Remaja sememangnya begitu menghargai keunikan diri dan mengambil identiti diri mereka dengan menyokong perasaan hormat diri yang tinggi kepada ibu bapa mereka.
Jika sebaliknya yang berlaku, iaitu sejak kecil remaja terlibat tidak berasa dirinya istimewa atau dihargai, dia akan berasakan kekeliruan wujud di dalam dirinya.
Ini terutama jika seorang remaja hanya mendapat perhatian apabila dia melakukan kesalahan atau kejahatan yang sebaliknya dilakukan.
Justeru, remaja mempunyai hak untuk membuat keputusan dan ibu bapa pula perlu memahami kehendak dan kepuasan yang diinginkan.
Namun yang pasti, remaja haruslah mempunyai alasan yang kukuh agar tidak berlakunya percanggahan pendapat oleh kedua-dua ibu bapa sehingga berani melakukan sesuatu di luar jangkaan.
Ikuti beberapa tip yang boleh dilakukan untuk mencapai kemuncak kebahagiaan hidup pada usia remaja.
Terima pendapat seadanya
Sekiranya ibu bapa memberi alasan yang tidak munasabah berkaitan sikap mahupun tingkah laku kamu, jangan sesekali cuba membetulkan atau memberi pendapat yang bertentangan dengan alasan yang dikemukakan.
Cara sebegini akan membuatkan ibu bapa berfikir dan berasa malu dengan alasan yang diberikan itu dan mungkin akan berasa bersalah dengan kenyataan yang tiada kepastiannya itu. Sebagai anak, elak berlalu pergi ketika ibu bapa sedang bercakap. Ini kerana, ia akan mengeruhkan lagi keadaan sekali gus menambahkan kemarahan mereka.
Jadi pendengar setia
Segala keputusan berkaitan masa depan anak-anak, sudah pastinya akan ditentukan oleh ibu bapa. Biarpun sudah mencapai usia remaja, kamu tidak boleh lari dengan pendapat yang dinyatakan. Sekiranya alasan yang diberikan ibu bapa itu munasabah, ia adalah keputusan yang tepat untuk kamu ikuti.
Jadilah pendengar yang setia ketika mereka menyatakan pelbagai alasan, peraturan atau keputusan baik buruk kamu. Bersabar dengan apa yang dikatakan dan ambil satu daripada 10 alasan yang dikemukakan itu dan beritahu mereka kenapa kamu bersetuju.
Ada sokongan yang kukuh
Remaja mempunyai hak untuk bersuara dan menyatakan pendapatnya sendiri. Sekiranya ada dalam kalangan ibu bapa menafikan atau menolak permintaan atau tidak benarkan anaknya tinggal berjauhan dengan mereka, jangan sesekali bertanya, kenapa. Lebih elok sekiranya kamu mengatakan tidak, untuk menyokong alasan tadi.
“Apa yang boleh saya lakukan untuk mendapatkan privacy, permintaan atau kebebasan?” Soalan itu memberikan anda sedikit idea untuk menyatakan hasrat yang diinginkan. Luangkan masa untuk menyatakan kehendak dan masa depan kamu kepada mereka dan berikan alasan positif yang mengarahkan kamu mampu hidup berdikari.
Fahami mood ibu bapa
Kemarahan yang meledak pada usia remaja adalah perkara biasa dalam kehidupan seseorang, baik remaja mahupun golongan dewasa. Setiap insan pasti mengalaminya. Rasa marah bukan kerana benci tetapi bersifat sayang atau teguran. Sekiranya kamu menghadapinya, bukan masa yang sesuai untuk kamu membalas kemarahan ibu bapa dengan rasa kebencian.
Terdapat banyak kemungkinan sesuatu kemarahan itu wujud secara tiba-tiba. Ia bukan kerana kesal kepada kamu tetapi disebabkan faktor lain yang melibatkan insan di sekeliling. Contohnya jiran, majikan, atau berpunca kerana kenaikan harga barangan runcit. Mungkin kamu ketika itu menjadi mangsa kemarahannya sehingga memaksa kamu membuat keputusan untuk mencari jalan penyelesaian.
Harus diingatkan, ibu bapa memerlukan ruang dan masa untuk menenangkan fikiran. Dan kamu seharusnya membuat keputusan sama ada ke bilik tidur mahupun pergi rumah kawan. Diingatkan bahawa, sekiranya tahap kemarahan mereka itu berkurangan atau sudah berakhir, mereka akan merindui kamu. Percayalah…
Yang pasti, kamu seharusnya berfikir sebelum bertindak melakukan sesuatu perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan pada diri sendiri.
Bijak kawal kemarahan
Kadang-kadang, sikap ketidakadilan ibu bapa boleh mendatangkan kemarahan kamu. Jangan sesekali membenci ataupun menyesal dengan sikap mereka kerana keadaan akan berubah saat kamu menerima kepastian dengan hati terbuka. Bawa bertenang dan tunggu sehingga keadaan kembali tenang. Kemudian, ambil peluang membincangkan perasaan yang kamu pendamkan itu, beberapa hari kemudian.
Pelihara tutur kata yang sopan
Apabila membincangkan sesuatu perkara dengan mereka sama ada berkaitan dengan pendapat atau permintaan, peliharalah tingkah laku dan tutur kata kamu dengan sebaik-baiknya. Kawal percakapan kamu dan jangan sesekali meninggikan suara.
Sekiranya kamu bijak mengawal perasaan dan keadaan, sabar serta bercakap dalam nada yang lembut, pasti mereka akan mengikut kehendak kamu.
Kemenangan lawan kekalahan
Anda seorang yang bijak apabila anda tidak sesekali mencipta situasi semata-mata untuk mendapatkan kemenangan daripada kekalahan ibu bapa. Sebagai remaja dan anak, kamu seringkali kehilangan masa untuk mencapai kemenangan itu.
“Berapa lamakah kamu berjumpa ibu atau bapa” atau “berapa lamakah kamu membuat panggilan telefon secara peribadi dengan bapa.” Itu adalah antara perkara yang perlu dilakukan bagi mencapai kemenangan. Untuk memperoleh suatu kemenangan, kamu perlu bijak membahagikan masa di tempat kerja ataupun di kolej dan di rumah.
Nota kecil penguat kasih
Sekiranya kamu berhadapan dengan masalah yang perlu dibincangkan dengan ibu bapa tetapi takut dimarahi dengan masalah yang dihadapi, cara terbaik mengatasi ketakutan itu ialah menulis nota di atas kertas. Letak nota itu di atas bantal ibu atau bapa kamu. Pasti mereka akan menghayati setiap nota yang ditulis dan menyimpannya sampai bila-bila.
Ajak keluar bersama
Bawa ibu atau bapa menemani kamu ke satu tempat peribadi. Beritahu yang kamu ingin menikmati hari cuti yang indah bersama mereka daripada menghabiskan masa di rumah. Mungkin pada awal ajakan, mereka akan berasa pelik kerana kamu tidak pernah membuat keputusan sebegitu. Ini kerana, mereka berfikir kamu akan memberitahu mereka sesuatu perkara yang pelik.
Bercerita tentang kehidupan
Luangkan masa bersama di bilik sambil menonton televisyen mahupun membaca bersama sambil duduk dan berkongsi cerita tentang perkara yang berlaku di kolej, universiti, rakan-rakan atau sesuatu yang membuatkan mereka tertarik untuk mendengarnya. Cara ini membuatkan mereka lebih mendalami dan menghayati setiap perkara yang dikongsi bersama kamu.
- NOOR HASLIZA NUSI Remaja perlu memahami
0 Komen: