REMAJA adalah kelompok manusia yang baru meninggalkan alam kanak-kanak. Tanda peralihan dari alam kanak-kanak ke alam remaja dengan kematangan biologi seperti haid dan mimpi serta keluar mani.
Mimpi menyebabkan badan cepat membesar, rambut atau bulu-bulu mula tumbuh di bahagian tertentu badan dan perubahan yang paling ketara ialah soal nafsu seks.
Waktu inilah Islam mendidik supaya menguasai diri. Apabila diri terkendali, semua menjadi teratur. Tetapi apabila tertewas, berlakulah penyimpangan.
Penyimpangan masalah seksual khususnya di kalangan remaja semakin mengkhuatirkan. Pergeseran kefahaman, dosa masing-masing tanggung, kubur masing-masing juga, membuatkan masalah dosa dan zina sesuatu yang mula dipandang enteng.
Padahal penyimpangan seks iaitu zina sesuatu yang amat keji dan mesti dihindari oleh setiap Muslim sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina sesungguhnya zina itu adalah perbuatan yang sangat keji dan satu jalan yang sangat buruk.”
Seks adalah satu anugerah Allah yang diberikan kepada manusia sebagai satu nikmat dan perhiasan kehidupan seperti juga haiwan dan tumbuhan.
Memang patut jika manusia mempunyai ghairah seks atau keinginan untuk melempiaskan keinginan seksual itu.
Allah tidak melarang manusia melempiaskan hawa nafsunya selama mana cara yang dihalalkan, pada saat yang tidak terlarang dengan ikatan perkahwinan yang sah.
Malah Nabi seakan tidak mengaku umat kepada mereka yang punyai kemampuan untuk berkahwin tetapi meninggalkannya.
Dalam sebuah hadis Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa benci dan enggan menurut sunnahku (antaranya berkahwin) maka dia bukan dari kalanganku.”
Ikatan pernikahan adalah jalan yang halal dan diiktiraf syarak untuk melepaskan kemahuan seksnya. Ini bererti orang yang belum berkahwin jangan cuba-cuba melepaskan seksnya.
Islam satu agama yang amat hebat menampilkan cara pengawalan sangat berkesan dalam mengatasi penyakit seksual iaitu sebagaimana dalam firman Allah yang kita baca di atas iaitu perkataan “jangan kamu menghampiri zina.”
Jika menghampiri sudah dilarang dan ditegah, apa lagi melakukannya. Menghampiri maknanya apa saja perbuatan yang menjadi penyebab, pendorong, keinginan dan sebagainya adalah haram.
Sekiranya ada pendorong akan mudah datang keinginan diulit bisikan syaitan sama merelakan pula, apa lagi terjadilah perbuatan terkutuk yang saban hari kita lihat dan dengar remaja melahirkan anak luar nikah, bayi yang tidak berdosa ditemui mati di timbunan sampah, perut terburai dimakan pula sekumpulan anjing liar. Dahlah berzina, amat jijik kezaliman terhadap bayi yang tidak tahu apa-apa.
Oleh itu pergaulan bebas, berdua-duaan, berpimpin tangan, duduk rapat-rapat dan berhimpitan di atas motosikal adalah muqaddimah yang kuat mendorong berlakunya penyimpangan seksual.
Alam remaja adalah alam yang sangat mencabar sehingga disebut Nabi dalam satu senarai orang-orang ‘VVIP’ akhirat ialah remaja yang terselamat dan menyelamatkan diri daripada zina.
Maksud hadis lelaki yang apabila diajak perempuan cantik berzina lalu berkata: “Sesungguhnya aku takut kepada Allah.”
Pendidikan seks menurut Barat amat berbeza dengan Islam agama yang sangat suci ini. Masyarakat remaja Barat yang sangat bebas serta serba tidak terkawal itu hanya mengajar bagaimana mencegah supaya jangan berlaku kehamilan.
Seks adalah hak peribadi yang tidak terlarang bagi mereka. Bagi mereka hamil di kalangan
remaja berlaku kerana remaja tidak tahu seks secara selamat atau ‘save sex,’ bukannya hendak fikir salahnya berzina itu.
Pendidikan seks dalam Islam mendidik remaja bukan sahaja supaya tidak berzina tetapi juga supaya menjauhi sebab dan segala pendorong berlakunya perzinaan.
Sebab itu, mendidik mengenai syurga neraka supaya umat Islam gerun dengan ancaman neraka dan akhirnya menolak nikmat sementara supaya terselamat api neraka yang membakar selamanya.
Langkah pencegahan yang dibawa Islam ialah jaga pandangan mata dengan tidak melihat aurat jantina berlainan termasuk gambar serta filem porno, tidak berdua-duaan lelaki dan wanita yang bukan mahram ditempat sunyi, tidak bersentuhan kulit antara lelaki dan wanita termasuk bersalaman dan tidak bergaul bebas lelaki dan wanita. Sekian wassalam. Cegah remaja dekati zina
0 Komen: