Tip kawan berkualiti


Share on Tumblr
Tip kawan berkualiti

* Intuitif - Tahu apabila kawan memerlukan bantuan, iaitu seseorang yang boleh bergantung harap dalam apa jua keadaan.

* Berasa tenang dan boleh didampingi - Individu akan berasa gembira, boleh berkongsi perasaan dalaman seperti harapan, keriangan, mahupun ketakutan, boleh bercakap dengannya, boleh bersikap serius, mampu membahagiakan antara satu sama lain, menangis dan ketawa bersama, saling belas kasihan, dan mendengar luahan antara satu sama lain.

* Menerima diri seadanya. Tidak kira siapa anda, tidak malu berdamping dengan anda, tidak mentertawakan apabila berkelakuan defensif, tidak menjatuhkan anda apabila membuat kesilapan, tidak menghukum, mengkritik atau membuat diri anda kelihatan bodoh.



* Berempati - Memahami dan prihatin terhadap perasaan anda.

* Boleh diharap semasa susah dan senang, serta saling membantu.

* Terbuka dan jujur tanpa melukakan hati anda.

* Memberi sokongan moral dalam mendorong anda mencapai kejayaan dan melakukan yang terbaik.

* Menghargai antara satu sama lain.

* Baik hati dan bertimbang rasa.

* Anda boleh menjadi diri anda sebenarnya

* Boleh marah tetapi tetap berkawan.

* Melihat dan menjelmakan yang terbaik seperti menyokong, menggalakkan, mahupun bersikap positif.

* Tidak pernah menjatuhkan diri anda.

* Serius dalam persahabatan.

* Sedia mendengar.

Elakkan daripada melakukan perkara berikut

* Bercerita buruk mengenai dirinya di belakang.

* Berasa cemburu.

* Percaya khabar angin tanpa bukti nyata.

* Katakan yang baikbaik supaya tidak melukakan hatinya.

* Buat sesuatu yang anda sendiri tidak inginkan.

* Cepat membuat andaian.

KES

Shazwani, 16. Kg Pandan: Saya rasa berkelakuan baik, namun setiap kali mengalami situasi dipulaukan kawan. Kebelakangan ini, mereka selalu meninggalkan saya malah, tidak mengajak saya lagi untuk bersuka ria. Mengapa mereka buat saya begini?

Adik berasa tertekan kerana beranggapan diri dipulaukan kawan. Ketika ini, adik ingin diterima kawan agar boleh berkongsi perasaan dan melakukan aktiviti sama.

Apabila dipulaukan, timbul konflik dalam diri iaitu adik berasa rendah diri serta tidak dihargai akibat tiada rakan untuk melakukan aktiviti sosial bersama. Tidak dinafikan pada usia remaja, perkembangan sosial bersama rakan sebaya penting dalam menentukan bentuk identiti dan harga diri positif, kelak.

Persahabatan kunci kejayaan

Persahabatan dibina berdasarkan kefahaman dan kepercayaan mendalam. Lazimnya, membina ikatan persahabatan mengambil masa lama.

Remaja biasanya mempunyai ramai kawan terutama di sekolah.

Daripada senario persahabatan berkenaan, ada pelbagai jenis persahabatan, antaranya persahabatan yang bertahan seketika dan sahabat rapat dan berterusan biarpun sudah tamat persekolahan.

Kebanyakan individu menyatakan sahabat adalah kawan karib mereka. Walaupun rakan sering dikaitkan dengan umur sebaya, namun ada juga kawan daripada kalangan luar alam persekolahan.

Kawan boleh menjadi sesiapa saja termasuk ahli keluarga seperti adik- beradik, datuk, dan nenek. Malah, jika pandai berinteraksi, ibu bapa juga boleh dijadikan rakan berkongsi perasaan.

Untuk makluman Syazwan, remaja sering terdedah kepada tekanan sama ada dari segi fizikal dan mental yang boleh menyebabkan konflik jiwa pada usia sebegini.

