Cerpen: Meniup angin rindu


Share on Tumblr
"Kita barangkali hanya sempat bertemu beberapa waktu sahaja selepas ini."
Masih kuingat. Kata-kata itu kuucap ketika engkau berjaya dalam permohonan
untuk pindah bertugas di Johor, negeri kelahiranmu berbelas tahun yang lalu.
Mahfouz! Kutatap gambar kenangan kita bertiga di hadapan masjid Mezquita, Cordova.

Kau memegang bahuku, Zambrie memegang bahumu. Dan wajahmu yang
tenang itu mengukir senyum teramat indah belum pernah kulihat. Wah!
Barangkali senyuman itulah yang memerangkap isterimu, Sal.

Di situ, kita berbicara tentang keindahan masjid yang terbina dalam zaman
pemerintahan Islam yang selama lapan abad itu. Kau lahirkan kekagumanmu
pada nilai seni bina yang unik, pada tiang-tiang batu marmar di dalamnya yang
banyak dan panjang.

Katamu, ``kita seolah-olah berdiri di celah-celah barisan pohon di hutan
belantara." Kulihat tiang-tiang itu berdiri teguh persis teguhnya persahabatan
kita. Lurus dan kuat. Tidak boleh digoyang sesiapa.

Zambrie yang selalunya banyak bertanya tiba-tiba memberitahu kita, masjid
yang terletak di tebing sungai Guadalquiver itu dibina semasa zaman
pemerintahan Abdul Rahman 1 dan menjadi salah sebuah masjid terbesar di
dunia. Ah! Aku ingat sungguh.

Sebelumnya Mahfouz, kau nyatakan terima kasihmu padaku yang bersusah
payah mengatur perjalanan kita ke Sepanyol selepas menjelajah Turki. Sudah
menjadi minat kita melancong dan mengembara, mengunjungi tanah air orang
lain. Berfikir dan menilai apa yang dilihat. Mentafsir dan mengulas setiap
kejadian. Sebelum ini telah kita lawati Jakarta, Bangkok, England, Paris,
Kaherah dan Istanbul. Hanya ke tanah suci kita tidak bersama.

Kubelek lagi album kenangan kita. Kelihatan aku dan Zambrie di dalam sebuah
bot di atas dada tasik tenang Retiro Park, di pinggir bandar raya Madrid.

``Alangkah baiknya kalau anak-anak dan isteri kita dapat turut bersama ke
sini," Zambrie menyatakan rasa hati ketika tangannya menjamah air tasik yang
sejuk.

Bot yang disewa itu membawa kita menyaksikan tugu peringatan dan patung-
patung ukiran gangsa di tepinya. Katamu, ``jika aku mampu. Akan kubina
sebuah monumen seperti itu untuk mengabadikan sejarah persahabatan kita
yang panjang."

``Besar sungguh cita-citamu Mahfouz." Aku ketawa.

Kau tunduk memandang wajah air yang berkocak. Kemudian kau pandang
semula tugu-tugu peringatan itu.

``Memang itulah cita-cita aku bahkan telah lama aku binakan di lubang hati."
Hanya aku yang menyedari kata-katamu itu. Zambrie barangkali tidak
menyedarinya kerana leka memerhatikan pemandangan indah di sekeliling.
Kurasakan tumbuh sesuatu yang besar dan terlalu murni di lubuk hatimu
Mahfouz. Kau bukanlah orang yang baru sehari kukenal. Sudah lebih dua
puluh tahun kau dan Zambrie menjadi sahabat karibku.

Sejam selepas itu, tidak kusangka pula, ketika ternonong-nonong mengejar
seekor anak ikan berwarna biru di pinggir tasik, kaki kiriku tertusuk benda
tajam yang menyakitkan. Aduh! sakit sungguh! Rupa-rupanya kaca putih jernih
menyerupai air terbenam di kakiku.

Kau dan Zambrie yang ketika itu sedang mengheret bot ke tepi terkejut amat
apakala melihat darah merah membuak dari luka di kakiku yang dalam. Ngilu
rasanya seperti putus urat-urat yang menjalar di tapak kaki. Tentu kau ingat
bagaimana aku mengerang kesakitan.

Menahan sakit

Tidak berlengah, kau dan Zambrie memapah aku ke tebing. Aku berpaut erat
di bahumu dan di bahu Zambrie. Terasa benar eratnya kita bertiga di kala itu.
Kita berada di tanah air orang lain, lantaran itu aku tidak punya sesiapa lagi
selain kau berdua.

``Kita bawa saja dia ke klinik," Zambrie memberi cadangan ketika membalut
lukaku dengan kain sapu tangannya yang dikoyak.

``Tak payahlah. Menyusahkan engkau berdua. Luka ni pun sikit saja," aku
enggan.

Puas engkau dan Zambrie memujuk, aku tetap enggan walaupun aku
sesungguhnya memang sakit. Aku tidak sedarpun, sebenarnya keenggananku
itu lebih menyusahkan. Hinggalah kita pulang ke hotel, kau berdua masih
belum berjaya memujuk. Agaknya, kau fikir, sikapku itu seperti budak kecil.
Waktu itu aku bukan berfikir sangat pada sakit, tapi pada taman yang tidak
sempat kita lawat sepenuhnya.

Malam yang sepatutnya dihabiskan dengan bersiar-siar di bandar Madrid tidak
menjadi begitu. Hanya menghabiskan masa di bilik hotel menonton siaran TV.
Kusuruh engkau berdua pergi, habiskan malam itu di mana-mana pusat
membeli-belah atau di mana-mana restoran. Engkau berdua enggan pula,
tidak sampai hati meninggalkan aku seorang diri dalam keadaan sakit. Kau
berdua memang begitu dari dulu dan di mana-mana.

Sementara kakiku yang luka bertambah-tambah pula sakitnya. Dahimu kulihat
berketak-ketak, turut terbeban dengan sakitku barangkali.

``Marzuqi! Esok aku mesti bawa kau ke klinik," tegas suaramu apabila melihat
aku gelisah menahan sakit.

Dan esoknya kau lakukan apa yang kau mahu. Aku tidak berdaya menahan
lagi. Terima kasih, kerana selepas itu kakiku yang sakit beransur baik. Kini,
setiap kali memandang parut di tapak kaki, aku terkenang peristiwa itu.

Air suam yang dibawa isteriku, Norni kuteguk dua kali. Gambar kenangan
kubelek lagi. Kulihat aku berjalan di jalan raya Antony yang penuh sesak
dengan pelancong-pelancong menuju ke hadapan Plaza de Espana. Di
hadapan plaza itu kita bergambar pula berhampiran patung Cervantes dan
patung Don Quixote bersama orang suruhannya, Soncho.

Ketika bersiar di pasar terbuka tidak jauh dari situ, kau nyaris-nyaris
kecurian wang. Nasib agak baik kerana ketika poket seluarmu diseluk seorang
lelaki Gipsi, mataku sempat melihatnya. Tanpa berlengah, kita bertiga
mengejarnya. Zambrie memegang tangannya dan menengking keras hingga lelaki itu
terketar-ketar ketakutan. Ketika itu ramai orang mengelilingi kita.

``Aku lapar! Perut aku kosong! Maafkan aku!" Rayu pemuda itu dalam bahasa
yang kita fahami.

Dia boleh berbahasa Inggeris dan faham apabila aku memberi amaran supaya
jangan mencuri lagi. Kemudian kulihat sebelum kita pergi, kau hulurkan
beberapa keping wang kertas yang aku tidak tahu jumlahnya ke tangan
pemuda itu. Lalu dia hendak sujud di kakimu, tapi kau menahan. Mulia
sungguh hatimu Mahfouz!.

Kau memang tidak sayang duit untuk membantu sesiapa yang susah. Di
zaman kita muda, ketika keputusan wang, poket engkaulah tempat aku
mengadu.

Dengan bantuan Gaudi, seorang kawan yang pernah Zambrie kenali ketika
mengunjungi kota Paris setahun sebelum itu, kita ke Andalusia Selatan.
Zambrie selalu berhubung dengan anak kelahiran Huelva, sebuah wilayah di
barat daya Sepanyol itu kerana dia juga mempunyai minat yang sama seperti
kita.

Aku sering memujinya," ada juga insan yang baik di sini."
Bertuah benar kita dipertemukan dengan orang seperti itu. Baik hati dan
berbudi luhur. Jika tidak Zambrie yagn kenal, kita mungkin tidak mengenali dan
tidak pun bermalam di rumahnya untuk dua hari dua malam. Tapi segala-
galanya sudah dirancang Tuhan.

Sebaik saja kita pijak bumi Andalus, ketika memandang Granada dari jauh,
kau tulis sebuah puisi pendek dan kau berikan pada aku untuk kusimpan
dalam poket. Indah sungguh puisimu yang kubaca selalu,
Kubukakan mataku yang sempit, berselaput
kupandang langit tidak berpinggir, selalu mencurah air,
puncak gunung putih bersalji megah berdiri,
kuda dan baghalmu merenung gunung-gunung,
kelasi-kelasi mengesat peluh di perut kapal,
dari Andalus kukirimkan
padamu Granada, kupahatkan cinta!
Mahfouz! Jika kau ada, tentu kau masih ingat. Gaudi memiliki anak perempuan
berwajah cantik. Dia menjadi pembantu setia ibunya di rumah atas bukit itu.
Aku sudah lupa namanya. Tapi aku yakin, tentu Zambrie masih ingat. Yang
aku masih ingat dan tak lupa hingga kini, cerita bagaimana dia jatuh cinta pada
Zambrie.

Dia yang setiap kali menyajikan kita sarapan, makan tengah hari dan makan
malam rupa-rupanya sempat menjeling dan memerhatikan Zambrie yang
masih kacak walaupun sudah berusia 44 tahun di saat itu. Tapi gadis ayu itu
bukanlah bertepuk sebelah tangan. Aku perhatikan gerak laku Zambrie yang
tak ubah seperti dia muda-muda dahulu apabila terpikat pada seorang gadis.

Aku lupa benar namanya. Tetapi, seperti yang engkau tahu, mata gadis itu
mampu juga mematahkan hati seorang lelaki seperti aku. Eh! aku masih punya
ingatan pada anak isteri dan pada usia yang semakin merangkak tua.
Setiap kali aku cuba menikmati keindahan kejadian wajahnya, mulalah wajah
anak dan isteri menabir di depan mata.

Aku tidak menyangka, hati Zambrie lebih nipis daripada hati aku yang sekeping
ini. Mudah pula ditembusi renungan tajam anak gadis Gaudi berwajah manis.
Bahkan dia tidak dapat berkata apa-apa apabila menerima kata `cinta' yang
bagaikan punya keramat. Setiap kali dia bercerita padaku tentang itu, aku
geleng kepala. Aku pura-pura pula tidak percaya. Kataku, ``mana mungkin dia
jatuh hati pada si tua macam kau tu."

Zambrie hanya senyum. Dia pun tidak tahu kenapa begitu mudah hatinya
terpaut. Tapi tidak ada yang lebih menghairankan selain daripada cerita
seorang gadis yang jatuh cinta pada lelaki yang sudah layak bergelar ayah.
Cintanya bukanlah olok-olok, sungguh-sungguh. Kukatakan, buta benar
cintanya itu. Kalaulah diketahui Mazniz, isteri Zambrie, tidakkah perang besar?
Tapi aku tidak lupa menasihatkannya. Seperti kembali ke zaman muda yang
tak pernah hilang. Akulah penasihat setia yang tidak pernah jemu
mengingatkannya pada apa yang dia lupa. nasiahatku, ``kau tu sudah tua.
Lupakan saja hal itu."

Hari kedua barulah kubisikkan ke telingamu tentang hal itu. Kau sudah tentu
tidak dapat menahan hatimu yang geli. Memang melucukan. ketika kaki kita
melangkah hendak meninggalkan rumah yang banyak kenangan itu, aku
masih ingat apa kata Gaudi pada Zambrie.

``Zambrie! Anak perempuanku sudah jatuh cinta padamu. Sudikah kau
menerima cintanya?"

Jatuh cinta

Kita bertiga pun saling berpandangan. Zambrie benar-benar terkesima.
Bibirnya diketap dan kelopak matanya berkelip-kelip seperti biasa ketika dia
tidak tahu berkata apa-apa.

``Gaudi! Aku sudah tua. Sudah punya isteri dan anak-anak," Zambrie menepuk
bahu Gaudi.

Aku lihat mata anak gadis Gaudi berladung air jernih. Air mata kesal kerana
terpaksa berpisah dengan lelaki yang telah mengambil sebahagian hati
mudanya yang empuk.

``Bila saya akan diketemukan dengan awak semula?" Suaranya bernada sayu.

Zambrie bungkam ketika tangannya dipegang dan dicium gadis itu. Sehingga
kini masih menjadi rahsia. Kenapa begitu sekali dia jatuh cinta. Tepat benar
kata-kata orang, cinta itu buta lalu tidak kenal ia sesiapa.

Gambar kita bertiga di samping gadis itu sedang duduk di atas sebatang pokok
tumbang sebelah rumah sambil mengunyah epal kulihat sambil tersenyum.
Gambar itu Mahfouz, masih baik dalam simpananku.

``Hai! Apa pasal abang senyum-senyum tu?" Norni mengejutkan aku ketika dia
menghantar pisang goreng.

Dirapatkan dadanya ke belakangku sambil jari-jari lembutnya meramas bahuku
yang selalu lenguh. Rapat benar dada Norni hingga terasa di belakangku hawa
panas buah dadanya yang dua itu. Kuserahkan saja padanya apa yang
hendak dia buat. Rasa hubah pada isteriku itu menjadi dalam seperti zaman
muda-muda.

``Abang tentu ingat kenangan dulu," Norni mengagak.

Aku mengangguk. Dia melepaskan tangan di bahu lalu pergi dari situ. Hah!
Norni mengganggu ingatanku padamu.

Mahfouz! Kita juga ke Barcelona sebagai destinasi akhir bukan? Sepanjang
perjalanan ke kota pelindung itu kau tidak banyak bercakap. Kau hanya
mendengar dan senyum saja. Sesekali aku menoleh ke wajahmu yang sedikit
demi sedikit dilanda muram.

``Marzuqi! Zambrie! perjalanan ini makin hampir ke penghujung. Mungkin ini
perjalanan terakhir," kau bisik ke telingaku.

`Perjalanan kita memang makin hampir ke destinasi. Ke Barcelona yang kita
tuju. Tidakkah kau gambira Mahfouz?" Aku menutup tingkap bas yang mula
dimasuki asap lori.

Akhirnya kita jejaki bumi Barcelona.

``Aku teringat pada anak-anak dan isteriku," beritahumu ketika kita minum di
sebuah restoran.

``Sabar ajelah. Esok lusa kita akan balik. Macamlah kau tak pernah ke luar
negara," nasihat Zambrie, tetapi suaranya tinggi sedikit.

``Aku takut tak sempat jumpa mereka," suaramu perlahan keluar dari lubang
kerongkong.

``Eh, apa yang kau merepek ni Mahfouz?" Aku mula hairan.

Kita tinggalkan tempat itu dengan soalan yang tidak terjawab menuju ke
pameran bunga ros yang terletak tidak jauh dari situ. kita menyaksikan
pameran bunga-bunga yang amat menarik. Menurut seorang pengunjung,
pameran itu adalah acara tahunan di Barcelona setiap kali tiba bulan April
begini selain acara laga lembu.

Hendak kubeli sejambak bunga ketika itu. Tapi untuk siapa? akhirnya kita
bertiga tidak belipun sekuntum bunga. Sebaik saja meninggalkan tempat
pameran bunga, hujan turun tiba-tiba dengan butir-butirnya yang besar.
Terpaksalah kita lari mencari tempat berteduh. Dan kitapun berteduh di bawah
payung besar seorang peniaga.

Sempat aku berseloroh, ``kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di
tengah hari."

Saat itu kulihat bibirmu tidak sedikitpun tersenyum, seakan berfikir sesuatu.
Mahfouz! Walaupun aku tidak bertanya apa-apa, tapi aku sedar perubahan kau
itu. Kau yang selama ini periang dan banyak cerita menjadi demikian rupa
selepas sehari dua di negeri ini. Bodohnya aku dan Zambrie ketika itu, tidak
mahu mengerti sesuatu.

Malamnya, ketika hendak tidur di hotel sewaan kita. Engkau katakan moga-
moga persahabatan kita bertiga akan kekal buat selama-lamanya. Bahkan
hingga ke taman syurga. Lalu kau mahu kita berjanji dan berusaha untuk
berada di satu tempat di sana. Selepas jam dua belas, kita tutup malam itu
dengan kelopak mata yang sudah pedih.

Lebih kurang jam empat pagi, aku sedari engkau bangkit mendirikan solat
tahajud. Aku dengar dengan jelas doa-doa yang kau pohonkan pada Tuhan
Yang Maha Mendengar. Antara harapanmu pada Tuhan, moga kita akan
dipertemukan di atas hamparan permaidani syurga sambil meneguk madu
yang mengalir di alur sungai-sungainya.

Hati siapa tidak pilu mendengarnya Mahfouz? Hati siapa yang tidak terharu?
Selepas itu aku nampak dalam cahaya yang samar-samar, engkau tidur
dengan tenang di atas tilam tanpa kuhidu malam itu akan memberi jawapan
segala-galanya. Tapi jawapan yang nyata kutahu apabila kunjungnya pagi.

Pagi itu bukan membawa sinar rupanya. Apabila kukejutkan kau untuk
mengerjakan subuh yang kita cintai, rohmu sudah terbang jauh buat selama-
lamanya. Benarlah segala kata-kataku dahulu, ketika engkau mula bertukar
tempat kerja ke negeri kelahiranmu, ``kita hanya sempat bertemu untuk
beberapa waktu saja selepas ini sebelum kita mati."
``Tap"
Aku tersentak apabila setitis air mata tua jatuh di atas gambar kenangan kita
yang kupegang. Semuanya telah tinggal kenangan Mahfouz. Kini sudah lebih
sepuluh tahun peristiwa itu berlalu. Kau yang pergi tidak akan kembali lagi.
Ketahuilah Mahfouz! Aku kini selalu berharap agar cerita-cerita lalu yang indah
akan berulang walaupun aku tahu ia takkan datang lagi.

Dan Zambrie yang sudah pindah dari Kuala Lumpur ke negeri asalnya, pahang
selalu beralasan sibuk untuk memenuhi hasratku menjelajah dunia bersama
lagi. Kini tinggallah aku yang hanya mampu meniup angin rindu dari kejauhan
ini.

Author: IZANI ZAKARIA

Cerpen: Meniup angin rindu

3 Komen:

Farahanim Raimi berkata...

Nice... ^-^

Tanpa Nama berkata...

mulianya persahabatan ini .. :)

Tanpa Nama berkata...

great freindships..

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.