Sebab susah dapat kerja


Share on Tumblr
Sebab susah dapat kerja

Cemburu, makan hati dan sedih bercampur-baur apabila kawan sekelas berjaya dapat kerja selepas tamat pengajian.

Kegagalan dapat kerja memang memeningkan. Nak tahu kenapa? Ada beberapa sebabnya.

Bertahun-tahun cuba nasib mencari peluang kerja tapi masih belum diterima. Kawan lain bersuka ria `enjoy' gaji bulanan namun diri sendiri masih menganggur dan terpaksa minta duit ibu bapa. Sakit hati, dengki, sedih dan murung apabila terpaksa menyaksikan situasi ini, apatah lagi memikirkan pencapaian diri setaraf orang lain.

Hati pasti terdetik, apa bezanya mereka sedangkan daripada kalangan sekelas yang sama. Jika fasa menganggur berlarutan hingga bertahun-tahun, ia sedikit sebanyak melunturkan semangat, sekali gus buatkan diri rasa tidak berguna. Saat itu, mulalah menyesal belajar ke peringkat tinggi, menyesal berusaha memperoleh keputusan terbaik dan sebagainya. Jangan terlalu salahkan diri kerana hakikatnya situasi ini berlaku atas sebab tertentu.

MASIH MENTAH

Berpuluh-puluh sesi temu duga anda pergi namun tiada satu yang menelefon kembali untuk menawarkan pekerjaan. Temu duga berjalan dengan lancar hingga ada kalanya kita merasakan diri layak untuk jawatan dimohon. Tetapi mengapa masih tidak mendapat pekerjaan? Malah, ada di antara syarikat terbabit terus diam dan tidak menelefon kembali untuk beritahu permohonan diterima atau ditolak, pasti ada sebab perkara sedemikian terjadi.

Kita mungkin tidak tahu punca kenapa tidak diterima bekerja di mana-mana syarikat. Justeru, kita lebih suka menganggap organisasi memilih orang lebih berkelayakan tinggi dan seumpamanya. Tidak dinafikan, faktor tiada pengalaman dan masih mentah untuk diterima bekerja mungkin menjadi salah satu elemen diutamakan mana-mana syarikat tetapi jika pandai `menjual' kelebihan diri, pasti ada peluang.

MEMBOSANKAN DI LAMAN SOSIAL

Seseorang tidak dapat menilai sikap kita dengan hanya berjumpa dan berbicara ketika temu duga dijalankan. Penyelesaiannya, mereka akan menyiasat dengan menggunakan laman sosial. Dengan mengambil kira potensi kakitangan terbaru berstatus remaja, organisasi menganggap anda mempunyai pelbagai cabang akaun laman sosial, sekali gus membuktikan anda bukanlah seorang yang buta teknologi.

Apabila membaca kenyataan ini, kita mungkin akan mengatakan ia tidak profesional, namun cara ini digunakan secara meluas di Amerika Syarikat, bahkan tidak mustahil diguna pakai di negara ini. Jika anda sudah mengetahui salah satu sebab ini, berhati-hati dengan apa saja kenyataan dan status yang ingin dimuat naik di laman sosial! Sekiranya kerap meluahkan rasa marah, bersikap negatif terhadap seseorang atau mungkin kerap memulakan pergaduhan di laman sosial, anda bukanlah pilihan utama majikan.

GUNA `KABEL'

Istilah `kabel' di sini merujuk kepada `orang dalam' ataupun kakitangan yang bekerja di organisasi anda mohon. Ada kemungkinan strategi ini tidak diguna pakai di Malaysia tetapi tiada yang menidakkannya. Lain kisahnya sekiranya anda ingin memohon pekerjaan di luar negara, penggunaan orang dalam adalah penyebab utama anda tidak mendapat kerja.

Menurut soal selidik yang dijalankan Michigan State University, 32 peratus daripada syarikat besar tidak akan menerima resume yang dihantar oleh orang dalam.

Ada juga syarikat di Malaysia yang tidak menerima pasangan suami isteri atau anak beranak untuk kerja di bawah satu bumbung.

Difikirkan kembali, cara ini bukanlah terlalu kejam kerana banyak elemen positif difikirkan terlebih dulu sebelum dipraktikkan. Untuk memilih seorang kakitangan baru yang berdikari, berkaliber, lebih baik memilih mereka yang diterima bekerja dengan usaha sendiri tanpa bantuan orang lain, sekali gus mempengaruhi cara kerjanya pada kemudian hari.

`OVER' JUAL DIRI

Sesiapa pun tidak digalakkan untuk menjual diri ketika temu duga, tetapi ada antara kita yang melakukannya untuk menarik perhatian. Sekiranya dilakukan secara berlebihan, ia akan dianggap seperti berlagak.

Contohnya, jika kita menulis sesuatu kemahiran seperti aplikasi grafik di dalam resume, sekiranya kita hanya tahu mengubah posisi gambar menggunakan aplikasi terbabit bermaksud kita belum mahir menggunakan aplikasi itu. Jadi tidak perlulah menyenaraikannya di dalam senarai kemahiran anda.

Selain itu, menjual diri dengan menjawab berlebih-lebih, membandingkan dengan orang lain dan `over excited' ketika sesi temu duga dijalankan adalah perkara penting perlu dielakkan. Seeloknya, jawab dengan penuh profesional walaupun di dalam hati berombak kencang kerana gemuruh. Pastikan air muka tenang dan tonjolkan ciri kepemimpinan anda.

BELUM BERSEDIA

Sebelum menghadiri temu duga, buat sedikit persediaan awal dari semua segi sama ada dari segi penampilan, pilih pakaian yang kemas dan bersesuaian dengan pekerjaan dimohon. Sekiranya ingin menghadiri temu duga untuk menjadi seorang pegawai bank, janganlah mengenakan `skirt' terlalu pendek hingga menjolok mata, cukuplah sekadar kelihatan profesional.

Pastikan pakaian tidak berkedut kerana ia akan menggambarkan peribadi diri seorang yang pemalas. Kurangkan aksesori dan ikat rambut dengan kemas. Sediakan salinan resume dan dokumen penting untuk diserahkan kepada mereka yang menemu duga anda. Ini menunjukkan anda seorang yang teratur dan sentiasa bersedia.

Sekiranya tidak berjaya dalam temu duga, mungkin anda tidak mengkaji latar belakang syarikat itu. Sedikit pengetahuan mengenai syarikat serta pesaingnya mampu menampakkan minat anda terhadap perniagaan mereka dan kerja yang bakal ditawarkan.

Walau bidang apapun syarikat pilihan anda, tidak rugi untuk `buang masa' beberapa hari mengkaji latar belakang mereka. Ia akan dilihat sebagai kelebihan pada diri anda.

Oleh Shuhada Mansor
Sumber: Metro
Sebab susah dapat kerja

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.