sedang berjalan bersama Rasulullah SAW dan pada waktu itu Baginda sedang mengenakan selimut tebal dari Najran. Seorang Arab Badwi mengetahui hal itu lalu menariknya dengan kasar sambil berkata: Hai Muhammad, serahkan padaku harta Allah yang kamu miliki. Maka Rasulullah pun tersenyum dan Baginda pun memakbulkan permintaan orang itu." (Hadis riwayat Muttafaq Alaih)

Ulama menyifatkan sifat pemaaf boleh merujuk kepada dua sempadan yang ditentukan Islam dalam menghadapi sesuatu kejahatan. Pertama, memaafkan kesalahan orang lain bagi yang terlanjur berbuat dosa dan kedua, dihukum setimpal kesalahannya.

Hukuman lebih berat mungkin boleh diambil termasuk qisas. Hukuman itu sebagai pengajaran dan iktibar kepada mereka yang terbabit dan kepada semua umat muslimin secara keseluruhannya.

Sifat pemaaf juga suatu tarbiah kepada seseorang yang terlanjur melakukan kesilapan dan kesalahan hingga boleh membuat si pembuat kesalahan itu berasa malu seterusnya mula menyedari akan kesilapan tindak-tanduknya itu.

Marilah kita sama-sama bermuhasabah dalam menangani konsep bermaafan ini. Beruntunglah orang yang memiliki sifat pemaaf kerana dalam sifat pemaaf itulah terkandung kemuliaan, keberanian dan kekuatan.

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli Jiwa pemaaf sentiasa tenang

3 Komen:

Tanpa Nama berkata...

tq..bnyak2..kwn..ko tl tlg aq..

Tanpa Nama berkata...

sayang

Tanpa Nama berkata...

salam ukhwah fillah...terima qaseh atas perkongsian ilmu...

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.