Rasa cemas normal


Share on Tumblr Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

SIAPA yang tidak cemas hendak menduduki peperiksaan? Rasa cemas, resah dan risau adalah fitrah manusia yang dikurniakan Allah sebagai loceng penggerak supaya kita berusaha untuk bersedia menghadapi peristiwa besar yang bakal berlaku dalam hidup.

Teringat ketika zaman belajar dulu. Apabila tiba musim peperiksaan, seisi sekolah sunyi sepi, perpustakaan sentiasa penuh dan setiap masa semua orang berkepit dengan nota kecil. Kalau boleh direbus nota berkenaan supaya segala ‘isinya’ meresap masuk ke dalam otak, mungkin ramai minum air rebusan nota.

Mempunyai perasaan cemas, resah dan gelisah untuk menghadapi peperiksaan adalah perkara biasa yang menandakan kita manusia normal.

Boleh dikatakan semua orang pernah mengalami rasa kecut, sakit perut, asyik hendak terkencing, tiada selera makan, tidak boleh tidur malam, tertekan, berdebar dan ada juga yang tidak mahu bercakap langsung, terutama ketika di depan dewan peperiksaan — bimbang apa yang ada dalam kepala akan terbang.
Kebimbangan dan keresahan ini lebih jelas jika berdepan peperiksaan besar seperti Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan peperiksaan tahun akhir pengajian di institusi pengajian tinggi.

Namun, ada juga yang menjadi terlalu panik, terutama apabila peperiksaan semakin hampir, sehingga pitam.

Malah, ada yang terpaksa dikejarkan ke hospital oleh ibu bapa yang turut panik dan bimbang melihat keadaan anak mereka.

Keadaan ini dipanggil keresahan peperiksaan, kata Perunding Psikiatri Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Dr Nor Hamidah Mohd Salleh.

Ia perkara normal dan rasa cemas itu dianggap perlu ada dalam kehidupan setiap orang kerana ia boleh menjadi ‘alat’ perlindungan. Ia menggerakkan kita untuk bertindak balas dan melakukan sesuatu untuk menghadapi cabaran akan datang.

Dalam konteks ini, alat perlindungan yang dimaksudkan ialah persediaan menghadapi hari besar itu, termasuk mengulangkaji, memahami konsep, menghafal formula serta menjawab soalan tahun-tahun lalu bagi menyesuaikan diri dengan format peperiksaan.

“Mungkin ramai beranggapan keresahan peperiksaan ini hanya dialami pelajar yang tidak cukup persediaan atau mengulangkaji pada saat akhir. Ini hanya sebahagian daripada puncanya, tetapi ia tidak berlaku pada semua orang. Ia bergantung kepada daya ketahanan mental setiap individu.

“Ada pelajar yang tetap boleh bertenang walaupun tidak bersedia. Ini biasanya berlaku pada kumpulan pelajar yang tidak kisah pencapaian mereka dalam pelajaran.

“Ada pelajar mampu bertenang walaupun hanya membuat persediaan dua tiga bulan sebelum peperiksaan.

“Sebaliknya, ada juga yang makin resah apabila peperiksaan semakin hampir, walaupun membuat persediaan sejak awal tahun. Malah, pelajar bijak juga tidak terlepas daripada masalah ini.

“Tekanan dialami mereka lebih tinggi kerana ramai berasa cemas dan risau, sama ada boleh mencapai keputusan seperti yang disasarkan,” katanya.

Punca

Selain tidak cukup persediaan, masalah keresahan peperiksaan yang melampau boleh dibahagikan kepada dua iaitu tekanan dalaman (diri sendiri) dan luaran, sama ada daripada ibu bapa, guru atau sekolah.


  • Tekanan dalaman — Tekanan ini datang daripada dalam diri pelajar itu sendiri. Ia biasanya berlaku kepada pelajar bijak dan mempunyai harapan terlalu tinggi terhadap diri sendiri. Malah, kebanyakannya membuat persiapan dan persediaan menghadapi peperiksaan sejak awal lagi.Bagi kumpulan ini, mereka tidak boleh atau takut hendak menerima keputusan yang kurang atau lebih rendah daripada yang disasarkan. Harapan peribadi mereka kadangkala lebih tinggi daripada ibu bapa; sedangkan ibu bapa bersedia menerima apa juga keputusan yang bakal diperoleh si anak.Dr Nor Hamidah berkata, bagi kes begini, tiada apa atau sesiapa boleh membantu, kecuali individu itu sendiri. Mereka perlu bertenang, mengambil masa berfikir dan mencuba sebaik mungkin mengikut keupayaan masing-masing.


