Motivasi Diri Menjadi Remaja Baik dan Disenangi Keluarga


Share on Tumblr
Bagaimana hendak memotivasikan diri supaya jadi remaja baik dan disenangi keluarga? Sebelum ini, saya sangat nakal dan ingin berubah.


-------------------------------

Tahniah saya ucapkan kepada adik! Ini kerana sukar bagi seseorang remaja menyedari dan mengakui dirinya nakal dan membuat sesuatu yang tidak disenangi keluarga.

Kesedaran dan pemahaman adalah ejen utama yang penting untuk menolak sesuatu perubahan. Nampaknya, adik sudah memperoleh kedua-dua kriteria itu. Namun, adik tidak tahu cara terbaik memotivasikan diri. Berikut disenaraikan beberapa tip yang mungkin sesuai untuk diri anda.

* Tuliskan matlamat kehidupan masa hadapan adik.

Contohnya, bercita-cita menjadi usahawan berjaya dan menjadi individu taat kepada amalan agama sebagai keperibadian diri.

Catatan ini eloklah ditulis dengan cara menarik dan kreatif. Lebih menarik jika ia ditampal pada dinding bilik atau disimpan dengan selamat tetapi mudah dirujuk selalu sebagai peringatan.

* Senaraikan ciri personaliti adik kepada energi positif dan negatif.

Kekal dan amalkan ciri positif. Ketepikan secara perlahan-lahan ciri negatif yang ada dalam diri adik seperti malas, memberontak, degil dan tidak bertanggungjawab.

Adik boleh cuba membuat diari mengenai sifat positif dan negatif yang dilakukan dalam tempoh sehari atau seminggu.

Cara ini dapat membantu adik mengenal pasti penambahbaikan sifat positif sekali gus mengimbangi sikap negatif. Sesuatu perubahan tingkah laku itu memerlukan masa yang lama.

Ambil masa secukupnya tanpa terlalu terburu-buru atau terlalu panjang sehingga kelihatan tidak bermatlamat.

* Sentiasa ingatkan diri mengenai kehendak dan matlamat masa depan diri kerana masa depan diri di tangan anda.

Contohnya, adik bercita-cita menjadi seorang doktor apabila dewasa, kelak. Adik boleh gunakan perkataan, simbol, imej dan gambar bagi menyatakan fikiran dan keinginan itu. Dicadangkan adik tampal artwork itu di tempat sesuai atau menggunakan kreativiti lain seperti digantung pada dinding.

Berbincang atau bercerita mengenai topik membabitkan cita-cita anda bersama dengan rakan. Malah, peranan ahli keluarga juga dapat membantu menaikkan semangat.

* Adik boleh membabitkan diri secara aktif dalam kalangan ahli masyarakat dengan menjalankan aktiviti berfaedah dan elak melakukan perkara yang membuang masa.

Contohnya, seperti gotong royong pada majlis kenduri dan program kitar semula. Sekiranya adik mempunyai kemahiran tertentu, adik boleh gunakan kemahiran itu untuk membantu orang lain seperti menjadi jurulatih sukan secara sukarelawan di sekolah rendah, pusat perlindungan dan kelab belia.

Memberi khidmat dengan ikhlas akan menimbulkan kegembiraan, bangga dan rasa berguna sekali gus meningkatkan rasa harga diri atau self esteem.

* Sebagai anak, adik bertanggungjawab terhadap keluarga.

Baja hubungan mesra bersama keluarga dengan meluangkan masa berkualiti bersama dan bantu melakukan kerja rumah. Menghormati ibu bapa adalah salah satu kriteria penting menjadi anak yang baik.

Oleh itu, dengar nasihat ibu bapa dan sekiranya adik tidak mampu melaksanakan suruhan mereka, hendaklah menyatakannya dengan sopan. Sekiranya adik mempunyai hubungan rapat, ibu bapa akan cuba memahami adik dan selalunya tidak akan memaksa adik melakukan perkara yang adik tidak sukai.

Belajarlah bertimbang rasa terhadap perasaan mereka kerana ibu bapa adalah orang yang paling menyayangi kita dan sentiasa mahukan yang terbaik untuk kita.

* Adik juga kena belajar bersabar dalam keadaan tertentu yang mengecewakan.

Contohnya, bertolak ansur dalam membuat keputusan apabila ada perbezaan pendapat, menerima perpisahan sebagai pengalaman hidup, menerima kekalahan atau kegagalan sebagai pengajaran untuk memperbaiki diri.

Untuk mengharungi semua ini dengan jaya, adik memerlukan sokongan daripada keluarga dan rakan yang boleh dipercayai.

* Mempunyai rakan dan penerimaan rakan adalah sangat penting dalam perkembangan remaja.

Mencari rakan yang sesuai adalah sangat penting dalam menentukan hala tuju menjadi remaja yang baik. Ketahuilah, rakan berperibadi mulia dapat menyokong adik menjauhi aktiviti negatif dan menjadi insan berguna.

* Paling penting sekali, rapatkan diri kepada Tuhan dan banyakkan berdoa kepada-Nya bagi memperoleh kekuatan dan hidayah.

Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada adik Ben dalam usaha menjadi remaja baik dan disenangi keluarga.

Percayalah, susah payah adik nanti berbaloi kerana bukan saja adik disenangi keluarga malah dihormati rakan taulan dan masyarakat.

~ BH
Motivasi Diri Menjadi Remaja Baik dan Disenangi Keluarga

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.