Apa tafsiran anda mengenai popular? Barangkali jawapan anda itu tidak lari daripada maksud seperti terkenal, dikenali, disukai ramai atau digemari. Namun, terkenal atau dikenali boleh dikatakan dua kata yang paling tepat dan `adil’ untuk membawakan makna kepada popular.
Ada yang menganggap seseorang yang popular itu adalah seseorang yang bila disebut saja namanya, ramai yang akan mengenali. Bila berada di mana-mana orang akan memberi tumpuan. Pendek kata, serba-serbi mengenai orang yang popular ini akan sentiasa diambil tahu. Di sini, yang dikatakan popular selalunya terdiri daripada kalangan artis atau orang kenamaan.
Populariti sebenarnya tidak terbatas. Ia boleh berlaku di kalangan rakan-rakan, di sekolah, universiti, pejabat hingga ke peringkat yang lebih tinggi, sesiapa saja boleh popular jika memenuhi kriteria untuk digelar sedemikian.
Sebagai contoh, kalau di sekolah, yang popular di kalangan pelajar mungkin sekali pelajar yang paling pandai, paling cantik, atlit sekolah, ketua pengawas atau mungkin juga pelajar yang paling nakal!
Ini menunjukkan, bukan perkara positif saja yang boleh membuatkan seseorang popular, tetapi juga perkara negatif. Contohnya, nama Osama Bin Laden yang tiba-tiba saja menjadi bualan dunia selepas dituduh Barat kononnya menjadi pencetus kepada `episod keganasan’ yang berlaku sebelum ini.
Itu kisah Osama. Bagi yang lain pula, bermacam-macam cara dan perkara membuatkan mereka popular.
Pelbagai faktor boleh membuatkan seseorang popular dan terkenal. Si `A’ mungkin popular kerana personalitinya, si `B’ popular kerana bakat dan si ‘C’ pula popular kerana mempunyai kaitan dengan orang yang berpengaruh dan dikenali.
Media massa atau media cetak pula bukan lagi satu-satunya cara untuk seseorang dikenali. Internet, melalui penulisan blog atau laman komuniti juga secara tidak langsung menjadi platform yang mempopularkan seseorang individu biasa dan juga medan untuk segelintir yang lain memburu populariti. Masing-masing berusaha untuk menjadi yang paling popular.
Hakikatnya, setiap perkara pasti ada pro dan kontranya. Begitu juga dengan populariti. Kehidupan yang dijalani seseorang yang popular seperti pemimpin atau selebriti pasti berbeza dengan orang biasa. Lebih terbatas kerana tidak seperti orang biasa, setiap gerak-geri mereka akan menjadi perhatian ramai.
Oleh itu, setiap apa yang ingin dilakukan perlu dipertimbangkan sama ada ia memberi akan memberi kesan yang baik atau sebaliknya kepada diri sendiri. Itulah tekanan yang dihadapi bila bergelar orang popular...
Ada yang teringin menjadi popular? Ingin tahu bagaimana cara hendak menjadi popular?
Popular atau tempias popular?
Tidak salah untuk popular...
Populariti kadangkala memberi kebaikan kepada diri orang yang melaluinya. Ia membantu dalam kemajuan karier dan menggembirakan kehidupan seseorang, secara tidak langsung `memancarkan’ pesona personaliti individu yang popular itu. Oleh itu, tidak salah untuk menjadi popular asalkan kena dengan caranya.
Di sini, beberapa tips untuk menjadi popular.
Nilai dulu apa sebabnya anda ingin menjadi popular. Adakah hanya untuk menarik perhatian orang lain, untuk diterima sesetengah klik (kumpulan), atau hendak mendapat lebih ramai kawan dan meningkatkan keseronokan dalam hidup? Anda mungkin tidak berjaya atau gembira kecuali jika tahu mengapa anda melakukannya.
Selesa dengan diri anda. Ini adalah kualiti paling utama yang perlu anda ada. Jika anda menyukai diri anda dan tampilkan imej dengan yakin, lebih mudah untuk orang lain menyedarinya dan mula rapat dengan anda.
Relaks apabila bercakap dengan orang lain. Jangan terlalu memikirkan apa yang mereka akan fikir mengenai anda. Pastikan percakapan anda lancar. Apabila anda terlampau cemas, lebih mudah untuk sesuatu yang negatif terucap.
Jadi lebih mesra. Orang lain takkan datang semudahnya untuk berkawan dengan anda. Lebih-lebih lagi kalau perwatakan anda kelihatan sukar untuk didekati. Untuk yang pemalu, buang sedikit sifat itu dan cuba bersosial dan elakkan pemikiran bahawa anda tidak cukup cool untuk berkawan dengan orang lain.
Berkongsi sedikit cerita mengenai diri anda. Tidak perlu yang besar-besar, sesuatu seperti pengalaman lucu sudah memadai. Percayalah, ketawa biasanya dapat membuatkan orang di sekeliling merasa selesa berada di samping anda.
Satu cara mudah untuk bersosial dan dikenali adalah dengan menyertai aktiviti yang membabitkan orang ramai seperti aktiviti sekolah, khidmat komuniti atau kumpulan artistik.
Tampilkan gaya tersendiri. Tidak perlu terikut-ikut dengan gaya orang lain. Ini tidak bermakna anda perlu mengubah gaya secara drastik dan jangan pula melebih-lebih. Dapatkan kesesuaian dalam penampilan anda.
Bangga dengan penampilan diri anda. Jangan terlalu merendah diri. Untuk membuatkan orang berminat dengan anda, kebersihan diri adalah kunci utama. Untuk gadis, solekan mungkin membantu.
Murahkan hati memberi pujian yang ikhlas dan ringankan mulut untuk berterima kasih.
Tonjolkan bakat anda, tetapi dengan cara yang betul dan tidak menjengkelkan.
Paling penting, ingatlah populariti bukanlah segala-galanya. Ia akan hadir dengan sendirinya tanpa perlu dipaksa-paksa. Jangan membuat sesuatu yang negatif hanya untuk meraih populariti. Tips Untuk Menjadi Popular
3 Komen:
personaliti yang menarik amat penting dalam membantu naikkan keyakinan diri.jdkan dri anda sebagai idola yang terbaik wat orang lain.succes selalu.pastikan ape yg kamu lakukan dapat membantu orang lain.bubye.senyum selalu.
ya sangat setuju, popularitas adalah buah dari kerja keras,, tidak perlu terlalu dicari karena ia akan mampis dengan sedirinya,, tinjolkan hal positif bukan dengan hal negatif ya
jadi diri sendiri memang dapat jadi popular yakin diri sendiri