  • Tekanan luaran — Ia boleh disebabkan harapan ibu bapa, keluarga, guru dan sekolah. Tekanan paling besar biasanya datang daripada ibu bapa, terutama ibu, kerana ibu berasakan dan selalu dipertanggungjawabkan ke atas sebarang hal yang berlaku pada anak.Harapan ibu bapa yang terlalu tinggi boleh mencetuskan tekanan pada anak kerana bimbang tidak dapat memenuhi impian orang tua mereka. Cara ibu bapa melayan anak juga boleh mencetuskan kebimbangan dan keresahan berlebihan.Budaya menggunakan pendekatan negatif contohnya ‘kalau tidak lulus, kahwin sajalah’; ‘orang perempuan belajar tinggi manapun akhirnya ke dapur juga’; ‘kau tu sejak kecil memang lembab, belajar banyak manapun tak akan lulus’ atau ‘kalau keputusan cukup makan, jadi tukang sapu sajalah’ — perlu dihentikan atau digunakan dengan berhati-hati.

    Ini kerana bukan semua anak boleh menerimanya sebagai cabaran. Bagi anak yang lemah semangat, kata-kata ini masuk ke dalam otak sebagai perkara benar. Mereka mungkin menganggap ia sebagai hakikat yang perlu diterima dan perkara ini secara tidak langsung melemahkan semangat mereka untuk berjuang.

    “Bagi anak yang mempunyai daya juang tinggi, pendekatan negatif berkenaan diterima sebagai cabaran. Maka mereka berusaha lebih bersungguh-sungguh untuk membuktikan atau menidakkan kenyataan negatif itu,” katanya.

    Selain itu, harapan guru dan sekolah yang terlalu mementingkan peratusan kejayaan cemerlang juga boleh membebankan fikiran sesetengah pelajar. Guru biasanya memberi nasihat dan penekanan secara umum, tetapi ada pelajar menganggap harapan itu dibebankan di atas bahunya.

    Kebanyakan pelajar memerlukan sokongan ibu bapa, terutama menjelang peperiksaan. Justeru, ibu bapa disaran meluangkan lebih masa bersama anak, sama ada menemankan mereka belajar (jika anak memerlukan kehadiran anda dan selesa apabila anda ada di sisi mereka) atau sekadar memerhatikan dari jauh.

    Melalui cara ini, sebarang perubahan kelakuan anak boleh dikesan dengan mudah dan anda boleh mengambil langkah untuk menenangkan hati mereka.

    Keresahan berlebihan tidak membawa faedah kepada sesiapa, terutama pelajar itu sendiri, kerana ia boleh menyebabkan mereka tidak dapat berfikir dengan baik.

    Cara atasi keresahan peperiksaan

    Perkara pertama dan paling utama ialah membuat persediaan awal, merancang jadual mengulangkaji, belajar secara konsisten, dan tahu kelebihan atau kekurangan diri sendiri. Ibu bapa boleh membantu anak mengenal pasti kelemahan mereka sejak awal tahun supaya masalah ini dapat diatasi dengan menghantar anak ke kelas tambahan bagi mata pelajaran berkenaan.

    Cara ini penting bagi mengelak keresahan saat akhir kerana sesetengah pelajar mengambil pendekatan negatif dengan tidak mahu belajar langsung apabila tertekan.

    Pada saat ini juga, ibu bapa perlu meluangkan lebih banyak masa mendampingi anak kerana anak akan berasa disayangi, mendapat sokongan, diberi perhatian, rasa tenang dan gembira yang secara tidak langsung boleh meningkatkan keyakinan serta semangat untuk berusaha lebih gigih.

    Malangnya, ramai ibu bapa terlalu sibuk dan menyerahkan tugas mendampingi anak kepada guru. Justeru, ramai beranggapan menghantar anak ke sekolah dan kelas tambahan sudah mencukupi tanpa mengetahui perkembangan prestasi anak.

    Pada masa sama, semangat anak boleh digalakkan dengan pemberian hadiah berpatutan yang berasaskan hubungan kekeluargaan dan bukannya kewangan.

    Namun, belajar tekun saja tidak mencukupi kerana kata Dr Nor Hamidah, ia perlu diseimbangkan dengan rehat, tidur secukupnya, bermain (bersenam), bersosial dengan rakan dan mengamalkan pemakanan seimbang.

    “Ada ibu bapa yang terlalu bimbang mengambil tindakan drastik dengan mengehadkan pergerakan anak. Ibu bapa lupa, anak juga belajar melalui bermain dan bergaul dengan rakan sebaya. Pada usia remaja begini, anak mempunyai pendirian dan pemikiran sendiri.

    “Mereka juga perlu diberi kebebasan untuk menentukan hala tuju hidup dengan bimbingan ibu bapa. Malangnya, ibu bapa kini hanya mementingkan pencapaian intelektual anak sehingga mengetepikan perkembangan sosial dan emosi mereka. Mereka hanya memberi penghargaan terhadap pencapaian intelektual, sedangkan semua aspek ini sama penting bagi kesejahteraan anak.

    “Sementara itu, ibu bapa perlu bertenang, terutama apabila peperiksaan semakin hampir. Keresahan dan kebimbangan ibu bapa memberi pengaruh besar kepada anak. Akibatnya mereka lebih gentar dan resah,” katanya.

    Tidur dan rehat yang cukup juga disifatkan kriteria penting dalam persediaan menghadapi peperiksaan. Otak memproses dan menyimpan semua maklumat yang dibaca ketika tidur. Ini sebabnya individu yang cukup rehat dan tidur mempunyai daya ingatan lebih baik. Tidak cukup rehat dan tidur bukan hanya membuatkan badan lebih letih, tetapi meningkatkan keresahan, tidak dapat berfikir dengan baik dan boleh pitam ketika peperiksaan.

    Semakin dekat peperiksaan, makin banyak masalah emosi dialami. Ada yang tidak lalu makan, sukar tidur dan kurang rehat yang menyebabkan cepat letih. Jika ini yang dialami anak, anda boleh memberi mereka pil makanan tambahan bagi memenuhi keperluan badan.

    Jika dilihat anak terlalu cemas, ajak mereka melakukan aktiviti yang dapat merehatkan fikiran dan mengurangkan keresahan. Seandainya keadaan semakin serius, bawa anak berjumpa doktor. Mereka mungkin memerlukan terapi, kaunseling dan ubat penenang.

    Selain belajar dan mengulangkaji, keresahan peperiksaan boleh dikurangkan dengan berdoa, mendapat restu ibu bapa dan bertawakal kepada Allah. Sementara itu, ibu bapa juga diingatkan supaya tidak membandingkan anak mereka dengan anak orang atau adik beradik lain kerana setiap individu ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.

    Tanda keresahan melampau

    - Tertekan
    - Emosi tidak stabil dan cepat berubah
    - Cepat marah
    - Menjadi sangat sensitif
    - Mula mengasingkan diri
    - Hilang minat untuk melakukan aktiviti lain (termasuk menonton televisyen)
    - Berasa was was
    - Hilang selera makan
    - Sukar tidur
    - Kurang bercakap dan lebih banyak mendiamkan diri

    Panduan menenangkan diri
    Tarik nafas panjang-panjang dan hembus perlahan-lahan.
    Tegakkan badan dan ulang teknik pernafasan beberapa kali.
    Pandang ke depan dan tenung objek yang tidak bergerak atau bernyawa (dinding, kerusi).
    Yakinkan diri sendiri anda boleh menjawab soalan peperiksaan.
    Luangkan masa membaca soalan dengan tenang. Jika anda cemas, tarik nafas panjang.
    Jangan panik. Panik hanya membuat anda sukar mengingat apa yang dipelajari.
    Rancang masa menjawab untuk setiap soalan.
    Pilih atau jawab soalan yang mudah dulu.
    Fikirkan perkara positif dan yakinkan diri bahawa anda mampu menjadi insan berguna.
  • Rasa cemas normal

    0 Komen:

    Selepas Baca, Sila Komen

    Artikel Terkini

    Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.