Tip Meningkatkan Perhubungan Dengan Rakan Sebaya Secara Realiti


Share on Tumblr
Meningkatkan Perhubungan Dengan Rakan Sebaya Secara Realiti

Pada zaman ini, ramai pelajar yang kurang kemahiran tentang cara untuk membina hubungan dan merapatkan diri dengan rakan sebaya mereka. Mereka terlalu memberi fokus kepada akademik sehingga terlupa dengan orang lain yang ada dalam persekitaran mereka.

Apabila berada di hadapan skrin komputer, mereka terlupa tentang rakan-rakan atau keluarga mereka. Akhirnya pelajar ini akan menjadi nerd, jenis ulat buku yang tiada kemahiran berinteraksi dengan orang lain seterusnya menjadi kera sumbang yang akan mengundang masalah semasa mereka meningkat dewasa kelak.

Minggu ini, anda akan diberikan tip bagaimana untuk meningkatkan perhubungan dengan rakan sebaya anda.

1. Biarkan Televisyen Anda Bersendirian

Cerita yang ditayangkan dalam televisyen boleh ditonton tetapi hanya untuk hiburan. Ada pelajar ketagih menonton sesuatu filem sehingga menyebabkan mereka terlupa tentang realiti kehidupan.

Realiti yang dipaparkan dalam skrin televisyen ialah realiti khayalan, bukannya realiti sebenar.

Realiti sebenar ialah apabila anda sebagai pelakonnya dan memainkan peranan serta watak sebenar dalam kehidupan.

Apabila anda menonton cerita dalam skrin, anda menjadi individu yang pasif sehingga emosi dan minda anda dikawal oleh pengarah sesebuah cerita.

Apabila anda bergerak dan berinteraksi dengan manusia lain, anda ialah seorang pelaku yang aktif dan dapat mengawal minda, emosi dan perlakuan anda sendiri.

2. Biarkan Komputer dan Telefon Bimbit Anda Bersendirian

Menjadi suatu kelaziman kini setiap orang membawa telefon bimbit, komputer riba atau tablet ke mana sahaja mereka pergi. Apabila gajet-gajet ini sentiasa berada bersama-sama anda, gajet elektronik ini akan menjadi penghalang untuk anda berkomunikasi secara berkesan dengan orang di sekeliling anda.

Ketika anda sedang berbual, tiba-tiba telefon bimbit anda berbunyi dan sudah tentu anda akan memutuskan komunikasi anda dengan orang yang berada di hadapan anda untuk menjawab panggilan tadi. Situasi ini pastinya menghalang komunikasi realiti dan menerima komunikasi virtual yang bukan realiti.

Jika anda asyik melayari laman sesawang, anda juga terlupa tentang kemampuan rakan di sebelah anda untuk memberikan buah fikiran.

Akhirnya anda lebih percaya 100 peratus kepada maklumat dalam laman sesawang berbanding dengan idea rakan anda secara langsung. Perkara ini akan memberi kesan negatif terhadap corak perhubungan anda dengan orang lain.

3. Berikan Masa Yang Berkualiti Untuk Bersemuka

Sudah tentu anda mempunyai ramai kenalan rapat, keluarga yang terdekat. Tinggalkan sementara semua gajet yang ada dan beri tumpuan kepada orang yang ada di sekeliling anda.

Dengar masalah mereka, sumbangkan buah fikiran, bersenda gurau dengan mereka, kongsi pengalaman anda dan dengar dengan tekun pengalaman yang ingin mereka ceritakan kepada anda. Rakan-rakan anda ini lebih hidup, berbanding gajet yang anda bawa hari-hari. Jika anda ambil peduli tentang diri mereka, anda juga akan dipedulikan.

4. Mulakan Perbualan
Cari kawan-kawan yang boleh diajak berbincang dan berbual. Jumpa kawan-kawan anda pada waktu rehat. Semasa pulang daripada sekolah, berbuallah dengan rakan-rakan yang sama menunggu bas atau ibu bapa mereka.

Apabila berada dalam kereta, berkomunikasilah dengan ibu bapa anda. Semasa anda berada dalam bas sekolah, jangan segan untuk berkomunikasi dengan rakan yang duduk di sebelah anda.

Sentiasa mulakan perbualan jika ada peluang. Anda juga boleh bertegur sapa dan memulakan komunikasi dengan tetamu yang datang ke rumah anda.

Tip Meningkatkan Perhubungan Dengan Rakan Sebaya Secara Realiti

1 Komen:

Tanpa Nama berkata...

best ggggiiiilleeeerrrrr....

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.