Kemurungan Remaja, Rawat Sejak Awal


Share on Tumblr

Perwatakan ceria, murah senyuman dan ramah. Tiada siapa menyangka di sebalik wajah riang anak muda, bila-bila saja mereka boleh mengalami kemurungan hingga terdedah kepada sakit mental.

Sesiapa pun tidak mahu hidupnya hancur disebabkan menghidap penyakit apatah lagi penyakit mental. Rawatan awal boleh mengelakkan kita daripada terkena tempias penyakit mental seperti segera dapatkan rawatan sekiranya berasa murung.

Masih ramai beranggapan kemurungan berpunca daripada kelemahan jiwa. Malah, ada pengamal kesihatan menganggap kemurungan bukan isu besar kerana sesiapa saja pernah mengalami perasaan sedih. Disebabkan sikap sambil lewa ini menyebabkan masalah kemurungan semakin serius.

Kesedihan

Kita mudah melabel pesakit ini sebagai orang gila, sewel atau sakit jiwa. Lebih menghairankan apabila ada yang mengaitkan simptom kemurungan sebagai perbuatan sihir, buatan orang atau roh jahat, sekali gus menjadi faktor utama ramai pesakit awal enggan atau menangguhkan rawatan.

Kesedihan yang berkaitan dengan rasa murung tidak sama dengan kesedihan biasa yang dialami kebanyakan orang. Kesedihan biasa akan hilang dalam masa dua atau tiga hari tetapi murung boleh berlarutan dan menyebabkan individu itu merasakan dirinya tidak berguna serta hilang keinginan untuk meneruskan hidup.

REMAJA LEBIH BERISIKO

Sumber menjelaskan, kira-kira tiga juta penduduk negara ini yang mengalami masalah kesihatan mental berpotensi menghidap penyakit mental atau gila sekiranya tidak menerima rawatan dengan masalah murung menjadi punca utama penyakit berkenaan.

Kajian Beban Penyakit oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meramalkan masalah kemurungan yang menjadi antara punca penyakit mental akan naik ke tangga kedua teratas selepas penyakit jantung iskemia di seluruh dunia menjelang 2020.

Di Malaysia, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan ke-III pada 2006 menunjukkan kewujudan masalah kesihatan mental adalah 11.2 peratus dalam kalangan orang dewasa dan 20.3 peratus dalam kelompok kanak-kanak dan remaja.

Ini bermakna, remaja dan kanak-kanak berisiko untuk terdedah kepada penyakit mental berpunca daripada faktor biokimia dalam otak termasuk akibat peristiwa hitam dalam hidup, hilang orang tersayang, cabaran hidup terlalu sukar dan tahap sosioekonomi rendah.

SEAWAL 25 TAHUN

Pakar Perubatan Kesihatan Awam merangkap Ketua Penolong Pengarah Kanan (Kesihatan Mental) Cawangan Penyakit Tidak Berjangkit Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr Nurashikin Ibrahim berkata, kebanyakan kes dilapor membabitkan mereka berusia 25 hingga 34 tahun. Penyakit ini boleh dikesan melalui tanda awal seperti perubah an tingkah laku ketara, cepat marah, keresahan, sedih berpanjangan, mempunyai idea pelik, memikir dan bercakap soal bunuh diri, penyalahgunaan dadah serta alkohol dan tidak upaya melakukan aktiviti harian.

Katanya, individu yang mengalami masalah Neurosis cuma mengalami perubahan dalam pemikiran, perasaan menyebabkan gangguan dalam fungsi harian seperti kerap resah, murung dan bimbang, tetapi tidak menjejaskan kewarasan.

LELAKI LEBIH RAMAI

Walaupun perempuan sering dikaitkan dengan kaum yang penuh emosi tetapi tahukah anda, dalam isu ini, bilangan pesakit lelaki lebih ramai daripada wanita. Menurut sumber, bilangan pesakit lelaki lebih ramai daripada wanita disebabkan kemungkinan lelaki lebih sukar dikawal di luar kemudahan kesihatan berbanding wanita.

LEBIH PEKA

Bukan hanya diri sendiri, tetapi kita perlu peka terhadap orang sekeliling. Antara tanda kemurungan termasuklah kesedihan, rasa sepi dan jiwa kosong yang berpanjangan. Pola tidur terganggu kerana sukar tidur atau tidur berlebihan turut dikenal pasti sebagai simptom.

Selera makan terganggu, ada antaranya hilang selera dan makan berlebihan boleh dikategorikan sebagai tanda penyakit mental. Apabila ditegur, individu ini akan menjadi amat sensitif, pendiam dan suka mengasingkan diri.

Hilang minat atau keseronokan terhadap hobi dan aktiviti lain yang biasanya mendatangkan keseronokan seperti aktiviti riadah dan hobi. Rasa bersalah atau menyalahkan diri atas peristiwa buruk yang berlaku. Rasa hidup tidak bermakna atau lebih baik mati (ini tidak semestinya bermaksud keinginan untuk bunuh diri, tetapi suka jika kematian berlaku pada diri menyebabkan pesakit cenderung untuk abaikan pengurusan diri dan membiarkan kesihatan dan keselamatan terganggu. Pemikiran dan tindakan percubaan bunuh diri boleh juga berlaku pada pesakit jika kemurungan berlarutan tanpa bantuan atau rawatan.

RAWAT SEJAK AWAL

Dapatkan bantuan segera apabila sedar berlaku salah satu simptom. Jangan biarkan dalam jangka masa panjang kerana keadaan mungkin akan lebih sukar untuk dipulihkan. Bertemu dengan pakar perubatan, psikoterapis, kaunselor atau orang yang berkebolehan membantu.

Jika anda merasakan diri tiada makna, elakkan bersendirian. Berhubung dengan rakan dan saudara-mara yang boleh kita harapkan. Berbual dan bincang apa yang mengganggu fikiran anda.

Situasi di Malaysia tidak begitu membimbangkan kerana berdasarkan kes rawatan sejak 2008, jumlah pesakit mental yang dirawat akibat gangguan kes mental dan tingkah laku menurun 4.9 peratus (1,372 kes) pada 2010 dengan 26,186 kes berbanding tahun sebelumnya, 27,558 kes. Bagi 2007, jumlah pesakit direkodkan ialah 27,384 sebelum meningkat 174 kes pada 2008.

Difahamkan, penyakit ini masih terkawal sepenuhnya melalui pelbagai usaha kerajaan serta teknik rawatan ubatan moden memastikan proses pemulihan lancar seperti perkhidmatan psikiatri, sekali gus membantu pesakit kesihatan mental tidak merebak hingga menghidap penyakit mental.

Meskipun peratusan kes dilaporkan semakin menurun tetapi kita perlu mengambil langkah sewajarnya dengan menjalani kehidupan lebih berkualiti.


Oleh Shuhada Mansor
Kemurungan Remaja, Rawat Sejak Awal

1 Komen:

Mahil berkata...

Kemurungan boleh jadi penyakit ringan yang hanya menyebabkan beberapa gangguan dalam kehidupan harian. Tetapi ia juga boleh menjadi sangat serius dan membuat orang tidak dapat bekerja dan tidak mampu untuk mengambil bahagian dalam kehidupan sosial. Jadi kenalah berhati-hati.

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.