Hayati Kemaafan Aidilfitri


Share on Tumblr Bulan Ramadan adalah bulan kemaafan dan bulan keampunan. Kita digesa supaya banyak bertaubat atas segala dosa sebab bulan ini memang Allah buka pintu taubat dan keampunan dengan seluas-luasnya.

Amatlah rugi sesiapa yang apabila berakhirnya bulan Ramadan sedangkan dosa-dosanya tidak diampunkan Allah dan nanti tidak berapa lama lagi akan tiba hari raya.

Dengan dendangan lagu-lagu raya yang sudah mula berkumandang, perkataan ‘ampunkan dosa’, ‘mencuci dosa’ dan lain-lain mendorong kita untuk bermaafan.

Namun yang ingin penulis uar-uarkan di sini ialah permohonan maaf yang berlaku itu kadangkala secara sambil lewa, tanpa keikhlasan mahupun kesedaran di dalam hati mana-mana pihak.

Perbuatan saling bermaafan itu dilakukan hanya kerana ‘masa’ sudah tiba dan bukannya kerana keinsafan serta kemahuan untuk mensucikan diri, mahupun untuk memaafkan orang lain.

Amat malang sekali apabila permohonan dan pemberian maaf - sesuatu yang amat dituntut - hanya menjadi satu budaya dan bukannya dihayati dengan semangat yang sebenarnya.

Perbuatan memaafkan kesalahan orang lain amat dituntut agama Islam sehingga ia dijanjikan dengan ganjaran yang begitu besar sekali.

Ini jelas dalam surah Ali-Imran, ayat 134-136, maksudnya: “Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, orang yang menahan kemarahannya, dan orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.

Dan juga orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiayai diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan tiada yang mengampunkan dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji mereka itu, sedangkan mereka mengetahui.

Mereka itu balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan bagi orang yang beramal.”

Apakah sebenarnya pengertian memaafkan? 1) Anda melupakan hasrat membenci mereka. 2) Anda membatalkan hasrat untuk membalas dendam. 3) Anda membatalkan hasrat menghukum mereka. 4) Anda membatalkan untuk menyimpan dendam.

Jelas bahawa perbuatan memohon maaf dan memberi maaf adalah perbuatan mulia yang dianjurkan agama Islam.

Ia wajib dan mendapat pahala pula apabila dilafazkan dan diamalkan. Justeru, mengapa tuntutan semulia ini kita amalkan secara sambil lewa saja? Bagaimanakah sebenarnya cara untuk kita memohon dan memberi maaf?

Kepada pemohon maaf, ungkapan memohon maaf itu hendaklah dilaksanakan dengan ikhlas, dengan rendah hati, dengan penuh rasa kesal terhadap apa yang sudah dilakukan serta niat untuk tidak mengulanginya lagi.

Kepada pemberi maaf pula, kemaafan yang diberi perlulah diberi dengan tulus ikhlas, dengan penuh sedar untuk melupakan kesalahan terbabit dan tidak lagi mengungkit-ungkit mengenainya.

Ada yang mengatakan bahawa ketika memohon maaf, kita perlu menyenaraikan segala kesalahan yang sudah kita lakukan supaya pihak satu lagi maklum mengenainya dan boleh mempertimbangkan sama ada dia akan memaafkan atau tidak.

Namun, dalam semangat Hari Raya Aidilfitri ini, apabila kita meraikan kemenangan melawan hawa nasfu selama sebulan, mengapa tidak kita buka hati kita untuk memaafkan saja segala silap dan salah orang itu?

Tentunya kita juga ada salah dan silap yang jika mahu disenaraikan akan mengambil masa yang lama. Maka, mengapa tidak kita maafkan saja dosa orang-orang yang memohon maaf daripada kita?

Ingatlah perintah Allah dalam surah al-A’raaf, ayat 199 yang menuntut kita agar memilih untuk memaafkan.

Sebenarnya, memohon maaf dan memberi maaf bukanlah sukar untuk dilaksanakan dalam bulan Syawal nanti selepas kita melengkapkan ibadat puasa selama sebulan.

Sesungguhnya, ibadah puasa mendidik kita untuk melawan hawa nafsu dan mengembalikan diri kita kepada fitrahnya yang suci bersih.

Jiwa yang suci bersih adalah jiwa yang bebas daripada sifat bangga diri, sebaliknya kaya dengan sifat pemurah dan berlapang hati. Ini memudahkan kita untuk mengakui kesilapan diri, memohon maaf dan memaafkan orang lain.

Oleh itu, manfaatkanlah Aidilfitri ini ke arah itu dan sucikanlah dosa sesama insan dengan penuh tulus ikhlas.

Apabila kita saling bermaafan, tiada lagi rasa benci dan dendam.

Apa yang lahir ialah perasaan kasih sayang dan persefahaman yang sekiranya dijana dengan baik, dapat menghasilkan satu permuafakatan yang bakal menguntungkan ummah.

Bersama Mohd Zawawi Yusoh

Hayati Kemaafan Aidilfitri

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.