Cerpen ~ Nostalgia-nostalgia cinta


Share on Tumblr Tidak banyak yang hendak kufikirkan tentang hidup ini dalam usia 63 tahun sekarang. Kenikmatan dan keseronokan hidup di dunia sudah lama lenyap dari diri ini.

Sebenarnya semasa mudapun aku amat berwaspada dalam hidup ini. Walaupun aku punya seorang kekasih sebelum mendirikan rumah tangga dengan Aziz, tetapi kekasihku itu seorang yang amat taat kepada Allah. Selama empat tahun aku berkawan dengannya, aku rasa belum sekalipun dia menyentuh kulitku.

Lebih-lebih lagi dalam usia tua sebegini. Sudah senja kata orang. Kerana umur emas sebegini sebenarnya amat rapuh. Jatuh sedikit boleh pengsan atau lumpuh seumur hidup. Sehari dua demam boleh membawa kematian. Memang hidup dan mati itu urusan Allah, tetapi kita mesti beringat-ingat. Bila tiba waktunya, tidak terlebih atau terkurang walau sesaat, mati pasti terjadi kepada sesiapa.

Kata ulama, mengingati mati itu sunat. Dengan mengingati mati kita akan tingkatkan ibadah dan takwa kepada Allah. Tetapi terlalu mengingati matipun tidak disuruh kerana mungkin melalaikan seseorang untuk berusaha, bukankah manusia itu ada tanggungjawabnya? Kalau beribadat sepanjang hari tanpa mahu bekerja dan berusaha berdosa juga.

Aku tidak mahu menjadi penganut Islam yang melampau seperti itu. Aku sentiasa menjaga batas-batas halal dan haramnya. Semoga aku berjaya di dunia dan akhirat. Sebenarnya aku lebih banyak belajar tentang pengertian hidup ini daripada Zabidi, bekas kekasihku. Dia adalah semacam ustaz yang banyak mendorongkan aku untuk menjadi seorang hamba Allah yang baik dan mulia.

Jodoh

Tapi sayang jodohku tiada bersama Zabidi. Aku terima hakikat bahawa jodoh pertemuan itu di tangan Allah. Sebagai hamba-Nya aku reda. Aku reda atas segala ketentuan itu.

Aku seorang guru lepasan Maktab Perguruan Perempuan Melayu Durian Daun, Melaka (MPPM). Zabidi juga seorang guru lepasan Pusat Latihan Guru, Bukit Baharu, Melaka (PLG). Kami mula bertemu dan berkenalan ketika ditempatkan secara kebetulan di sebuah sekolah kebangsaan di Durian Tunggal dalam latihan pengenalan sebelum dihantar ke sekolah lain dalam latihan amali.

Kami bertemu, berkenalan dan bercinta dengan penuh kesopanan. Dia menghormati aku dan aku juga amat menghormatinya. Bila ada kelapangan kami bertemu, biasanya di siang hari dan di tempat-tempat terbuka. Kami pernah juga menonton filem-filem bermoral. Kami tetap tidak pernah bersentuhan.

Setelah tamat latihan aku balik ke Pahang, negeri asalku dan mengajar di sebuah sekolah Cina di Mentakab. Zabidi pula balik ke Kedah dan mengajar di sekolah Cina juga, di Jitra. Hubungan kami terus berjalan secara surat menyurat. Jarang sekali kami dapat menggunakan telefon sekolah atau telefon awam.

Setelah tiga atau empat bulan kami berutus surat, tiba-tiba Zabidi bagaikan membisu. Beberapa pucuk surat yang kukirim tidak dijawab. Aku cuba menelefonnya, entah kenapa, telefon di sekolah itupun bagaikan tidak sudi menerima panggilan dariku.

