Aktiviti mudah tapi mampu menggembirakan hati


Share on Tumblr
20 aktiviti rawat emosi

Meluangkan masa untuk diri sendiri bukan saja boleh memperbaiki emosi, berasa gembira, bahkan mampu menyerlahkan keperibadian yang disenangi yang membuatkan seseorang kelihatan lebih menawan.

Bagaimana agaknya untuk mendapatkan kegembiraan itu. Di bawah disenaraikan 20 aktiviti mudah tetapi mampu memperbaiki emosi, seterusnya membuatkan kita gembira.

1. Menonton filem

Aktiviti ini nampak seolaholah terlalu mudah dan boleh dilakukan di rumah saja. Apa yang anda perlukan hanyalah pakaian yang selesa dan juga filem kegemaran anda. Jika anda mempunyai rakan baik, aktiviti ini akan menjadi lebih menyeronokkan. Tonton dari sofa yang atau katil dan biarkan diri anda tenggelam dalam filem berkenaan. Kadang-kadang, hidup ini terlalu serius.

2. Hantar e-mel yang baik

Kadang-kala apabila anda berasa murung atau kesunyian, hantarkan e-mel kepada rakan yang sudah lama tidak dihubungi. E-mel juga kepada rakan baru dan aturkan pertemuan. Anda juga boleh menghantar e-mel kepada suami dengan memberikannya pujian. Ini kerana berbuat baik pada orang lain mampu menggembirakan diri anda.

3. Hubungi ibu anda

Bercakap dengan seseorang yang mampu meletakkan keadaan anda dalam perspektif yang betul. Berbual dengan ibu boleh membantu meningkatkan mood diri sendiri. Ia membantu anda menyedari bahawa kehidupan belum berakhir lagi dan membuatkan anda tidak peduli dengan perkara menyakitkan yang akan berlaku dalam tempoh lima tahun dari sekarang.

4. Bau kelapa

Biarpun cara ini kelihatan agak aneh tetapi ia sudah terbukti berkesan! Kajian menunjukkan bahawa bau kelapa adalah penggalak mood yang segera.

5. Melihat gambar percutian lama

Salah satu perkara yang membantu memperbaiki emosi adalah melihat gambar percutian lama yang menyeronokkan. Ia mengingatkan anda mengenai saat menyeronokkan dan bagaimana kehidupan anda penuh dengan hari yang baik dan tidak begitu baik. Ia juga akan mencetuskan keseronokan untuk pergi bercuti semula atau menghabiskan masa bersama keluarga atau rakan.

6. Merancang percutian

Sekali-sekala kita semua perlu pergi bercuti. Jika tidak mempunyai wang yang cukup, di sinilah letaknya keperluan merancang percutian itu. Perancangan untuk pergi bercuti sama menyeronokkan dengan bercuti. Cuba teroka dan mencari maklumat mengenai destinasi baru yang mungkin anda akan lawati satu hari nanti. Tinjau makanan tempatan dan perayaan yang ada di situ. Hanya dengan bermimpi bercuti pun sudah menjadi penggalak mood segera.

7. Buat biskut dan berkongsi dengan orang lain

Sibukkan diri dengan bermacam aktiviti adalah cara terbaik untuk melupakan tekanan yang ada dalam diri anda. Antara caranya adalah dengan membuat biskut dalam jumlah yang banyak dan kemudian kongsi bersama jiran, rakan dan keluarga. Apabila mereka tersenyum, anda pasti akan bahagia.

8. Menjadi aktif

Apa saja jenis aktiviti serta merta akan meningkatkan mood anda. Ada yang gembira apabila mereka membersihkan rumah kerana keadaan yang kemas akan membuatkannya gembira. Apabila berasa murung, anda juga boleh melakukan senaman ringan seperti berjalan atau bermain bola jaring atau sukan lain. Ia adalah cara terbaik yang bukan saja sihat untuk anda tetapi mampu meningkatkan mood dengan segera.

9. Menari

Mainkan lagu yang rancak bertenaga dan terus menari kerana ia dapat menggalakkan pengeluaran hormon endorfin yang mampu membuatkan diri rasa lebih ceria dan bersemangat.