Persoalannya, adakah setiap remaja mesti menghadapi tekanan atau konflik jiwa? Untuk menjawab persoalan ini, pertama kita perlu menjawab apakah yang menyebabkan konflik atau tekanan wujud pada remaja.

Tekanan terjadi apabila tiada keseimbangan dalam diri individu menyebabkan timbul kekeliruan. Hal ini menyebabkan keadaan remaja menjadi lebih tenat kerana berlakunya pergelutan dan perubahan yang yang mengganggu kualiti hidup mereka.

Usia remaja adalah usia di mana seseorang individu itu mencari identiti diri.

Individu yang dipulaukan kawan berkemungkinan mempunyai ciri bertentangan dengan mereka yang popular dan disanjungi rakan.

Mereka mungkin kurang yakin pada diri, penakut, pentingkan diri sendiri, tidak boleh menerima pandangan orang lain, kurang bertolak-ansur atau sangat berkira.

Tetapi individu bersikap agresif, sombong dan terlalu mendesak juga berisiko tidak disukai dan berkemungkinan dipulau rakan.

Pentingnya persahabatan semasa remaja

Rakan seharusnya mampu berbincang secara terbuka dan jujur. Ini menjadikan remaja peka terhadap kekuatan dan kelemahan diri, keperluan dan keinginan antara satu sama lain. Apa yang penting untuk ditekankan adalah pembentukan konsep kendiri, mengambil perspektif, identiti dan ikatan yang erat dan mesra. Ia juga proses sosial utama remaja bersama rakan sebaya.

Membantu semasa tertekan dalam kalangan remaja

Keakraban persahabatan yang terbina dalam kalangan kawan-kawan menimbulkan kepekaan sekali gus meningkatkan empati dan tingkah laku pro- sosial. Sokongan kawankawan akan mengurangkan masalah seharian dan meningkatkan penghargaan kendiri kepada individu.

Memperbaiki sikap

Pemilihan kawan yang betul dan sesuai adalah penting kerana kawan berisiko mempengaruhi tingkah laku seseorang. Oleh yang sedemikian, melalui hubungan persahabatan yang memuaskan, individu berupaya meningkatkan prestasi dan kualiti hidupnya.

Hubungan rakan sebaya dan perkembangan remaja

Menurut Kelly & Hansen (1987), ada enam faktor positif yang menyumbang kepada perkembangan remaja melalui rakan sebaya:

* Mengawal naluri agresif.

* Memperoleh sokongan emosi dan sosial serta mampu belajar berdikari.

* Menyediakan peluang untuk mencuba pemikiran, emosi, dan tingkah laku baru.

* Membentuk sikap mengenai seks, minat, dan tingkah laku peranan berlainan jantina.

* Membentuk pertimbangan moral dan nilai-nilai sosial.

* Memperbaiki atau mengekalkan harga diri melalui interaksi secara strategik.

Memperbaiki diri sebagai kawan;

* Jadilah orang pertama meminta maaf sekiranya berlaku pertengkaran.

* Letakkan diri anda ke dalam situasi rakan agar anda benar-benar memahaminya.

* Tunjukkan penghargaan melalui perbuatan yang menunjukkan kemesraan.

* Pamerkan kejujuran dan beritahu perasaan sebenar anda.

* Pengaruhi rakan supaya menjadi baik dan positif.

* Bersikap serius terhadap persahabatan.

Akhir kata, adik digalakkan meneroka diri dengan lebih mendalam dan memahami keperluan diri dan orang lain terlebih dulu. Selepas memahami, kemudian adik cuba mengadaptasikan diri dalam persekitarannya. Harap adik boleh memahami iaitu mengubah diri adalah lebih mudah daripada mengubah orang lain. Oleh itu, adik perlu pandai mengurus tekanan dan emosi dengan lebih efektif.
Tip kawan berkualiti

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.