Cerpen: Bangunan atau pakaian?


Share on Tumblr Oleh Muhaini Abd Shukor

“SAYA suruh awak design strata lima tingkat, bukan design baju dengan kain bertingkat-tingkat!”

Aini tersentak. Lakaran blaus yang baru siap separuh dimasukkan ke laci. Tersengih-sengih, Aini menyusun lakaran awal reka bentuk bangunan lima tingkat tersebut.

“Saya dah siapkan puan tapi lama sangat tunggu giliran, saya pun buatlah benda berfaedah lain.”

“Dah banyak kali saya nampak awak buat benda lain masa kelas saya. Awak kena fokus, bukan campur adukkan pelbagai perkara pada satu masa. Kenapa, awak dah tak minat nak jadi arkitek? Nak jadi ‘fashion designer’ pula?”

Aini membatu. Sungguh, dia tidak tahu jawapannya. Sudahnya dia diam dan memulakan sesi tutorial bersama Puan Azian. Usai sesi, dia mengemaskan barang, mengambil lakaran dari dalam laci lalu keluar dari studio. Dia mahu ke Alamanda.

Masuk saja ke Alamanda, Aini terus menuju MPH Bookstore. Fokusnya - fesyen. Dia mula membelek majalah fesyen. Setiap helaian diselak dan setiap buku berkaitan dijelajah. Informasi terkini dicatat, idea yang terhasil dilakar, gaya fesyen yang digemari diteliti. Tiga jam di situ, dia puas lalu pulang.

Balik ke rumah, komen Puan Azian perlu dikaji. Setiap hari dia perlu berjumpa pensyarahnya itu untuk perkembangan projek akhir subjek reka bentuk seni bina. Maka setiap malam dia perlu memperbaiki kerjanya. Biasanya jam dua tiga pagi baru dia tidur. Kalau siap awal, dia menyambung lakaran fesyen muslimahnya. Kalau tidak, esoknya selepas sesi tutorial barulah dia melakar semula. Kadangkala dia tidak cukup rehat untuk memastikan pelajaran dan minatnya seiring. Siang sibuk belajar, malam memperbaiki kerja dan kadangkala menjahit baju baru.

Sabtu, dia berhasrat menjahit blaus merah yang sudah lama dirancang. Semuanya telah disediakan. Kain sifon merah dengan corak buluh di hujung dipotong mengikut ukuran. Kemudian kain satin linen diukur untuk dipotong. Baru separuh jalan, adiknya menjerit memanggilnya turun. Patutlah, dah pukul 11.

Sampai di dapur, dia segera mengambil kuali dan sudip lalu mula menggoreng ayam berempah yang sudah tersedia di tepi dapur.

“Nak jahit baju, gunalah mesin mak. Tapi jangan ralit sangat. Mak tak nak pelajaran kau terganggu.

“Lagi satu, Sabtu Ahad jangan lupa tolong mak masak. Kita ni orang perempuan, tinggi mana pun pelajaran dan kejayaan kita, kemahiran memasak kena ada.”

Aini hanya diam. Mindanya mencerna nasihat ibunya tadi. Acapkali ia diulang-ulang - menjahit, pelajaran dan memasak. Sesungguhnya, dia terharu dengan keprihatinan ibunya, berbeza dengan teman lelakinya yang tidak menyokong minatnya.

“Belajar architecture sajalah, tak payahlah nak menjahit, buat baju. Awak bukan ambil course fashion design. Beli saja baju di kedai, tak payah susah-susah!”

Azhar memang tak memahami, susah bercakap dengannya. Dia hanya perlukan sokongan. Selama ini pun pelajarannya cemerlang, jarang dia mendapat gred B ke bawah. Sepanjang lima semester pengajiannya, tiga kali dia beroleh anugerah dekan. Minatnya juga seiring pelajaran. Asal ada pembentangan, pasti dijahit persalinan baru. Rakan-rakan ramai yang menyokong, kadangkala mereka akan membelinya. Sepanjang pengajian, sudah penuh satu almari dua pintu dengan rekaannya yang pelbagai.

******************

Isnin, usai bertemu Puan Azian membentangkan projek akhir, Aini melepas lelah di meja santai kegemarannya yang agak tersorok. Dia mengeluarkan fail lakaran fesyennya. Cadangnya, petang ini tumpuan pada lakaran tersebut, malam nanti barulah projek reka bentuk diteliti. Teruk juga dikomen Puan Azian tadi.

Salam yang menyapa telinganya menghentikan kerjanya. Dia menguntum senyum apabila Encik Izad, tutor matematiknya duduk di hadapannya. Mereka berbual seketika. Sudah dua semester dia belajar dengan Encik Izad. Semester kedua mereka lebih kerap berinteraksi apabila suatu hari Encik Izad memulangkan failnya yang tercicir selepas tamat kuliah. Fikirnya Encik Izad akan berasa hairan dengan hobinya, sebaliknya dia menunjukkan minat pada hasil kerjanya. Sejak itu mereka rapat dan Aini senang bersamanya.

Aini mengeluh apabila Puan Azian menelefon memintanya naik. Dia malas hendak mengemas. Seperti dapat membaca fikirannya, Encik Izad menawar diri menjaganya sementara dia berjumpa Puan Azian. Aini menguntum senyum. Dia segera ke bilik Puan Azian. Selepas berbincang dan menjawab beberapa soalan mengenai lawatan pelajar tahun akhir selepas tamat pengajian, Aini menuju semula ke meja kerjanya. Encik Izad dan failnya tiada. Aini panik, fikirannya kosong hingga tidak menyedari Encik Izad yang datang dari arah kanannya.

“Maaf, tadi ada student minta tolong. Saya kemas dan bawa sekali fail awak. Maaf buat awak bimbang. Nah, harta awak.”

Aini lega. Selepas mengucapkan terima kasih, mereka beredar menuju haluan masing-masing. Encik Izad ke bilik kuliah manakala Aini pulang ke rumah, dia berhasrat menyiapkan blaus merahnya.

Malam itu, sedang dia asyik menggayakan blaus merah yang sudah siap dijahit, Azhar menelefon. Dengan riang dia memberitahu Azhar tentang blausnya. Tidak semena-mena, Azhar menyatakan hasrat untuk berpisah. Katanya, Aini sudah tidak ada masa lagi untuknya. Dia cuba memahami kesibukan Aini hingga menyebabkan mereka jarang berjumpa. Tapi, lama kelamaan, dia berasa dirinya tidak penting lagi pada Aini, dia jarang dipeduli. Dia kecewa. Maka, daripada berterusan makan hati dengan sikap Aini, lebih baik dia memutuskan hubungan mereka dan meneruskan hidup.

Aini terkejut, kecewa. Perhubungan selama empat tahun itu berakhir. Aini rasa semangatnya hilang. Perpisahan tersebut benar-benar memberi tamparan padanya.

Kesan kejadian tersebut, Aini lebih banyak diam dan termenung. Rakan-rakan yang menegur dibalas dengan senyuman dan cerita ringkas tentang perpisahannya. Selebihnya dia menyendiri. Keceriaannya juga hilang bersama semangatnya. Dia tidak lagi bersemangat di kelas. Fikirannya lebih banyak menerawang. Failnya juga sudah lama tidak terusik. Ibunya risau melihatnya. Aini benar-benar berubah.

Terlalu melayan perasaan memang memudaratkan. Projek reka bentuk sudah memasuki fasa baru di mana setiap pelajar wajib tampil dengan idea dan konsep serta reka bentuk bangunan yang diingini. Hanya tinggal lima minggu lagi sebelum tarikh penghantaran. Ketika rakan-rakannya sudah bersedia dengan pembentangan masing-masing, dia langsung belum menyiapkannya. Akibatnya, petang Khamis itu dia teruk dimarahi ketiga-tiga pensyarahnya. Mereka memberi amaran tentang prestasinya yang jatuh mendadak. Mereka juga bimbang dia terpaksa mengulang subjek tersebut.

Seperti diketuk, dia mula sedar realiti kehidupan. Selepas sesi pembentangan, dia menangis di meja santainya. Dia merenung kesilapan diri dan insaf. Betapa bodohnya dia terhanyut kerana perpisahan yang kecil itu dan terlalu melayan perasaan hingga menyusahkan diri sendiri dan membimbangkan orang-orang di sekelilingnya. Dia kesal, bersalah dan malu. Tapi dia masih belum cukup kuat untuk bangkit semula.

Dalam esak dan tangis, sehelai tisu dihulurkan padanya. Encik Izad senyum memandang Aini yang jelas terkejut dengan kedatangannya.

Dengan rasa segan, Aini menyambutnya dan mula mengesat air matanya. Dibiarkan Encik Izad duduk menemaninya.

“Semua orang ada jatuh bangunnya Aini. Tapi tak kira betapa kali kita jatuh, yang penting kita kena bangun semula. Tentang perpisahan awak, awak kena kuat dan buktikan yang perpisahan itu tidak mengubah diri awak. Awak ada terlalu banyak keistimewaan dan kebolehan untuk dimanfaatkan. Jangan disebabkan peristiwa itu awak nak melepaskan segala-galanya.”

Encik Izad menghela nafas.