10. Kemaskan sekeliling dan jadikannya lebih teratur

Buang barangan yang tidak digunakan dan membuat ruang kelihatan semak adalah cara terbaik untuk menghilangkan tekanan. Membersihkan semak di rumah dikaitkan dengan membersihkan kekusutan dalam kepala. Apabila ruang sekeliling menjadi lebih kemas dan tersusun, hidup anda juga akan lebih mudah dikendalikan.

11. Ambil cuti sehari
Ambil cuti sehari jika boleh berbuat demikian. Jika tidak, ambil cuti sehari daripada segala rutin anda. Jika setiap malam anda akan membasuh pakaian atau pinggan mangkuk, minta suami melakukannya untuk satu malam. Jadikan hari itu sebagai hari anda merehatkan minda untuk menjadi seorang yang lebih ceria. Keluarga anda memerlukan seorang yang tidak terlalu tertekan dengan kehidupannya.

12. Mencabar akal

Sentiasa memenuhi akal dengan pelbagai aktiviti menyeronokkan misalnya membuat teka-teki atau soal jawab minda. Terdapat banyak permainan talian di Internet yang boleh membuatkan kita sentiasa berfikir.

13. Mempelajari perkara baru

Mula mempelajari perkara baru sememangnya dapat membantu meningkatkan keyakinan diri dengan pantas. Mengetahui bahawa anda sedang belajar menguasai kemahiran tertentu memberikan perasaan yang hebat dalam diri. Cuba pilih satu bahasa dan mempelajarinya atau belajar bermain alat muzik.

14. Menetapkan matlamat fizikal
Cuba fikirkan satu matlamat berbentuk fizikal yang anda fikir tidak boleh dilakukan misalnya berlari sejauh tiga kilometer setiap minggu. Tetapkan matlamat dan berjanji pada diri anda akan lakukannya. Lakukan secara bersungguh-sungguh.

15. Tonton rancangan komedi

Pilih pelawak yang anda suka dan tonton videonya atau pilih siaran komedi yang mampu membuat anda ketawa. Jika anda terasa bosan, ini adalah cara terbaik menaikkan mood. Hidup ini tidak seharusnya dijalani dengan terlalu serius sebaliknya setiap perkara yang berlaku dalam hidup biarpun kelihatan teruk boleh dilihat dari sisi komedi. Cara itu akan menjadikan anda lebih tabah dalam berhadapan masalah.

16. Wujudkan `malam spa':

Berendam dalam tab mandi juga boleh meningkatkan mood dengan segera dan membuatkan hati seseorang berbunga kerana aktiviti itu menenangkan. Apalagi jika berendam dalam tab mandi yang diisi dengan bunga-bungaan dan air mawar, serta disinari dengan cahaya suram dan lilin wangian. Ambil masa menikmati saat berkenaan sambil membersihkan tubuh. Selepas mandi sapukan losen di seluruh tubuh, anda pasti berasa gembira.

17. Manjakan diri sendiri

Manjakan diri anda dengan cara yang terbaik anda tahu kerana setiap dari kita mempunyai idea yang berbeza. Mungkin anda boleh menikmati makanan yang lazat di restoran atau keluar membeli-belah. Ketika memanjakan diri, jangan menggunakan pelbagai alasan untuk tidak mendapatkan barangan yang anda suka, sebaliknya beritahu diri anda, anda layak menerimanya.

18. Tukar gaya
Ketika berasa sedih, sedikit penukaran mampu menggembirakan hati anda. Apa kata ia bermula dengan menukar pakaian anda dengan mendapatkan tip gaya berpakaian atau stail menerusi laman web fesyen. Ia tidak terlalu mudah untuk dilakukan tetapi anda pasti gembira sebaik melihat gaya terbaru anda.

19. Membantu orang lain

Menghabiskan masa anda dengan membantu orang lain adalah satu cara terbaik untuk mengubah mood dan sikap anda. Sukar untuk anda merungut mengenai kerja anda atau kehidupan yang anda sekarang apabila melihat sendiri penderitaan orang lain yang tidak mempunyai rumah atau keluarga.

20. Bersyukur

Senaraikan semua perkara dalam hidup anda yang membuatkan anda berasa bersyukur dengan kehidupan yang dinikmati sekarang ini. Ia secara tidak langsung akan membuat anda sedar betapa beruntungnya anda dan rasa syukur inilah yang akan membuatkan masalah terasa begitu kecil dan remeh.

Aktiviti mudah tapi mampu menggembirakan hati

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.