Aku merasa amat hampa dan kecewa. Kalau dekat sudah lama aku pergi mencarinya. Kedah dan Pahang terlalu jauh pada awal tahun 60-an itu. Pengangkutan awam seperti teksi atau bas, tidak semudah sekarang. Sekarang segala-galanya canggih. Telefon boleh dibimbit ke mana-mana. Boleh berhubung pada setiap detik walau di mana pun kita berada. Tetapi zaman dahulu semuanya merumitkan.

Bila Zabidi menyepi, hatiku kuat menyangka bahawa Zabidi telah punya kekasih lain. Mungkin sudah ada wanita lain yang dapat menawan dan memikat hatinya. Bagaimanapun aku menunggu dan terus menunggu.

Tiga bulan selepas putus perhubungan, tidak disangka-sangka diri ini ada orang yang berhajat untuk dijadikan teman hidup. Dia juga seorang guru. Aziz namanya, dua tahun lebih tua dariku. Dia guru lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI). Pada mulanya aku menolak. Hatiku amat kuat berpaut kepada Zabidi, Tetapi kerana sangkaan yang bukan-bukan mengusik di hati, menyebabkan kasihku terhadap Zabidi menjadi nipis. Ayah dan ibuku berkeras supaya menerima Aziz sebagai calon suami.

Aziz pula sebenarnya bukan orang lain denganku. Kami dua pupu. Selepas bertunang selama enam bulan, maka kamipun diijabkabulkan. Walaupun aku telah menjadi isteri Aziz, ingatanku kepada Zabidi sentiasa menjelma. Rindu, kasih dan sayangku padanya bagaikan tidak dapat dipisahkan. Antara mahu dengan tidak aku mesti memaksa diriku untuk melupakannya. Lebih-lebih lagi aku telah menjadi isteri orang. Aku mesti menumpukan ketaatan dan kesetiaanku hanya kepada Aziz.

Tetapi bagaimana kalau tiba-tiba Zabidi muncul di Mentakab ini untuk menemui aku? Apa yang harus aku jawab kalau dipersoalkan kejujuranku dalam percintaan? Tetapi Zabidi juga mesti harus jujur dan rasional dalam membuat pertimbangan. Aku tidak berniat untuk memutuskan hubungan cinta itu. Mungkin dia sudah ada pilihan. Kalau tidak, kenapa surat-suratku tidak dijawab.

Tidak disangka-sangka aku menerima surat daripada Zabidi yang menyepi sekian lama. Dia meminta maaf kerana tidak menjawab surat-surat dariku dan antara lain, katanya:

“Sudah lebih setahun kita terputus hubungan. Sebenarnya aku telah mendapat kemalangan, Rozita. Suatu pagi setahun lalu ketika aku sedang menunggu bas untuk ke sekolah, tiba-

tiba aku dilanggar oleh sebuah kereta yang berselisih dengan lori. Walaupun aku tidak patah di mana-mana, tetapi hampir sebulan aku pengsan kerana kecederaan di otak. Selepas pulih dari pengsan, aku menjadi seorang yang amat pelupa, Terkadang-kadang aku pengsan juga. Setahun lamanya aku beralih tugas, daripada seorang guru kepada seorang tukang kebun. Allahamdulillah, sejak akhir- akhir ini ingatanku pulih semula. Aku mula mengingatimu dan membaca surat-suratmu yang tidak sempat aku baca dulu.”

Aku teramat dukacita membaca suratnya dan terasa amat bersalah terhadap seorang lelaki yang jujur, ikhlas dan baik akhlaknya. Aku amat bersedih. Rasa sedih itu kusampaikan kepada Aziz, suamiku tidak cemburu. Sebaliknya dia juga bersimpati terhadap nasib yang menimpa Zabidi.

“Sepatutnya Zita beritahu abang tentang hubungan Zita dengan Zabidi, sebelum kita berkahwin,” demikian pernah diucapkan oleh Aziz yang amat aku sanjungi dan hormati.

