Hujan ribut yang melanda lautan tiap malam dia turun ke laut sudah menjadi sandang pangannya. Namun sesekali hati terpercik juga rasa ingin keluar daripada kepompong lautan yang senantiasa menghambat hidupnya sekian lama. Sudah kira-kira lima tahun dia mengongsi kehidupan laut bersama sampan tua yang setia menjadi teman serta sumber rezeki untuk menampung hidupnya sekian lama.
Sejak meninggalkan bangku sekolah ia sudah mula bermain ombak dan ribut bersama ayahnya yang mewarisi kehidupan nelayan. Dan beban itu tambah terpikul di bahunya apabila jasad ayahnya hanyut bersama ombak pada pagi yang syahdu. Pemergian ayahnya turun ke laut tiga hari tak pulang ditemukan dengan tragedi terjumpanya mayat ayahnya terdampar di pantai. Sesak hidupnya kian menimpa diri.
Mulai saat itu, dia menjadi nelayan sepenuh masa. Namun jiwanya berontak bukan itu dunia yang dicarinya. Dia ingin hidup bahagia sebagaimana orang lain. Dia mahu jadi golongan kaya seperti mereka yang tidak pernah merasa kesengsaraan berhadapan dengan laut, gelora, angin, ribut dan gelombang. Dia mau kalau boleh menjadi orang yang hanya menikmati hidup tanpa risiko demikian.
Namun takdir menentukan demikian. Dia tidak punya pilihan kecuali meneruskan jalan hidup yang satu iaitu menjadi nelayan sebagai warisan hidup. Dia bukan sahaja menjalani kehidupan itu sendirian, tetapi untuk ibu dan dua adiknya yang masih di bangku sekolah.
Kalau boleh, dia mahu adik-adiknya tidak bakal mewarisi kehidupan nelayan walaupun hakikatnya kehidupan itulah yang membesarkannya dari dua jari tangan hingga remaja kini. Usianya menjelang 18 tahun adalah wajar baginya masih meneruskan pelajaran di sekolah dan bukan berhadapan dengan gelora dan lautan setiap hari. Namun itulah hakikatnya. Kehidupan yang perlu ditempuhnya.
Saring Sirad
Dia terus bermenung dan berfikir untuk keluar daripada kepompong kemiskinan. satu hari dia serta adik-adiknya mesti keluar daripada kemiskinan. Dalam tamadun yang semakin berkembang, mereka sekeluarga tidak boleh terus-terusan begitu. Walau apa carapun dia perlu keluar daripada mewarisi kehidupan miskin yang sudah entah berapa lama dilalui generasinya.
Dia tidak ada pilihan lain kecuali menerima tawaran bekerja sebagai pembantu kepada pemborong ikan dikenali sebagai taukeh Tai Kam Beng yang sudah bertapak lama sebagai pemborong ikan di pangkalan itu untuk membeli ikan daripada nelayan dan menjualnya di pasar.
Daripada pekerjaan itu dia dapat menyara hidup ibu dan dua adiknya dengan sempurna dan bukan sahaja kehidupan mereka, tetapi persekolahan adik-adiknya turut terjamin. Dia senang melihat dua adiknya dapat meneruskan pelajarannya dan menjadi harapannya satu hari nanti kedua-dua adiknya akan sampai ke menara gading untuk mengubah nasib generasinya.
Masa terus berlalu dan hari bertukar bagaikan daun-daun yang berguguran dan tiga tahun dia sudah menjadi pembantu kepada taukeh Tai Kam Beng dan sebanyak sedikit dia menimba pengalaman serta berpeluang bercampur dengan peniaga serta peraih ikan di pasar.
Tanpa disangka dan jauh daripada impiannya, dia mendapat tawaran gerai daripada seorang penjual ikan di pasar yang mahu berubah kepada perniagaan lain. Dia ingin mencuba dan menjadi penjual ikan di pasar bagaimanapun modal yang menjadi masalah kepadanya.
