Cerpen Warkah Rindu Buat Salmi


Share on Tumblr Salam sejuta kesejahteraan buatmu Salmi. Abang harap dirimu gembira di samping Luqman dan Adawiyah. Walau dalam kesengsaraan yang menyengat, abang terpaksa juga mengangkat pena, menulis warkah ini buatmu. Rindu yang mendalam dan kian mencengkam memaksa abang mengutus bisikan rindu ini. Rindu padamu menjadikan abang lebih sengsara dan menderita apatah lagi memendamnya lama-lama. Abang faham benar jiwamu, kau juga begitu.

Salmi, maafkanlah abang kerana meninggalkanmu secara tiba-tiba tanpa pesan dan berita. Abang tahu, jiwamu tak pernah tenteram sepeninggalan abang. Jangan terlalu turutkan perasaan. Panggilan Tuhan, tiada siapa yang mampu menentang. Abang tidak pernah minta untuk berpisah denganmu. Abang mengerti perpisahan inilah yang akan menekan jiwamu. Di sini terlalu sunyi, tiada teman berbicara, bergurau senda dan bergelak ketawa.

Tiada lagi kicau burung-burung yang merdu, gemersik getaran dedaun buluh, jeritan batang buluh yang terkepit sesama sendiri ditiup angin, hilai anak-anak yang berkejaran di halaman, cengkerik yang meraung berpanjangan, embun yang menitis semalaman dan derai tawamu yang membahagiakan.

Tinggal hanya sunyi dan sepi. Menghayati sunyi dan sepi lebih memedihkan lagi kerana di situlah abang tenggelam jauh ke dasar rindu. Rindu yang mendalam yang membawa abang kembali mengingatimu. Takdir Tuhan telah menentukan kita terpisah oleh merah tanah pusara dan dalam wangian safar ini abang ditakdirkan berangkat meninggalkanmu. Saat abang pergi meninggalkanmu, kauratapi pemergian abang dengan kelembutan jiwamu sebagai seorang perempuan. Ketika abang terbaring kaku di sisimu, sempat juga abang merasa titisan air matamu yang sejuk dingin jatuh di pipi abang. Kedinginan air matamu masih abang rasakan kini. Ketika abang pergi, kau saling berpelukan bersama Luqman dan Adawiyah. Raungan tangis Adawiyah yang belum mengerti apa-apa masih kedengaran sayup-sayup di telinga abang.

Betapa seksa dan sengsaranya abang melihat rintihanmu bersama Luqman dan Adawiyah. Sebagai umi, pandai-pandailah kau memujuk mereka. Jangan sampai melukakan hati mereka dengan ketiadaan abang. Tidak sanggup abang melihat mereka berdua merintih dan berhiba berpanjangan. Demi Allah, abang terlalu rindukan Luqman yang semakin meningkat kecerdasannya dan abang rindukan juga keriangan Adawiyah yang masih terlalu nakal. Jangan terlalu manjakan anak-anak, biar mereka mengerti keperitan hidup ini.

Ketika abang dibawa pergi, abang nampak kau di muka pintu. Luqman dan Adawiyah masih juga setia dalam pelukanmu. Abang dibawa pergi dalam tangisan setianya seorang isteri dan dalam hibanya anak-anak yang masih kecil. Abang nampak kau, makin hilang dalam pandangan, makin lama makin hilang, lenyap di balik pepohonan dan terus hilang di balik rindu yang kian mencengkam. Abang hampir terlupa, bagaimana anak dalam kandunganmu? Abang selalu berharap untuk mendapat anak perempuan yang comel. Andai tercapai hasrat abang, namakan dia Siti Zulaikha. Kalau anak lelaki, pilihlah nama yang baik bagimu dan agama kita.

Maaf Sal, tiada apa-apa yang abang tinggalkan buatmu, tiada apa-apa. Seperti yang kautahu, cuma Luqman Hakim dan Rabiatul Adawiyah serta anak dalam kandunganmu itu. Tiada sedikit harta pun yang abang tinggalkan, walau tanah seluas tapak pusara ini. Seperti yang kautahu juga, hanya teratak usang itu, teratak usang yang menyimpan sejuta rahsia. Di dalamnya, di sudut kamar abang yang gelita, hanya ada sebuah almari tua; almari pusaka daripada arwah datuk. Hanya almari tua itu yang abang ada, ya Salmi, hanya almari tua itu saja. Almari itu abang menjaganya sejak abang masih muda remaja. Itulah satu-satunya harta abang yang paling berharga.

Di dalamnya ada rahsia cinta abang kepadamu, ada sekepal daging yang beku dan itulah hati abang yang sering merindu. Di situ ada sengsara abang melayari bahtera di lautan dunia yang semakin rancak bergelora. Di situ ada cebisan puisi cinta abang kepadamu. Abang telah tinggalkan kuncinya untukmu, bukalah segera. Terbukanya almari tua itu, maka terbukalah segala rahsia abang; rahsia cinta yang paling setia dan rahsia duka seorang sasterawan yang dipinggir bangsa. Di dalam almari itu, mungkin masih tinggal cebisan-cebisan cerita pendek abang. Mungkin juga ada manuskrip novel abang yang telah sekian lama terperam yang tidak sempat abang terbitkan.