“Saya perasan awak dah berubah. Awak bukan lagi Aini yang saya kenal, yang ceria, yang bersemangat. Mana Aini yang selalu merungut letih siapkan projek reka bentuk? Mana Aini yang selalu buat orang ketawa masa pembentangan? Mana Aini yang selalu berkepit dengan failnya? Mana Aini yang dulu? Mana?”

“Bersemangatlah, bangun! Jangan sia-siakan hidup awak. Jangan satu hari nanti awak menyesal sebab awak lambat sedar! Tak ada sesiapa yang akan pedulikan awak kalau awak tak sayang diri sendiri.”

Saat itu Aini seperti disuntik kekuatan. Jerkahan demi jerkahan itu benar-benar mengembalikan semangatnya. Ya, dia harus bangun untuk meneruskan hidup, untuk berjaya dan untuk semua orang di sekelilingnya. Dia tidak sanggup meleburkan segala pengorbanan waktu, tenaga dan wang ringgit selama ini demi satu ujian kecil dalam hidupnya. Dia akan bangun demi sayangnya pada diri sendiri dan demi kasih sayang orang-orang yang menyayanginya. Dia perlu bangun dan berlari dengan pantas.

Cebisan hidupnya dikutip semula. Dengan semangat baru, dia mengatur langkah. Projek akhir diteliti semula. Pandangan dan kritikan diminta pada pensyarah dan rakan-rakan yang menyambut baik ‘kepulangannya’. Setiap hari dia menyiapkan kerja hingga lewat pagi. Esoknya dia akan pastikan pensyarah ditemui untuk mengkritik hasilnya. Hingga saat-saat terakhir, dia masih berusaha dengan gigih kerana dia sedar bebannya dua kali ganda lebih banyak akibat kesilapannya dulu.

Sesi penghantaran dan pembentangan akhir, dia bersedia seadanya. Blaus merah yang disiapkan dulu dikenakan dengan skirt labuh paras buku lali dan tudung. Semangatnya membara. Petang itu dia membentangkan hasil kerjanya dengan baik dan dapat menjawab setiap soalan daripada pensyarah dan pengkritik jemputan. Lewat pembentangannya, rakan-rakan bertepuk gemuruh apabila Puan Azian menyatakan rasa bangga dengan perubahan dan hasil akhir projeknya yang nyata tidak menghampakan.

Peperiksaan juga dijawab dengan baik setelah siang malam bersengkang mata memahami semula pelajaran yang tertinggal. Petang Sabtu selepas tamat minggu peperiksaan, mereka bertolak ke Bandung untuk bersuka ria meraikan tamat pengajian.

Dia mahu bergembira dan menikmati saat-saat akhir bersama ‘keluarga’ yang telah tiga tahun bersamanya. Ya, dia benar-benar pulih dan sedang menikmati hidup kini. Dia yakin, Aini yang dulu telah kembali malah lebih bersemangat.

Seminggu di Bandung, pelbagai ilham fesyen diperoleh dan dia tidak sabar ingin membuka failnya semula. Pulang dari Bandung, segmen fesyen dalam akhbar mingguan Ahad itu mengejutkannya. Sukar dinafikan fesyen muslimah di bawah label Muslim Mode amat serupa dengan kebanyakan rekaannya. Bukan hanya rekaan, warna, perincian dan penggayaan juga persis koleksinya. Dia tergamam tatkala terpandang satu wajah yang dikenalinya. Dia mahukan penjelasan.

Pagi esoknya, Aini ke pejabat Encik Izad dengan akhbar tersebut. Perasaan marahnya berselang-seli dengan rasa sedih diperlakukan begitu oleh insan yang dipercayainya. Dia benar-benar kecewa dengan Encik Izad.

“Eh, baru seminggu tak jumpa awak dah makin gelap. Main panas ke kat Bandung?”

Sapaan Encik Izad yang kebetulan menuju ke arahnya dibalas dengan wajah masam. Encik Izad terpandang akhbar di tangannya. Belum sempat membuka mulut, Encik Izad lebih dulu bersuara.

“Ikut saya, jangan tanya apa-apa. Nanti awak faham.”

Dalam kebingungan Aini dibawa ke gedung beli-belah terkemuka di tengah kota. Sepanjang perjalanan mereka hanya diam. Selepas memikir, dia hanya menuruti Encik Izad.

Muslim Mode, Aini tersentak memandang nama butik eksklusif yang dimasukinya. Encik Izad memintanya tunggu di sebuah bilik yang dihias sederhana dengan meja kerja. Sedang dia ralit memerhatikan keadaan sekeliling, Encik Izad masuk dengan seorang wanita yang anggun bergaya.

“Keluasan bilik ni memadai tak untuk awak?” Wanita anggun itu senyum.

“Hah?” Aini tidak dapat menangkap maksudnya.

Encik Izad senyum. “Kenalkan, ini kakak saya, Puan Noraini, pengusaha Muslim Mode. Maaf saya tak berterus-terang. Sebenarnya saya nak buat kejutan selepas awak balik Bandung. Tapi majlis yang kakak saya aturkan terpaksa dicepatkan seminggu. Jadi saya minta maaf awak terpaksa mengetahuinya begini.”

Aini masih bingung.

“Ingat tak masa saya hilang dengan fail awak? Sebenarnya waktu tu saya fotokopi semua lakaran awak. Saya percaya awak berbakat dan dunia muslimah perlukan pereka fesyen yang sensitif macam awak.

“Jadi saya serahkan pada kakak untuk menilai hasil kerja awak. Kakak saya berkenan sangat. Percaya tak, awak baru saja dapat kerja sebagai salah seorang pereka fesyen butik ni dan sekarang kita semua sedang berada dalam bilik kerja awak. Suka tak?”

Aini terpana. Belum sempat akal logiknya menelan kenyataan tersebut, Puan Noraini menghampirinya dengan kotak kecil berwarna merah jambu.

“Bulan depan syarikat akan adakan sidang media dan majlis memperkenalkan semua pereka di bawah label Muslim Mode. Jadi, jangan terkejut lama sangat sebab kita ada banyak kerja nak buat. Nah, pakai produk ni sebab saya mahu awak kelihatan menyerlah pada hari tu. Oklah, saya ada hal lain. Awak berboraklah dengan Izad.”

Puan Noraini beredar. Sampai di pintu, dia menguntum senyum seraya berkata, “Oh, by the way, awak tahu tak yang adik saya dah lama sukakan awak? Seingat saya dah setahun dia asyik bercerita pasal awak, baru beberapa bulan akhir ni dia cerita pasal bakat awak dalam bidang fesyen…”

“Kakak!”

Puan Noraini ketawa lalu keluar meninggalkan kami. Encik Izad tersipu-sipu. Aini terlongo. Mindanya masih belum habis menaksir kata-kata mereka. Entah mengapa, kata-kata akhir Puan Noraini membuatkan jantungnya berdegup kencang. Pandangannya tertancap pada anak mata Encik Izad, meminta penjelasan. Segala-galanya terlalu pantas.

Encik Izad menghampirinya. Lama terdiam dan merenung satu sama lain, dia menghela nafas.

“Kalau perasaan saya pada awak membuatkan awak tak selesa, lupakan saja. Saya tak sanggup hilang awak. Tapi saya ikhlas, saya tak mempermainkan awak. Saya nak bantu awak sebab saya tahu awak berbakat. Saya cuma nak awak gembira dan hargai apa yang awak ada. Aini, saya lega kalau awak gembira.”

******************

Hari yang cukup bermakna. Walaupun Aini masih keliru namun dia pasti dengan keputusannya hendak bekerja di Muslim Mode. Impiannya tercapai. Sedikit sebanyak dia gembira Encik Izad ada untuk menyokongnya. Tentang jodoh, dia percaya, suatu masa nanti masakan mungkin dia menolak insan seperti Encik Izad jika mereka memang ditakdirkan bersama.

Arkitektur? Suatu masa nanti dia ingin bergelar arkitek Aini. Kini, dia pasti bahawa semua orang boleh mencapai impian dan hasrat hati asalkan berusaha tanpa jemu. Jika dia boleh berjaya dalam kedua-dua bidang tersebut, dia percaya orang lain juga boleh. Paling penting, manfaatkan apa yang dimiliki, berusaha sedaya upaya dan hargai semua orang di sekeliling kita.

Dengan senyum gembira, Aini meyakinkan diri, siapa kata arkitek tak mampu jadi pereka fesyen? Cerpen: Bangunan atau pakaian?

12 Komen:

Tanpa Nama berkata...

cute la cite ni..

Tanpa Nama berkata...

saper blajar archi jer tau penatnyer...

Tanpa Nama berkata...

a'ah al cerita memang cute.Tapi one in a million la kan?

Tanpa Nama berkata...

a'ah al cerita memang cute.Tapi one in a million la kan?

Tanpa Nama berkata...

bleh tahan la cte ni.not bad.

Tanpa Nama berkata...

nice story..make me think if i could be that girl..i love her spirit..

Tanpa Nama berkata...

cerita ne chomel sangat~ ^-^v

Tanpa Nama berkata...

hooho~

Tanpa Nama berkata...

bestla cite ni..
suke smgt that girl...
kalo kita usaha sumenya akn berhasil..
xkrala ssah mn pun kan??jtuh bgun tu perkara biasa dlm idup..ia akn jd penglamn untk masa dpan

Tanpa Nama berkata...

boring je bc crt nii

nadia berkata...

best!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

Tanpa Nama berkata...

best

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.