"Masalah modal awak jangan bimbang," kata taukeh Tai Kam Beng bila Kudus memberitahu niatnya mahu menjadi peniaga ikan di pasar," saya boleh bekalkan awak ikan dulu. Awak jual dulu dan bayar setiap hujung minggu sahaja."
"Saya tak perlu bayar wang muka?" Dia kegembiraan mendapat tawaran bantuan daripada taukeh Tai Kam Beng. Dia tidak menyangka Kam Beng akan membantunya. Pada mulanya dia sangka Kam Beng akan marah kerana dia hendak berhenti kerja dan cuba berniaga.
II.
Sampai di pangkalan dan siap memasukkan semua kotak ikan dalam stor, Kudus tidak pulang terus ke rumah sebaliknya dia ke kedai minuman Kak Timah mencari Leman kerana pada kebiasaannya kalau tidak turun ke laut atau di rumah, Leman pasti ada di kedai Kak Timah bersama nelayan lain mengisi masa terluang pada waktu petang begitu.
"Assalamualaikum," Kudus memberi salam kepada Leman yang sedang duduk menghadapi minuman petang di meja sudut kedai Kak Timah.
"Waalaikumussalam," balas Leman selamba, "Datang mana kau tergesa-gesa saja nampaknya," Leman ingin tau.
"Baru balik pekan hantar ikan," jawab Kudus pendek.
"Hai... hantar ikan sampai petang 'gini baru balik?"
"Hantar ikan pagi. Tapi ada hal lain. Ambil peti ikan di kilang," jawab Kudus sambil mengambil kerusi dan duduk.
“Peti pun kau kena ambil sendiri ‘ke? Bukan kilang ‘tu hantar?” Leman ingin tau.
“Ambil 10 peti saja, kalau banyak memang kilang ‘tu hantar. Lagipun dah terlanjur ke pekan, singgah sekali di kilang ‘tu. Apa salahnya,” jawab Kudus membuktikan sikap toleransinya.
“Minum,” pelawa Leman.
“Boleh juga,” balas Kudus sambil memesan teh tarik daripada Kak Timah.
“Aku jumpa kau ‘ni sebenarnya ada hal,” Kudus memulakan perbualan tujuan menemui Leman.
"Hal apa?"
"Itupun kalau kau setuju. Kalau tidak, aku tak paksa," Kudus membayangkan hasratnya.
"Macam mana aku nak setuju atau tidak, kaucakaplah, apa halnya," Leman ingin tau.
"Aku dapat peluang jual ikan di gerai pasar besar," Kudus memulakan percaturan.
"Iyalah. Kau yang nak berniaga kenapa pula dengan aku?" Ujar Leman menujah, “aku taulah kau nak berniaga di pasar ‘tu. Apa kena mengenanya dengan aku,” sambungnya.
"Itulah. Kalau kau setuju, aku kena berhenti kerja dengan taukeh Kam Beng."
"Jadi?" Leman agak bingung kerana tiada sangkut paut dengannya.
"Jadi... kalau kau setuju aku nak tawarkan kaukerja dengan dia. Ganti aku. Sekurang-kurangnya dapat bantu kau berhenti dari ke laut dan berpendapatan tetap," Kudus berterus terang.
"Betul ke begitu?" Sambut Leman bagaikan tak percaya. Baginya, kalau benar apa yang dikatakan oleh Kudus, betul-betul macam bulan jatuh ke riba.
"Betul... kalau kau setuju kerja dengan Kam Beng nanti aku beritahu dia. Sebab dia minta aku carikan ganti sebelum aku memulakan perniagaan," Kudus menerangkan serta memberitahu cara dan gaji bekerja sebagai pembantu Kam Beng.
"Kalau begitu aku setuju. Tapi mahukah Kam Beng terima aku bekerja dengannya?" Leman agak sangsi.
"Dia pasti setuju dan menerima kau. Sebab dia beritahu supaya aku yang carikan ganti. Baik pada aku, baiklah pada dia dan aku memberi kau peluang ini sebab aku yakin bukan sahaja kau boleh buat kerja, tetapi juga kau mempunyai sifat amanah," Kudus memberi keyakinan.
"Kalau betul begitu, aku setuju. Terima kasihlah atas ingatan baik dan peluang yang kauberikan pada ku. Aku berjanji akan jaga nama baik kau. Aku tak akan sia-siakan kau," Leman memberi pengakuan.
"Kalau kau dah setuju, esok pagi datang di pangkalan. Aku temukan kau dengan dia. Lebih cepat lebih baik. Lagipun besok tentu kau tak turun ke laut. Jumaat,” ujar Kudus bersetuju.
"Bolehlah," sambut Leman gembira dan mereka pulang ke rumah masing-masing.
III.
Cuaca pagi itu agak kurang baik kerana hujan dan lazimnya sekiranya cuaca tidak baik kebanyakan mereka minum pagi dan berkumpul di kedai Kak Timah. Satu-satunya kedai kopi milik Melayu di pangkalan nelayan kampung itu dan sebagaimana biasa, sambil minum mereka bergebang dan bercerita mengenai kehidupan masing-masing.
Tiba-tiba suasana yang sedang rancak dengan cerita dan kisah masing-masing terhenti apabila salah seorang daripada mereka memberitahu bahawa anak kampung nelayan itu terpilih sebagai Tokok Peniaga Kecil peringkat negeri dan anak kampung dimaksudkan itu ialah Kudus.
Nama dan gambar serta pembabitan anak kampung itu menjadi hiasan utama akhbar harian pagi itu di halaman berita ekonomi dan usahawan. Kudus terpilih kerana pembabitan serta kejayaannya menjadi peniaga daripada keluarga miskin, nelayan dan pekerja kepada taukeh ikan akhirnya menjadi peniaga ikan Melayu pertama di pasar besar.
Keistimewaan yang membawa kejayaannya ialah Kudus tidak pernah membuat pinjaman kewangan daripada bank, sebaliknya menjalankan perniagaannya secara kecil-kecilan daripada bawah sehinggalah menjadi pembekal ikan kepada pengusaha restoran dan hotel serta diiktiraf oleh semua pelanggannya sebagai peniaga yang jujur dan bertanggungjawab.
Kudus juga adalah Pengerusi Lembaga Pengarah Koperasi Baguk Merah yang telah banyak memberi bimbingan serta galakan kepada ahli untuk memajukan diri masing-masing dalam meningkatkan taraf hidup dan ekonomi penduduk di kampung nelayan itu. Tambah berita di akhbar harian arus perdana pagi itu.
Mat Kedera, Jusuh, Budin dan Sahak berpandangan di antara satu sama lain sebaik saja berita itu tamat dibacakan oleh Lebai Syawal. Bagai disengat kala jengking perasaan mereka mendengar berita yang tidak disangka Kudus menjadi tokoh peniaga kecil, namun dalam hati berasa bangga kerana tokoh itu dari Kampung Nelayan Baguk Merah.
“Hidup Kudus, Hidup Baguk Merah,” serentak mereka berdiri dan meneriakkan kata-kata semangat dan kebanggaan itu.
Biodata penulis:
Saring Sirad adalah nama pena bagi Ismas Saring yang pernah berkhidmat sebagai anggota polis dalam pasukan SC ketika Malaysia diisytiharkan dalam keadaan darurat dan Penolong Pengarang Majalah Angkatan Baru Kuala Lumpur dari 1966 hingga 1967). Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Penolong Pengarang Syarikat Penerbitan Karyawan Kuala Lumpur pada 1968, Wartawan Berita Harian Kuala Lumpur (1977-1993), Penulis Kembara (Travel Writer (1994-2003), Penerima Anugerah Tokoh Budaya (Media-Massa) Negeri Selangor 2005 dan Tokoh Kewartawanan Negeri Selangor 2006. Gelora Sebuah Kehidupan
0 Komen: