Cerpen: Mutiara dari Lautan


Share on Tumblr
Mutiara dari Lautan

Sesekali buih-buih ombak yang menyapa kaki menyebabkan aku sedikit merasa terganggu. Lantas aku buat keputusan untuk beranjak duduk di atas tunggul kayu bakau yang mati. Terasa mengah nafas ini. Terasa sendat ruang pernafasanku. Aku menghela nafas panjang. Di sebalik tudung labuh ini,aku kelihatan sama seperti orang lain, tapi sebenarnya aku tidak sama. Aku berlainan. Aku bukan seperti mereka. Mereka yang ikhlas menutup aurat mereka sedangkan aku? Tudung labuh ini tak lebih bagaikan topeng untuk menutup keaibanku. Ah, hinanya diri yang menganggap hukum Tuhan bagaikan mainan. Tapi apa lagi yang mampu aku lakukan? Membuka aib diri supaya dapat dihina dicaci? Itu tak mungkin aku lakukan. Sudah tidak larat rasanya aku memikul beban yang begitu berat ini.

Aku menguis-nguis pasir di hujung kakiku. Terdampar di daerah yang asing ini membuatkan aku hidup dalam sedikit ketenangan. Aku merenung tepat ke arah matahari yang mulai terbenam. Mega sinarnya yang memerah menyinari langit bumi. Dulu aku tidak pernah peduli, tapi kini, setelah apa yang terjadi pada aku, baru aku tahu, betapa indahnya hidup yang dianugerahkan oleh Illahi. Tapi malangnya, dulu aku tidak tahu menghargai.

“ Kak Lin, jom balik. Dah senja ni. Tak elok duduk luar rumah senja-senja begini. Kak Lin kena jaga kesihatan kakak,” sapa satu suara yang lembut berbisik. Aku memandang perempuan yang tiga tahun lebih muda dariku itu. Bagaimana perempuan ini mampu bertahan? Dan mengapa tidak aku yang mampu bertahan. Aku menghadiahkan senyuman untuknya.

“ Malam ni, emak masak istimewa untuk akak. Itu yang Ayu usaha juga cari akak. Rupanya akak dekat sini. Nasib baik tadi Abang Irham cakap akak ada di sini,” lancar Ayu berkata-kata. Aku tersenyum pahit. Zikri Irham. Sebaris nama yang membuat hatiku bergetaran, namun siapalah aku yang mahu mendampingi dirinya yang ternyata suci. Sedangkan aku? Mutiara dari dasar laut yang dipenuhi selut kotor dan busuk, tak layak bergandingan dia, berlian yang begemerlapan sinarnya.

“ Mari Kak Lin. Jalan tu perlahan-lahan ya,” suara Ayu kedengaran lagi. Aku hanya tersenyum. Mengusir lara hati yang masih cuba memunculkan diri di sebalik bayangan hatiku.

AKU memandang tepat ke arah Irham. Dia tenang saja. Wajahnya langsung tidak menggambarkan sebarang reaksi. Aku pandang pula wajah Ayu, pun perempuan itu kelihatan tenang. Aku kerling pula ke arah Mak Siah, wanita separuh abad itu hanya mengulum senyuman.

“ Beri masa untuk Lin fikirkan,” ujarku akhirnya. Lauk ketam masak gulai lemak cili api yang sudah beberapa hari manjadi idamanku tiba-tiba terasa tawar untukku telan. Apa yang diutarakan sebentar tadi memang telah membunuh selera makanku.

“ Emak bukan apa. Orang kampung sudah mula bertanya. Tambah pulak dengan keadaan Lin yang begini, lagilah mereka syak-wasangka. Orang kampung, memang suka masuk campur hal orang. Bukan sengaja nak menyibuk, tetapi kalau ada yang berbuat dosa, dan mereka tidak menegah atau ambil tahu, dosa itu akan terpalit sama pada mereka,” ujar Mak Siah lembut. Mungkin cuba membuatkan aku faham tapi yang sebenarnya, aku lebih dari mengerti.

“ Lin faham. Cuma, beri Lin masa,” ujarku lantas bangun dari meja makan itu. Pingganku yang masih sedikit berisi aku angkat.
“ Tak payahlah Kak Lin susahkan diri. Biar Ayu yang kemas. Akak rehat,” segera Ayu menahan. Aku bertambah sebak. Kenapa keluarga ini sanggup berkorban sejauh ini untukku? Orang asing yang langsung tak dikenali?
“ Abang nak Lin rehat. Fikir masak-masak. Kalaupun Lin menolak, kami sekeluarga faham,” ujar Irham tiba-tiba. Kata-kata Irham membuatkan kakiku terasa berat untuk melangkah. Adakah cadangan itu yang terbaik untukku? Ya Allah, hanya kepadaMu aku berserah.

