Cinta. Rupa atau harta?


Share on Tumblr
"Hai cinta dulu-dulu.. cinta malu-malu Cinta dulu-dulu memang susah nak bertemu... Bila sudah dapat bertemu, cakap apa pun tak tahu... Tegak berdiri tersipu-sipu, seram sejuk kaku membisu...

"Alah cinta zaman sekarang, sudah terlupa pantang larang, cinta zaman sekarang di khalayak ramai dia pegang-pegang kalau ditegur dia meradang macam harimau nak menerkam maruah bangsa sudah terancam kerana perbuatan segelintir orang"

INILAH antara bait lagu Cinta Dulu Cinta Sekarang yang dinyanyikan oleh Tan Sri S.M Salim yang mengisahkan perihal percintaan ketika zaman dulu dan zaman sekarang yang ternyata mempunyai perbezaan yang sangat ketara.

Jika ditanya pada orangorang tua, pasti mereka mengatakan zaman dulu cinta begitu suci kerana perhubungan antara lelaki dan perempuan sentiasa terbatas dan tidak sewenang-wenangnya untuk berjumpa seperti zaman sekarang. Cinta dulu terikat dengan pantang larang demi menjaga maruah diri dan keluarga.

Selain itu, zaman ketika orang dulu-dulu bercinta juga, jarang sekali mereka dapat dating bersama-sama. Bukan apa takut jadi buah mulut dan bimbang tidak manis dipandang orang. Jika menetap di kawasan kampung, istilah untuk sering berjumpa tidak wujud langsung kerana ditegah oleh keluarga.

Bahkan cinta dulu-dulu tidak pernah membelakangkan orang tua kerana ikatan kekeluargaan yang kuat. Untuk menjadi menantu kepada keluarga itu, tidak kira lelaki atau pun perempuan, mereka tidak mementingkan kriteria berharta mahu pun rupa paras kerana yang lebih diutamakan ialah budi bahasa, sikap menghormati orang tua, rajin bekerja dan sebagainya yang menjadi pilihan utama.

Budi bahasa dijunjung sepanjang zaman. Harta yang menggunung jika setiap hari dikikis pun akan habis begitu saja. Namun, sikap dan budi bahasa yang sopan menjadi sanjungan setiap orang.

Ya, mungkin benar zaman dulu perbelanjaan dan cara hidup tidak memerlukan kos yang tinggi. Kebanyakan daripada mereka bekerja kampung dan mempunyai pendapatan sekadar mampu. Jika hendak beras, boleh ambil padi yang ditanam, hendak sayur, ambil saja di belakang rumah. Semuanya tidak memerlukan kos yang tinggi.

Sekarang ia berubah sedikit demi sedikit selari dengan dunia yang lebih moden sekarang, namun satu perkara yang masih tidak bertukar ialah adat resam, pantang larang dan sikap berbudi bahasa masih perlu dibawa ke mana saja.

Percaya atau tidak, semua yang terjadi adalah berdasarkan cara asuhan ibu bapa zaman dulu yang mementingkan mereka berpegang teguh kepada pantang larang dan adat resam. Apabila semua ini diambil kira, secara tidak langsung, budi bahasa dan tutur kata yang sopan lahir secara semula jadi.

Cinta

Hasilnya, apabila pasangan berkenaan mengambil keputusan berkahwin, pastinya hubungan itu akan bahagia sepanjang hayat dan hanya maut yang memisahkan mereka. Lihat saja contoh ibu bapa kita yang masih hidup. Jika itu pasangannya, sampai mati pun itu juga pasangannya.

Namun, ia sedikit demi sedikit berubah selari dengan tuntutan kepada perubahan zaman sehinggakan kuasa untuk memilih dan menentukan pasangan hidup masingmasing di tangan sendiri. Mereka berhak untuk memilih kriteria pilihan hati masingmasing.

Kalau ada ibu bapa yang masih mencarikan jodoh untuk anak mereka, ia mungkin dilihat sebagai cara yang agak kuno dan ketinggalan zaman. Anak muda sekarang lebih suka membuat pilihan sendiri kerana mereka tahu apa yang disukai dan tidak disukai pada pasangan masing-masing.

Malah dalam proses mencari pasangan hidup, ada segelintir yang mementingkan rupa fizikal dan juga harta benda sehingga aspek budi bahasa tidak lagi dipandang tinggi. Ia seakan tidak membawa erti kepada dunia yang serba moden ini.

Apabila semua kriteria berkenaan menjadi pilihan, dan perkahwinan dijalankan, besar kemungkinan ia tidak akan kekal lama kerana semuanya mempunyai motif di sebaliknya dan bukan keikhlasan sepenuh hati.

Mengulas senario itu, Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Profesor Madya Dr Mohamed Fadzil Che Din, berkata menerusi tinjauan dilakukannya dan Prof Madya Dr Lily Mastura dari Universiti Putra Malaysia (UPM) ke atas mahasiswa pada 2006, kriteria utama bagi lelaki untuk memilih pasangan hidup ialah bentuk badan, rupa wajah, sifat manja, latar belakang agama, keluarga dan juga kepemimpinan diri.

Bagi wanita pula, mereka akan lebih mengutamakan kepada latar belakang agama, kemesraan, kepemimpinan diri, wajah dan latar belakang keluarga. Walaupun kajian ini sudah melebihi lima tahun, namun kriteria ini masih lagi relevan pada digunakan pada senario hari ini.

"Dalam pada itu ramai yang mengatakan lelaki yang mencari pasangan hidup hanya inginkan wanita yang cantik saja. Ya, benar menerusi kajian yang dilakukan masih lagi realistik digunakan kerana hasilnya masih konsisten lagi pada hari ini. Memang naluri seorang lelaki yang sukakan kepada yang cantik dan disebabkan itu mereka masih menitikberatkan kepada aspek bentuk badan dan rupa paras yang cantik untuk wanita pilihan," katanya.

Berbanding wanita pula, pendapat yang mengatakan mereka hanya mendekati lelaki berharta tanpa mengira faktor usia juga ternyata tidak benar. Wanita ini masih lagi praktikal dalam memilih pasangan dan hanya sebilangan majoriti kecil saja yang mempunyai cita rasa dan cara gaya hidup yang ekslusif. Ini yang membuatkan mereka tidak kisah kepada faktor usia asalkan berharta.

"Walaupun banyak yang melihat keburukan daripada kebenaran, ternyata budi bahasa masih menjadi asas dan kriteria penting bagi kebanyakan lelaki dan wanita sekarang. Kalau hendak dibandingkan pula, wanita lebih bersifat cenderung dan menitikberatkan aspek berkenaan.

"Wanita lebih memerlukan pasangan yang bersifat romantik daripada segi kepemimpinan diri dan kemesraan ketika berinteraksi sesama mereka," katanya.

Dr Fadzil menjelaskan, sebenar-benarnya seorang wanita yang ingin menjalinkan suatu perhubungan akan mencari pasangan yang mempunyai kualiti berasaskan kepada nilai agama, budaya dan bangsa serta mampu menjadi pendengar yang setia. Mereka lebih suka berkongsi setiap apa yang berlaku di sekelilingnya seperti kerjaya dan keluarga.

"Bagi lelaki pula, mereka menjurus kepada mencari pasangan yang dapat memenuhi keperluan naluri semula jadi seorang lelaki. Antaranya keperluan fizikal mereka, seksual, kewangan dan masa lapang. Ditambah pula keadaan yang mana wanita dikatakan lebih ramai daripada lelaki, ia hanya memudahkan mereka membuat pilihan," katanya.

Oleh Shaidah Shafie
Cinta. Rupa atau harta?

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.