Kecewa

Dan dengan rasa malu dan kecewa, aku membalas surat Zabidi. Kataku: “Aku mohon berjuta kemaafan darimu. Bila tidak menerima surat-suratmu, aku fikirkan kau sudah melupakan aku. Atau kau sudah ada yang lain sebagai pengganti. Kalau aku tahu kau mendapat kesusahan, akan aku tunggu kau sehingga ke akhir hayat. Kerana silap sangka dan salah faham itu, aku telah mengabaikan cinta sucimu. Aku telah berkahwin, Zabidi. Aku berkahwin dengan Aziz, dia juga seorang pendidik seperti kita. Ampunilah segala kesalahanku itu.”

Suratku itu menjadikan Zabidi senyap dan sepi. Aku yakin dia tentu terlalu hampa bila membaca suratku itu. Memang sepatutnya aku berterus-terang. Aku tidak mahu dia ternanti-nanti dan tertunggu-tunggu. Akupun rasa tidak perlu mencari dan menghubunginya lagi. Aku telah bersuami. Walaupun suamiku tidak marah dan cemburu aku menghubungi Zabidi sebagai sahabat, tetapi aku sendiri rasa tidak manis. Aku perlu menjaga hati suami.

Tiga tahun lalu suamiku meninggal kerana penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis. Empat puluh tahun lamanya aku berkongsi hidup dengannya dan kami dikurniakan empat orang anak. Keempat-empatnya perempuan. Tiga daripadanya telah berkahwin dan beranak-pinak sejak suamiku masih hidup lagi. Anak bongsuku masih menuntut di Universiti Islam Antarabangsa, telah pun bertunang. Entah bila tarikh perkahwinannya belum pasti.

Suamiku meninggal dalam usia 43 tahun. Sebelum meninggal dia seorang ahli korporat yang berjaya, dia berhenti menjadi guru selepas sepuluh tahun mendirikan rumah tangga denganku, selepas itu dengan seorang rakan dia menceburi bidang perniagaan. Dari peniaga kereta-kereta terpakai sehinggalah menjadi pengusaha dan pengedar batik di beberapa negara di Asia, Eropah, Afrika dan Amerika Syarikat.

Entah mengapa selepas setahun suamiku meninggal, aku benar-benar dilanda kesepian dan kesunyian. Buat beberapa bulan aku tumpukan perhatian pada agama, aku mengaji al-Quran, aku ke masjid atau surau untuk mendalami ilmu agamaku. Waktu kesepian itu juga, aku dijemput oleh Allah untuk menjadi tetamunya bagi menunaikan rukun Islam kelima itu.

Dan apabila aku balik dari menunaikan haji, ingatanku kembali kepada Zabidi. Terasa ingin bertemu dengannya. Terasa aku ingin melahirkan rasa cinta, kasih dan sayangku padanya yang tiba-tiba aktif semula dalam diriku ini.

Teringat-ingat

Sebenarnya semasa berada di Tanah Suci aku sering teringat-ingat dan terpandang-

pandang wajah Zabidi. Dan aku berdoa ketika di Madinah dan di Mekah supaya aku dipertemukan semula dengannya. Aku juga berdoa agar Zabidi pun ada menyimpan sedikit rasa cintanya kepadaku. Kalau diizinkan Allah, aku ingin bertemu dan bernikah dengannya walaupun aku terpaksa menjadi isteri kedua, aku rela.

Penentuan Allah tidak siapa yang menduganya. Pada suatu pagi ketika aku sedang mengaji al-Quran, tiba-tiba telefon di rumahku berdering. Aku menutup al-Quran seketika untuk menjawab panggilan telefon itu.

Alhamdulillah, doaku dimakbulkan Allah. Yang menelefon aku itu ialah Zabidi. Katanya dia mendapat nombor telefon ku daripada seorang guru bernama Yahya yang sama-sama mengajar di sekolah Cina. Dia bertemu Yahya ketika di Mekah, sedang membuat umrah bersama isterinya.