Cebisan catatan berupa puisi itu, mungkin boleh kaukumpulkan dalam sebuah antologi dan itulah yang akan menjadi antologi puisi persendirian abang yang pertama dan terakhir. Begitu juga dengan karya-karya abang yang lainnya, kumpulkanlah semuanya. Dan hantarkanlah ke mana-mana penerbitan, andai mereka sudi menerbitkan karya abang. Nanti, apabila karya-karya itu beredar di pasaran, hasilnya buatlah belanja untuk anak-anak. Anggapan sesetengah pengkritik dan sasterawan, karya abang terlalu picisan dan mungkin juga telah ketinggalan zaman. Tapi tidak kurang juga para sasterawan yang mengangkat dan menyanjung karya abang, terima kasih abang ucapkan. Walau apa pun kata orang tentang karya abang, tapi abang tahu kaupasti akan menatapnya sampai bila-bila.

Antara gadis yang pernah abang kenal, kaulah antara mereka yang paling setia cintanya. Kerana kesetiaan cinta itulah abang memilihmu sebagai teman hidup abang hingga ke akhir waktu. Abang masih ingat lagi ketika kita mula-mula kenal; ketika kita masih anak-anak, kita berkejaran di halaman bersama hilai tawa yang berpanjangan dan ketika itulah cinta abang kepadamu mula meresap ke dalam jiwa. Abang tidak pernah menafikan bahawa kau seorang gadis yang cantik. Cantik itu mungkin hanya pada abang tapi itulah cinta sebenarnya.

Salmi, seperti yang pernah abang katakan, di sini terlalu sunyi - kalau ada pun hanya suara yang menakutkan, mengerikan dan menyeramkan. Abang tidak boleh lagi berlawak jenaka seperti selalu, ya seperti selalu, seperti kebiasaannya bersama kau dan anak-anak. Katamu, kehadiran abang dengan jenaka-jenaka itu, menceriakan duniamu. Abang juga tidak boleh bercerita seperti yang selalu kaudengar, yang terkadang membuatkan kaulena di pangkuan abang. Pernah sekali, abang bercerita kepadamu tentang dunia perjuangan manusia semacam abang. Perjuangan golongan penulis. Abang berbicara kepadamu tentang karya-karya dari penjara yang sememangnya hebat dan penuh kontroversi.

Setianya seorang pejuang pena, mati kerana kebenaran adalah lebih baik daripada hidup dalam kepura-puraan. Ini dibuktikan oleh Syed Qutb dengan buah tangan terakhirnya; Petunjuk Sepanjang Jalan atau judul asalnya Ma'allim fi Al-Tariq. Hujah beliau di dalam buku inilah yang dijadikan bukti oleh Mahkamah Tentera Mesir untuk menjatuhkan hukuman mati ke atas Syed Qutb. Kematian beliau berpunca daripada adanya komplot yang kononnya ingin menggulingkan pemerintah Mesir ketika itu. Tapi beliau menerima hukuman itu dengan senyum memanjang dan dalam keadaan yang cukup tenang, begitulah beliau pada saat akhir kehidupan seorang pejuang. Abang selalu kisahkan kepadamu tentang perjuangan. Dan, dengan kisah-kisah itulah kaulena dengan penuh pengharapan, pengharapan untuk mendengar cerita itu lagi pada malam seterusnya. Malam-malam itu kini tinggal hanya kenangan, dipisahkan oleh dua alam yang terlalu jauh. Bagi abang, hidupmu setelah kehilangan abang, yang perlu hanya satu - perjuangan.

Salmi, pesan abang kepadamu sampai bila-bila pun tidak akan ada penghujungnya. Perjuangan itulah juga yang sememangnya cukup perlu buat Luqman dan Adawiyah. Hantarlah mereka ke sekolah dengan kakimu dan pimpinlah mereka dengan tanganmu kerana hanya itu yang kau ada. Hanya sepasang kaki yang lemah itu yang kau ada dan hanya sepasang tangan yang kaku itu yang kau ada. Tidak mengapalah, kerana hanya itu saja yang Tuhan berikan untukmu. Sepasang tangan dan kaki itu pun cukuplah untuk kauhidup dan mati dalam perjuangan. Tapi jangan lupa, bukan perjuangan yang sia-sia. Menangislah dengan segala kehinaan dan kemiskinan yang ada padamu itu. Kerana tangisan akan menjadi penyembuh kepada segala kesengsaraan jiwamu itu. Menangislah dengan seluruh jiwamu sebagai seorang perempuan. Andai hanya itu yang kaumampu.

Perpisahan ini, janganlah terlalu ditangisi. Walau selautan air matamu, Tuhan itu tetap satu juga. Allah yang telah memilihmu sebagai kekasih abang. Tuhan yang menguji kau dengan kemiskinan. Dan, Tuhan itulah juga yang telah mematikan abang. Daripadamu, sampai bila-bila pun abang perlu hanya satu - doa suci seorang kekasih. Dengan doa itulah abang bisa tenteram di sini, dalam kengerian yang menghimpit rongga ini dan menghimpit tulang-belulang ini. Jangan lupa, malam Jumaat nanti dan sampailah pada malam Jumaat yang penghabisan. Lagukan buat abang baris-baris daripada syair Tuhan, moga-moga nanti kita akan santap bersama buah-buah rindu itu, rindu yang pastinya; bersatu.

Siang nanti, Luqman akan ke sekolah kembali, bungkuslah untuknya sebungkus nasi berlauk ikan kering. Katakan kepadanya, semoga dengan sebungkus nasi ini kaumampu bertahan hingga senja terbenam dan kaumampu jadi pejuang terbilang. Pakaikan untuknya baju lusuh yang sudah kekuningan itu, kolarnya sudah berbulu dan butangnya sudah tercabut.

Pakaikan juga untuknya seluar yang sudah bertampung-tampung itu. Berapa senlah sangat nilai tampung-tampung itu jika dibandingkan dengan hanya cebisan kertas tisu seorang kaya di kota. Bilanglah tampung-tampung itu sampai bila-bila pun, Luqman tetap juga akan bersama seluarnya yang tampung-tampung itu.

Luqman Hakim anakku,

Menangislah dulu sepuas-puasnya, sebelum ayah lanjutkan bicara. Anakku janganlah kaubutakan matamu dengan kemerdekaan kerana itulah sebenarnya penjajah yang paling kejam. Janganlah kaubutakan matamu dengan kemodenan kerana itulah sebenarnya pemusnah yang dirasuk syaitan. Pagi nanti, pergilah ke sekolah dengan hatimu yang berani dan pakailah sepatu yang robek itu. Sabarlah anakku, ayah tidak dapat menggantikan untukmu sepatu yang baru. Berjalanlah ke sekolah dengan sepasang kakimu tapi jangan lupa pimpin tangan adikmu selalu. Di jalanan, nyanyikan selalu lagu zikir buat Tuhan kerana itulah saja yang ada pada kita, manusia yang dibelenggu kemiskinan. Tiba di sekolah nanti, seluklah saku tunjukkan kepada cikgu - inilah saja yang ada padaku, debu-debu seorang piatu. Tapi dengan debu-debu ini, aku belajar untuk lebih berani.

Luqman, di hari kemerdekaan nanti jangan lupa untuk kau persembahkan sebuah puisi. Sebuah puisi daripada puluhan puisi ayah. Deklamasikan dengan semangat juangmu yang tinggi dan dengan semangat Jebat yang derhaka. Malam nanti ayah tidak dapat bersamamu lagi, tinggallah seorang diri untuk kau lebih mengerti seksanya hidup ini. Ayah tidak dapat lagi bersama, mengulit lena dengan cerita-cerita pujangga. Sebelum lena, angkatlah tangan berdoa kepada Tuhan, pinta hanya satu; kebijaksanaan. Dan dengan kebijaksanaan itulah kau akan mengenal Tuhan.

Rabiatul Adawiyah anakku,

Menangislah lagi kerana kau masih belum mengerti tentang hidup ini. Bila dewasa nanti kau pasti akan lebih mengerti. Bila kau dewasa nanti, ketika hujan membasahi bumi, duduklah dengan setianya di pondok buruk itu. Bilanglah satu-satu, titis-titis hujan daripada atap yang bocor sedang di kota seorang kaya sedang membilang rumah-rumah mewah yang sedang dibinanya. Titis-titis hujan itu sebenarnya mengajar erti kesabaran untuk kau lebih mengerti tentang penderitaan.

Salmi, pesan terakhir abang kepadamu. Andai ada orang yang bertanya, gilakah kau bercinta dengan manusia yang telah tiada maka katakan kepadanya cinta itu terlalu buta matanya. Ingat Salmi, bercinta biar setia; bercintalah sesetia fajar pada siang, sesetia bintang pada malam, sesetia pungguk pada bulan dan sesetia abang kepadamu sayang.

Oleh SALMAN SULAIMAN Cerpen Warkah Rindu Buat Salmi

8 Komen:

Tanpa Nama berkata...

cerpen yang bagus, menyentuh emosi dan punya mesej yang mendalam.. syabas!

Tanpa Nama berkata...

huhuhu....berjaya menitiskan air mata sy....

Tanpa Nama berkata...

sedihnye....
byak penggajaran didalamanya

Tanpa Nama berkata...

erm..mmang mnyentuh hati n prasaan sseorang,Syabas!!

Tanpa Nama berkata...

sedihnyer...

mira berkata...

sebuah cerpen yg menyentuh hati..
realistik..

Tanpa Nama berkata...

mmg mnyentuh hati..meremang blu rome den!!

Tanpa Nama berkata...

touching n best,,sdey la ..huhu

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.