Malam gelap dan sunyi. Sesekali terdengar bunyi prrengg-prreengg mat rempit menekan minyak motosikal dalam kejauhan. Udara dingin tidak pernah mengganggu ketaksuban mereka berlumba. Pada kala malam pekat begini, hanya segolongan kecil manusia berhati waja seperti mereka masih berjaga. Pak guard di gudang-gudang dan stor pun mungkin ada yang sudah mencuri-curi tidur.
Kasih sendiri sedang lena. Tiba-tiba, bagaikan ada jam loceng berdering nyaring di telinganya, dia tersentak dan terjaga. Matanya terkelip-kelip merenung ke siling. Tidak semena-mena dia merasakan siling biliknya seolah-olah semakin turun, merendah dan menghempapnya ke katil.
Dinding kiri dan kanan dirasakan bagai bergerak rapat, menghimpit tubuhnya yang seperti lumpuh tidak dapat menguit. Samar malam seakan menekan-nekan dada dan menghenyak nafasnya.
Panik menyerang. Kasih rasa seolah-olah suaminya, Fikri sedang berbaring di sisi. Telinganya menangkap jelas renggutan keras nafas Fikri, seperti bunyi dengkuran yang kuat hingga menyedarkannya daripada tidur. Kasih menoleh ke kanan. Dalam kabur kamarnya dia melihat mata suaminya terbeliak, mulut Fikri tercungap-cungap seperti mencari udara untuk bernafas.
“Abang! Abang! Kenapa ni?” Kasih menjerit. Bagaikan menonton satu persembahan, dia melihat dirinya sendiri bingkas duduk dan menggoncang tangan Fikri. Tiada reaksi. Tangisan bertukar menjadi raungan yang kuat. Helaan nafas Fikri yang kuat semakin lemah. Dan akhirnya terhenti.
Pada saat itu, Kasih rasa semangatnya melayang. Sakit dalam dadanya menghiris. Pedih yang benar-benar dirasa, sejurus mengejutkannya daripada mimpi ngeri itu. Dia memandang sekeliling biliknya. Semuanya seperti sedia kala. Tiada Fikri di sisi. Matanya terkebil-kebil memandang bantal Fikri yang tidak tercuit.
Air matanya sudah lama kering. Manakan tidak, dua tahun mengalami racau yang sama setiap malam tanpa rehat. Selama dua tahun, sejak Fikri meninggal dunia secara mengejut di tengah malam, pada jam dua pagi setepatnya, Kasih melalui segala kepahitan itu semula. Melakonkan semua kejadian malam yang tragis itu. Merasa kembali seksanya. Selama dua tahun, tidurnya tidak pernah lena.
Dia menghela nafas dan lekas bangun. Terus ke bilik air, mengambil wuduk, kemudian bersolat sunat dan mengadu kesedihannya pada satu-satunya Yang Maha Mendengar dan Maha mengasihani.
Pukul sepuluh malam.
Tit tit. “Mama, ada mesej,” jerit Nurin. Dia berlari ke dapur membawakan telefon bimbit ibunya. Kasih menghulur segelas air Milo kepada Nurin, “Bawa baik-baik, jangan tumpah! Lepas minum, bawa Marsha sekali gosok gigi, masuk tidur.”
Mesej dibaca: Rin, kau sibuk ke? Dari Hafiz, kawan sekerjanya.
Pantas dia membalas: Tak ada buat apa-apa... apa hal?
Sejurus kemudian telefonnya berdering. Nama Hafiz tertera.
“Kau kena tolong aku, Rin!” Hafiz tidak sempat-sempat memulakan bicara sebelum Kasih sempat menyapa ‘helo’.
“Apa cerita ni?”
“Aku lupa birthday isteri aku esok. Hampir lupa. Nasib baik teringat ni.”
“Apa yang aku kena tolong?”
“Kau kena tolong aku buatkan kek untuk surprise,” jelas Hafiz.
Kasih ketawa. “Heh, belilah! Esok pagikan sempat.”
“Tak mahu... aku hendak puaskan hati dia pagi-pagi, sebelum pergi kerja. Kalau tidak nanti dia ingat aku lupa macam tahun lepas.”
“Tahun lepas memang kau lupa, padanlah muka kau!” Kasih ketawa lagi.
Dia kenal dengan isteri Hafiz. Isterinya bukan jenis perempuan yang biasa sangat merajuk, tapi perangai tidak ambil pusing Hafiz kadang-kadang memang macam sengaja mencari penyakit. Hari jadi isteri sendiri pun boleh lupa!
Hafiz tidak putus asa dan terus memujuk. Akhirnya, Kasih menyerah kalah. Esok sebelum ke pejabat, Hafiz akan singgah di rumahnya mengambil sebiji kek coklat.
Hiasan ala kadar pun tidak mengapa, “Janji ada kek,” kata Hafiz. Nasib baik Kasih memang ada bahan-bahan membuat kek dalam simpanannya.
“Eh, kau jangan mengadu dengan dia aku minta di saat akhir tau. Kalau dia tanya, cakap aku sudah tempah seminggu dulu,” pesan Hafiz sebelum mengakhiri perbualan.
Malam itu, selepas membacakan Nurin dan Marsha cerita sebelum tidur dan menidurkan mereka, Kasih ke dapur membuat sebiji kek coklat. Sementara menunggu kek siap dibakar, dia memanaskan krim di atas dapur.
Bila krim mula berbuih, Kasih mencampurkan kepingan coklat masakan dan mengacaunya perlahan. Bau coklat mengapung ke segenap ruang. Sos coklat ini dibiarkan sejuk di atas dapur.
Esok pagi dia akan menuangnya ke atas kek dan menabur sedikit beras coklat serta menghiasnya dengan beberapa biji strawberi yang kebetulan saja dibeli untuk anak-anaknya. Harap-harap Hafiz akan berpuas hati. Dan isterinya akan suka.
Kek siap dibakar dan dibiarkan di atas pendangai. Setelah berkemas dan membasuh loyang dan alat-alatan, Kasih merebahkan diri ke katil keletihan dan terus terlena pada pukul 2.30 pagi.
Mulai hari itu, Kasih mula dikenali sebagai home-baker. Rakan-rakan sekerja yang meraikan sebarang majlis akan memesan kek daripada Kasih. Ada yang suka kek coklat, kek marble, kek gulung, kek buah, malah black forest dan tiramisu.
Dan bagi memenuhi setiap permintaan itu, Kasih akan berjaga membancuh, memukul, membakar dan menghias kek hingga lewat malam. Waktu tidurnya mula berubah tapi tidak lagi terganggu seperti dulu.
Kasih seolah-olah lahir semula bersama nafas dan semangat baru.
Pukul tujuh setengah pagi.
“Nurin, cepat!”
Dua kotak yang berisi kek lobak diletak di atas tempat duduk belakang kereta Kelisa berwarna kelabu. Nurin terkocoh-kocoh mengenakan kasut sekolah dan berlari masuk ke kereta.
Biasanya jam tujuh pagi mereka sudah bergerak. Hari ini, semuanya tidak kena. Bekalan elektrik terputus sebelum Kasih sempat menggosok tudung. Nurin menangis tidak mahu bangun dari tidur kerana biliknya gelap tidak berlampu.
Kek lobak yang ditempah seorang kenalan belum lagi disapu dengan bahan hiasan keju. Bagaimana hendak buat semua ini di dalam balam-balam subuh?
Kasih menekan minyak dan memecut laju. Marsha ditinggalkan di rumah pengasuh. Dia perlu menghantar Nurin pula hingga ke kelas kerana sudah lewat.
Nurin pasti mengada-ngada tidak mahu berjalan sendiri, takut dimarah cikgu. Kasih merungut-rungut dalam hati, marahkan TNB kerana khidmat bekalan elektrik yang sering mati, geram pada dirinya sendiri kerana tidak bersedia lebih awal, dan teringat yang Nurin tidak sempat diberi sarapan pagi ini. Kasih mengeluh.
Sekonyong-konyong itu kereta di hadapan mereka berhenti untuk mengelakkan seorang pejalan kaki yang tiba-tiba berlari melintas jalan.
Kasih menekan brek kecemasan. Nurin tersungkur ke hadapan lalu terhantuk ke papan pemuka, lantas menangis sambil menekup hidungnya. Dalam kekalutan tadi, Kasih terlupa mengingatkannya supaya memakai tali pinggang keledar!
Nurin dipeluk dan dipujuk. Sekilas itu Kasih terpandang tempat duduk belakang. Satu kotak kek masih berada di tempat asalnya, manakala satu lagi sudah tersorong dan jatuh terperuk ke bawah. Berderau darah Kasih.
Tangisan Nurin sudah reda, tiba-tiba dia pula rasa hendak menitiskan air mata. Dia belum pernah berhadapan situasi begini. Macam mana hendak terangkan pada pembeli yang kek sudah kemek? Hati pembeli mesti dijaga, walaupun ini hanya kerja sambilan dan bukan sumber pendapatan utama untuk dia membesarkan anak-anak.
Namun kerja ini amat penting baginya, kerja ini mengisi malam-malamnya yang sunyi.
Sekarang, setiap malam Kasih tidak pernah tidur lebih awal dari 2.30 pagi. Beberapa bulan lalu dia berkenalan dengan seorang pengusaha kantin di sebuah kilang, yang menawarkannya untuk membekal mufin ke kantinnya setiap hari. Mufin akan diambil sendiri oleh pengusaha kantin pada awal pagi.
Jika pun tidak ada orang menempah kek darinya, tawaran ini memastikan Kasih sentiasa sibuk pada sebelah malam. Sengaja dia memulakan kerja-kerja membuat kek dan mufin selepas tengah malam, bila anak-anaknya sudah tidur.
Dengan peranan-peranan kecil seperti ini, semakin hari Kasih merasa hidupnya tambah teratur dan lebih bermakna. Kecuali pada hari-hari gawat seperti hari ini.
Hari ini, kecekalannya sebagai ibu tunggal amat tercabar. Kasih jarang bersungut dengan apa yang ditakdirkan pada dirinya, tapi hari ini, hatinya rasa sedih dan letih menguruskan anak-anak seorang diri.
Nurin dalam darjah satu, perlukan bimbingan dan perhatian sepenuhnya. Marsha yang baru berusia empat tahun, hampir tidak kenal dengan ayahnya sendiri. Kadangkala Kasih rasa bersalah pada mereka, walaupun dia tidak mengerti sebabnya.
Dan hari-hari seperti hari ini, bila pelbagai masalah kecil dan besar melonggok berat di atas bahunya, hanya mengingatkannya betapa dia sedang berdiri sendiri, seorang diri.
Pukul satu tengah hari.
Rumah flet kecil milik Kasih riuh. Tiga orang kawannya ada di situ bersama anak-anak mereka, lapan orang semuanya. Sepuluh orang kanak-kanak bermain, bergurau, ketawa, dan menjerit, menjadikan rumah itu persis sebuah pusat asuhan.
Mereka baru saja selesai makan tengah hari. Makan nasi bungkus saja, tidak siapa sempat memasak kerana mereka semua sibuk membuat kek cawan. Kasih menerima tempahan 3,000 biji kek cawan untuk majlis perkahwinan anak majikannya.
Peluang itu tidak mengaburi matanya, tidak sampai dia jadi tamak. Dia sedar dia seorang tidak akan berdaya memenuhi permintaan itu. Jadi tawaran untuk berkongsi tenaga dan keuntungan dibuka kepada tiga orang kawannya. Daripada duduk-duduk saja selepas waktu kerja, lebih baik buat sesuatu. Tambah lagi, ketiga-tiga mereka ibu tunggal seperti dia juga.
Mereka mula mengadun dan membakar kek sejak dari Khamis malam lagi. Mereka semua sepakat mengambil cuti pada hari Jumaat, sepanjang hari terperap di hadapan ketuhar membakar kek.
Bila siap beberapa ratus biji, kek mula dihias dengan krim mentega mengikut tema warna dan permintaan pengantin. Seorang daripada mereka ditugaskan memasukkan kek ke dalam bekas-bekas yang diikat reben, kemudian disusun di dalam kotak besar.
Semua kerja harus dilakukan dengan hati-hati dan cermat. Jika terlanggar maka sompeklah bunga ros krim di atas kek. Rosaklah nanti majlis orang.
Mereka bekerja tidak henti-henti. Sehingga awal Sabtu pagi, mereka sudah dapat menyiapkan tempahan 3,000 biji kek cawan berhias kuntuman bunga ros daripada krim mentega warna merah jambu, disusun rapi di dalam 50 buah kotak besar. Kasih meminta pertolongan jirannya, Abang Isa, menghantar kotak-kotak berisi kek cawan itu dengan van putih buruknya ke rumah pengantin.
Tengah hari itu selepas makan nasi bungkus, mereka merehatkan badan sambil berbual-bual. Masing-masing kepenatan tapi puas hati.
“Apa kau orang nak buat dengan duit upah ni?” tanya Kasih. Mereka berangan-angan memanjakan diri dengan wang upah yang dibahagi empat.
“Aku hendak beli pembancuh baru, yang buruk ni sikit lagi hangus penat buat kerja.”
“Aku hendak hantar anak aku masuk kelas lukisan. Dah lama dia merengek.”
“Aku hendak kumpul duit lebih sedikit, hendak beli suami baru,” seloroh seorang daripada mereka, disambut derai ketawa kawan-kawan.
Walaupun keempat-empat mereka tidak lagi merasa kasih sayang seorang suami, namun dapat juga menumpang riang orang lain meraikan cinta, dengan menjayakan majlis perkahwinan mereka.
Pukul lima petang.
Kasih duduk santai bersama Nurin dan Marsha di sebuah kafe-bakeri. Di hadapannya ada sepotong kek beri biru dan air kopi kapucino, manakala anak-anaknya dihidangkan jus oren dengan kek gulung strawberi.
Kasih membaca surat khabar sambil melihat-lihat anak-anaknya membuat kerja rumah.
Kafe-bakeri itu kecil saja. Di bahagian sisinya tersusun rak pameran kek, kek cawan dan beberapa jenis mufin. Sebuah papan menu tergantung di dinding.
Di tepi kaunter ada sekeping album berisi gambar-gambar contoh jenis hiasan kek untuk majlis-majlis seperti hari lahir, perkahwinan, perpisahan dan ucap tahniah. Ada tiga buah meja bulat di bahagian hadapan di mana pelanggan boleh duduk menikmati minum petang.
Bahagian dapur bakeri adalah lebih besar. Di situlah semua kerja-kerja dilakukan oleh dua orang kakitangan, kedua-duanya ibu tunggal – mengadun, membakar, menghias kek.
Kalau berdiri di pintu dapur, orang yang sedang diet pun boleh kalah dengan bau harum mentega campur vanila yang mengisi ruang. Kebanyakan tempahan dibuat dalam kuantiti yang banyak, dan kek-kek ini disimpan di peti ais besar di bahagian dapur. Hanya segelintir pelanggan yang datang membeli ‘kek kecemasan’ seperti Hafiz.
Kafe-bakeri kecil itu mula diusahakan Kasih sejak enam bulan yang lalu, selepas setahun berniaga kecil-kecilan dari rumah, menyertai pelbagai kelas membuat dan menghias kek, menghadiri kursus dan bengkel tajaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan turun naik bank membuat permohonan pinjaman perniagaan.
Kasih tersenyum sendiri mengingatkan bagaimana semuanya bermula. Bagaimana dia terjaga setiap malam, tidak tidur lena selama dua tahun sejak pemergian mendadak suaminya yang tercinta.
Bagaimana rasa gundah itu diisi dengan pertolongan kecil yang dihulur kepada seorang kawan. Bagaimana dari situ, dia mengorak langkah dan tidak menoleh ke belakang lagi.
Mungkin kejayaannya hari ini adalah hasil kepayahannya di masa lampau, berkat dia terbangun setiap malam, bersolat sunat, menangis, mengadu dan bermunajat pada Allah Subhanawataala.
Kepahitan itu sudah lama dilupakan dalam kesibukan mengurus perniagaan kecilnya. Benarlah kata ayat suci, Allah bersama orang yang sabar. Kafe-bakeri Kek Kasih menjadi buktinya. Cerpen - Kek Kasih
7 Komen:
ehm...lain dari yang lain.Kisah pahit manis seorang ibu tunggal.Not the normal love story.Kena ngan Hari Raye yang bakal tiba..
best cte ni....tabah gle kasih tu
alangkah indahnya jika aku mampu jadi setabah kasih dlm mengharungi liku2 kehidupan
wah!!!so intersting..
harap dpt jdi setabah kasih
harap dpt jdi setabah kasih
hehehe Kiper