Sejak itu, hubungan kami terus berjalan, kalau dia tidak menelefon, aku akan menelefonnya. Kami saling menceritakan sejarah hidup masing-masing. Kadang-kadang kami bercakap tentang cinta dan kasih sayang yang pernah terjalin pada zaman muda dahulu. Masih terasa indah dan manis walau tidak bersentuhan. Tetapi semuanya menjadi nostalgia sahaja.

“Cinta kita bersih. Kita selalu bertemu tetapi tidak pernah tersentuh,” kataku pada suatu petang ketika dia memanggil aku.

“Kita menjaga batas-batas agama,” kata Zabidi. “Bersentuhan dengan orang bukan mahram, hukumnya haram, masuk neraka jawabnya.”

Setelah hubungan telefon kami agak erat, aku mula bertanya,” Masih ada cintakah lagi kepada saya?”

Zabidi terdiam sejenak. Terdengar bunyi ketawanya dari dalam telefon itu. Dia semacam mempersendakan aku.

“Jawablah,” aku mendesak.

“Tidak saya nafikan, saya memang masih cinta, kasih dan sayang kepadamu. Awak adalah kekasih pertama saya. Tapi kita sudah tua sekarang. Sudah masuk umur emas. Lagipun kita berjauhan. Lupakan saja soal cinta itu. Aku pun sudah ada isteri dan empat anak,” katanya semacam mahu menolak cintaku.

“Tua kita buat cara tua. Jauh bukan masalah zaman sekarang. Malah ada orang Malaysia berkahwin dengan orang Mekah. Tidak ada masalah pun. Yang penting, kita hidupkan cinta kita yang sudah berkubur, lagipun orang lelaki boleh berkahwin hingga empat orang, bukan?”

“Aku tidak pernah terfikir untuk berkahwin lebih dari satu,” kata Zabidi.

“Aku kesepian, Zabidi. Aku tahu kau seorang alim, warak dan baik akhlak. Aku hendak kau bimbing aku. Aku hendak kau temankan aku ke Mekah. Suamiku dulu meninggal belum sempat menunaikan haji. Lagipun aku ada duit. Aku boleh bantu kau,” demikian kataku yang amat mengharapkan kasih dan simpati darinya.

Hubunganku dengan Zabidi terus berjalan. Dia pada mulanya liat untuk menyegarkan cinta yang sudah terkulai itu, akhirnya mengakui juga, dia tidak dapat melupakan aku. Lalu aku dan Zabidi menetapkan tarikh untuk bertemu di Kuala Lumpur, di Zoo Negara.

Bertemu

Beberapa hari kemudian sampai tarikhnya, seawal tujuh pagi aku telah bertolak dari Mentakab ke Kuala Lumpur. Zabidi juga bertolak diwaktu yang sama dari Jitra. Lebih kurang jam sebelas pagi kami bertemu di ruang letak kereta di hadapan pintu masuk zoo.

“Awak nampak muda lagi,” kataku setelah menjawab salam Zabidi. Dia terlebih dahulu memberi salam padaku.

“Awakpun nampak muda macam baru berumur tiga puluh tahun saja,” Zabidi pula mengusik aku.

Kami kemudian masuk ke dalam zoo. Keadaan kami seperti ketika zaman muda-muda dahulu. Kami berjalan bersaing tetapi tidak bersentuhan. Kami lawati sangkar-sangkar dan kandang-kandang binatang sambil berbual tentang cinta zaman muda-muda dulu.

“Niat yang baik ini patut kita segerakan,” kataku.

“Insya-Allah,” kata Zabidi. “Tapi tidakkah nanti orang menuduh aku ini gelapkan harta kau. Kerana kau orang berada.

“Peduli apa orang nak cakap,” kataku.

“Kau hebat,” kata Zabidi.

“Kenapa?” Tanyaku.