“LIN bukan seperti yang abang sangkakan. Lin tak mahu, abang terpedaya dengan perwatakan Lin. Lin perempuan yang tak layak untuk abang,” ujarku. Cuba membuat lelaki berhati luhur di hadapanku ini mengerti. Dia memandangku. Bukan tepat ke mataku, tapi tepat ke perutku. Bukan dengan pandangan bernafsu, tapi atas lirikan naluri untuk mencurahkan kasih pada aku dan…

“ Anak Lin, perlukan seorang ayah. Dia perlu dapatkan didikan seorang ayah,” ujarnya lembut. Spontan tangan kananku mengusap-ngusap lembut perutku yang makin membulat itu.
“ Lin tak boleh…Lin tak boleh,” ujarku tersekat-sekat.
“ Abang faham. Mesti Lin susah nak lupakan arwah suami Lin kan. Tak apa, abang akan beri masa pada Lin. Berfikirlah,” ujarnya lantas dengan tenang melangkah meninggalkan aku sendirian di pesisir pantai itu. Mendengar kata-katanya yang penuh kejujuran dan keikhlasan itu, aku jatuh terjelepuk. Air mataku menitis laju. Aku sudah tidak berdaya lagi mahu membohogi mereka. Mereka terlalu baik. Dan aku, aku adalah seorang wanita yang memang penuh terpalit dengan lumpur penuh noda dan dosa. Ya, aku harus berterus-terang. Tapi pada siapa?

AKU menunggu reaksi darinya. Namun, langsung tiada sebarang perubahan pada riak wajahnya.

“ Ayu dah lama tahu,” jawabnya pendek. Aku tersentak. Aku mengangangkat wajahku. Menatap terus ke dalam anak matanya. Mencari kebenaran kata-katanya.
“ Ayu…dah tahu? Mana Ayu tahu?” soalku kembali padanya. Dia mengukirkan senyuman.
“ Naluri seorang perempuan. Pasti faham hati seorang perempuan yang lain. Ayu tahu siapa Kak Lin. Sebab, tanpa sedar, dalam masa Kak Lin di sini, Kak Lin telah membukan rahsia itu sendiri,” aku terkedu. Bila? Bila rahsia keaiabanku ku ceritakan padanya? Seingatku tidak pernah. Aku tidak pernah bercerita pada sesiapa pun tentang rahsiaku.
“ Kak Lin, kami bertiga dah tahu. Dah lama tahu. Mungkin dari sejak pertama kali Kak Lin jejakkan kaki di rumah ini. Kami sudah dapat mengagak. Melihat kekekokan Kak Lin mengenakan tudung labuh yang selama ini Kak Lin sangkakan bagaikan topeng, melihat kekekokkan Kak Lin mengambil wudhuk,melihat kekekokkan Kak Lin mengangkat takbir. Kami sudah dapat meneka. Hanya menunggu masa untuk Kak Lin bercerita.

“ Walaupun tahu siapa akak yang sebenarnya, Ayu masih mahu memberikan pengorbanan ini untuk akak?” soalku. Dia mengukirkan senyuman manis.

“ Ini adalah salah satu dakwah. Dakwah itu ibadah, dan ibadah menjanjikan balasan pahala dan pahala itu sangat indah dan sangat sukar untuk diraih jika hati tidak ikhlas,” kata-katanya membuatkan aku makin tidak mengerti. Ayu Raudhah. Anehnya dia, merelakan suaminya mengahwini seorang perempuan seperti aku. Siapakah dia? Adakah malaikat yang diutuskan Illahi untuk menunjukkan jalanNya yang lurus padaku?

“ MAAFKAN Lin sebab berbohong pada emak, Abang Irham dan Ayu. Anak ini…anak ini tidak berbapa. Lin, Lin wanita yang tanpa sedar telah menggadai maruah diri dek terpedaya terhadap cinta duniawi. Lin hanyut dalam bisikan syaitan laknatullah. Malam itu, malam Valentine. Malam yang tak sepatutnya diraikan seorang muslimah, Lin serahkan mahkota kegadisan Lin pada dia yang Lin percaya adalah kebahagiaan Lin. Tapi dia sebenarnya, tak ubah bagaikan neraka dunia. Hanya malam itu. Cuma malam itu tapi Allah Maha Kuasa. Pada malam itu, benih dosa kami bercambah. Menjadi beban yang akhirnya hanya Lin seorang yang memikulnya,” sambil menceritakan hal yang sebenarnya aku menundukan kepalaku. Tak tahan rasanya menahan silauan pandangan mereka yang memandangku.

“ Maafkan Lin sebab berbohong tentang anak ini. Maafkan Lin kerana mengatakan suami Lin terkorban dalam kemalangan jalan raya. Maafkan Lin kerana mereka cerita yang keluarga menghalau Lin kerana Lin dikatakan bawa sial. Lin bukan dihalau kerana membawa sial, tapi kerana menconteng arang ke muka mereka. Maafkan Lin kerana berbohong. Izinkan Lin pergi dari sini dan halalkan makan minum Lin. Lin minta maaf banyak-banyak. Lin tak layak berada di rumah ini. Hanya Ayu yang layak menjadi permaisuri di sini. Seorang Raja hanya ada sorang permaisuri dan Lin yang hina dan kotor ini, tak akan cuba merampas hak Ayu. Seorang wanita yang mulia,” ujarku lantas bangun dari dudukku dan beg bajuku ku tarik.

“ Kemana Lin nak pergi?” soal Mak Siah lembut. Aku terkejut. Suaranya lembut. Tidak membentak.
“ Kak Lin, tempat seorang isteri di sisi suami. Akak nak tinggalkan suami akak?” soal Ayu pula. Aku terkedu.
“ Abang percaya, setiap orang yang bertaubat, berhak mendapat peluang kedua,” ujar Irham. Sekali lagi aku terkedu. Aku kembali menatap mereka.
“ Aku lah sang mutiara. Yang berada di lautan dalam. Bergelumang dengan lumpur dan noda hitam. Sedangkan dia, berlian berkilauan,ditempa dan digilap dengan penuh keimanan sedangkan aku tenggelam dalam dosa yang kelam. Aku lah sang mutiara, yang berselindung di sebalik cengkerang, cuba menutup segala keaiban, tapi Yang Kuasa tahu akan segala keadaan sedangkan dia berlian yang berkilauan, yang memancarkan sinar keimanan, penuh ketakwaan, memilih jalan kebenaran, tidak berselindung dengan hijab kemungkaran,
Akulah mutiara di dasar lautan, tidak mungkin setaraf berlian yang berkilauan,”
Illahi. Itulah puisi yang aku titipkan dalam diam. Mengapa dia yang menghafalnya? Mengapa dia menggari kakiku dari terus melangkah. Mengapa dia mengikat tanganku, mengikat hatiku mengikat jasadku, padanya? Illahi, mengapa dia? Berlian yang berkilauan.
“ Nur Amalin Aisyah. Tahukah awak yang seorang penyelam lautan dalam, hampir mengorbankan nyawanya untuk mengambil mutiara yang berlumpur dan berselut hitam. Kerana dia tahu, di sebalik lumpur hitam itu, ada sebiji mutiara yang bersinar terang. Lebih cantik kilauannya dari sang berlian. Lin, izinkan abang menjadi penyelam lautan dalam. Berikan abang peluang, menggilap mutiara lautan dalam,” dan aku teresak di situ. Ya Allah, Kau benar-benar menyayangiku.


ANAK kecil itu bulat memandangku. Dia mengukirkan senyumannya. Manis. Ah,sudah 12 tahun rupanya dia. Dan dia masih ku anggap bagai anak kecilku.

“ Jadi, mana umi Raudhah?” soalnya petah.
“ Ayu…nama Ayu apa?” soalku padanya.
“ Ayu Raudhah,” dan kini dia mengerti.

Ya, Ayu Raudhah. Maduku sudah menghembuskan nafas terakhirnya sebelas tahun yang lalu. Dia yang menghidap penyakit barah rahim tidak boleh mengandung. Sebelum dia menutup mata, dia mahu lihat suaminya mempunyai cahaya mata. Dan aku, adalah orang yang tepat pada fikirannya untuk memberikan anugerah itu. Syukur kepada Illahi, aku kini hidup bahagia dengan Zikri Irham dan termasuk Ayu Raudhah, kami kini mempunyai empat cahaya mata. Syukur Ya Allah.

Aku kini mutiara yang mampu bergandingan dengan berlian. Berkat asuhan suamiku, aku kini seorang isteri yang taat pada suami. Dan tudung labuhku, bukan lagi topeng menutup keaibanku, melainkan satu ibadah yang ikhlas ku lakukan. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, aku kini berada di jalanNya yang lurus. Dulu kini dan selamanya.

p/s: Ini karya pertama saya. Kalau boleh, berikan pandangan untuk saya terus memperbaiki penulisan saya. Terima kasih

Nukilan:
Wan Hazyan
http://honestlylifesmuststrong.blogspot.com
Cerpen: Mutiara dari Lautan

6 Komen:

Tanpa Nama berkata...

1: bagaimana dgn anak yg dikndungkan tue.."anak tak sah taraf"
2: dimana keluarga lin ? kalau dia diabaikan bagaimana cara dia diabaikan
mpga dapat mnjawab persoalan ini dalam cerpen anda agar ia menjadi lebih mantap..
terima kasih

Tanpa Nama berkata...

so far ok... taniah sbb anda mempunyai bakat untuk menulis... keep it up...

Tanpa Nama berkata...

buat lagi cerita tajuk lain . satu tak boleh nak komen lah.

Tanpa Nama berkata...

buat lagi lah

Tanpa Nama berkata...

agak memboankan tp ok ad bakat terendiri.....nnti buat yang lbih mnarik agar dpt mnarik prhatian pmbaca

Tanpa Nama berkata...

ada bakat untuk mnulis..teruskan..

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.