“Aku tak sangka pada saat tua begini, cintamu terus menyala,’ terang Zabidi.

“Aku memang sayangkan kau. Lagi cepat kita bernikah, lagi baik, kataku bersungguh- sungguh.

“Aku hormati dan sanjungi cintamu yang kental itu.”

“Saya juga menghormati cinta cikgu kepada Zabidi,” tiba-tiba seorang wanita memotong perjalanan kami yang berhasrat untuk ke sebuah restoran.

“Siapa awak?” Tanyaku penuh hairan.

“Sepatutnya empat puluh tahun dulu cikgu telah berkahwin dengan Abang Zabidi. Tapi cikgu tidak sabar. Cikgu mudah menyangka yang tidak-tidak. Sekarang sudah terlambat, Cikgu Rozita.

“Siapa awak?” Aku mengulangi pertanyaan.

“Saya Zarina, isteri Zabidi.”

“Oh, Tuhan, apakah ini sesuatu yang sengaja dirancangkan?” aku kehairanan.

“Maafkan aku,” kata Zabidi. Dia gugup nampaknya.

“Ini sesuatu yang dirancang?” aku mengulangi pertanyaan.

“Benar,” kata Zarina.

“Tapi kenapa?”

“Abang Zabidi sudah bersumpah dengan saya untuk sehidup semati.”

“Betul,” kata Zabidi memotong cakap isterinya. “Selepas kau kecewakan aku, Zarinalah yang menyegarkan hidupku semula. Aku tidak akan memungkiri segala janjiku padanya.”

Aku tunduk. Rasa sedih, sayu dan pilu menyelinap masuk ke dalam hatiku. Zarina segera memeluk dan mencium dahi dan pipiku.

“Kita mengaku saudaralah dunia dan akhirat,” kata Zabidi pula.

“Ya, kita bersaudara.” Zarina mencelah.

Aku menyepi dan menangis di hati. Aku tidak boleh memaksa sesiapapun untuk menyintai aku. Pertemuan dan percintaan kedua setelah terpisah empat puluh tahun yang lalu menambahkan lagi nostalgia-nostalgia cinta kami.

Sumber: Arkib Utusan Malaysia 15/06/2008 Cerpen ~ Nostalgia-nostalgia cinta

8 Komen:

Tanpa Nama berkata...

syabas ,

Satu crta yg jujur . Sebenarnya diusia emas pun kita masih perlukan cinta. Klu tidak masakan Allah jadikan Adam untuk Hawa agar ia tidak sunyi .

Tanpa Nama berkata...

dia org ni mrmpunyai cinta sejati, cinta kpd Pencipta adalah cinta paling sejati.

Tanpa Nama berkata...

hm.....
salah siapa
siapa salah??????

Tanpa Nama berkata...

cinta diusia emas lbh matang dari cinta di usia muda...tahu membezakan yang baik dan buruk dengan lebih tepat..

Tanpa Nama berkata...

cinta itu berharga ...hanya tuhan tahu siapa jodoh kita......

Tanpa Nama berkata...

bla dah dikurniakan jodoh yg sesuai kpda kita..
cintailah..
hargailah..
kerana..
hadiah itu bernilai..

Tanpa Nama berkata...

betapa..mendlm cintanya, crita ini..menusuk kalbu..huhu..pertemuan kembali yg x disangka2

Tanpa Nama berkata...

sedih.
betapa sucinya cinta itu.
betapa ikhlasnya cinta tanpa nafsu.
lihat lah.
dunia membuktikan kita yang semakin lalai.
di ranjang menjadi saksi kekasih tanpa ikatan yang sah.
kononnya bukti cinta dan kasih.
tetapi apakah nilai cinta di atas?
tanpa sebarang ikatan dan sentuhan.
cinta tetap utuh.
jodoh pertemuan di tangan tuhan.
kita yang sengaja menutup mata :)

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.