Artikel Motivasi: Buang yang keruh, ambil yang jernih


Share on Tumblr
Kita selalu berfikir apa yang perlu dilakukan untuk menggembirakan hati, membahagiakan pasangan dan anak-anak, menenangkan fikiran, menambah pendapatan dan pelbagai aspek bagi meningkatkan kualiti hidup.

Kita juga sering membandingkan hidup dengan orang lain dan cuba meniru atau mencari kaedah untuk memperbaiki diri. Namun kita - termasuk penulis sendiri - sering terlupa untuk menilai perlakuan atau tabiat yang perlu dihentikan untuk menikmati hidup yang lebih sejahtera.

Sebagai manusia, kita memang tidak mampu untuk berpatah balik ke usia muda atau memadamkan kesilapan lama. Bagaimanapun peluang untuk menuju ke arah hidup yang lebih baik sentiasa ada. Antara caranya adalah dengan menimbang dan memperhalusi semula tabiat kita hari ini, supaya perkara bersifat negatif dapat dihindari.

Apa perlunya kita mencari sifat negatif ini? Ia adalah usaha awal untuk menjalankan proses transformasi diri supaya kita boleh menjadi insan yang lebih baik daripada semalam dan dengan ini dapat membahagiakan orang lain di sekeliling kita khususnya pasangan dan anak-anak.



Sebenarnya ada banyak sikap atau perlakuan negatif yang kita tidak sedar kewujudannya perlu dinilai semula. Apa yang penting ialah kesediaan kita menerima hakikat dan belajar untuk berubah. Antaranya ialah:

* Sikap malas dan suka berlengah. Boleh dikatakan semua orang ada sikap buruk ini tetapi marilah kita sama-sama bertekad untuk menangani dan membendungnya. Sikap ini tidak akan membawa kita ke mana-mana dan lebih teruk tiada siapa yang menyukainya.

Malas dan suka berlengah hanya akan merugikan diri sendiri dan paling menyedihkan, ia juga sikap yang Allah benci.

* Sering meragui diri sendiri. Ini adalah fikiran negatif yang akan meletakkan kita dalam kemunduran. Jika kita selalu fikir kita tidak boleh melakukan sesuatu, ia akhirnya akan terbukti benar. Keraguan pada diri sendiri bukan saja akan menggagalkan kita mencapai cita-cita malah menjadi penghalang untuk kita mencuba. Kegagalan yang paling besar dalam hidup kita ialah apabila kita gagal mencuba.

* Melarikan diri daripada masalah. Hadapilah masalah dengan berani dan cuba cari penyelesaiannya. Jika buntu, jangan malu mendapatkan bantuan orang lain. Tiada orang dalam dunia ini yang boleh menyelesaikan semua masalahnya sendiri. Jangan benci pada masalah kerana hidup yang tidak diuji tiada makna.

Masalah, ujian dan dugaan menjadikan kita lebih dewasa dan matang. Belajarlah melihat masalah atau musibah sebagai tangga untuk kita mencapai sesuatu yang lebih baik.

* Menipu diri sendiri. Kita boleh menipu atau berbohong kepada semua orang tetapi tidak pada diri sendiri. Hidup kita hanya akan berubah apabila kita belajar menerima hakikat dan jadi lebih jujur dengan diri sendiri.

Jika kita ada kelemahan, akuilah kerana semua orang juga ada kekurangan masing-masing. Carilah cara untuk mengatasi kekurangan itu supaya ia tidak berlarutan hingga ke tua.

* Mengumpat atau dalam istilah manisnya - bergosip. Ada orang kata, `Kami bukan mengumpat tetapi mengatakan hal yang benar'. Jika kita bercakap yang tidak benar atau mengada-adakan cerita itu namanya memfitnah. Jika bercakap mengenai hal benar tetapi berkaitan dengan keburukan atau kekurangan seseorang, itu adalah mengumpat.

Bercakap mengenai kekurangan orang atau mengumpat itu memang enak, tetapi kesannya amat menyakitkan. Ia boleh membawa kepada pertelingkahan, perpecahan dan permusuhan. Jika hari ini kita bercakap pasal orang, satu hari nanti orang akan bercakap pasal kita.

Penulis teringat kata-kata penceramah motivasi, Prof Muhaya Mohamad yang sering menyarankan kita mencubit mulut sendiri apabila ada keinginan untuk mengumpat. Pendakwah terkenal, Ustaz Mohamad Abdullah Al-Amin pula menasihatkan kita supaya segera beristighfar jika mengumpat atau mendengar orang mengumpat. Jika difikirkan, siapalah kita untuk menceritakan keburukan orang lain kerana kita juga ada banyak kekurangan yang hendak disembunyikan. Ingatlah, apabila kita menutup aib orang, insya-Allah, Allah akan menutup aib kita.

* Membeli barang yang tidak diperlukan. Ramai orang kadangkala keliru antara keperluan dengan kemahuan. Sebab itulah ada orang terutama wanita terus membeli beg tangan atau kasut walaupun yang ada di rumah sudah tidak terpakai. Benar, anda berhak membelanjakan wang anda, tetapi uruslah kewangan dengan bijak untuk mengelakkan pembaziran.

Jika anda termasuk dalam kumpulan ini, setiap kali mahu membeli barang, tanyakan pada diri sendiri apakah ia benar-benar diperlukan atau sekadar ingin memenuhi keinginan dan rengekan nafsu? Lebih baik jika anda membuat pelaburan akhirat dengan memberi sedekah (jika tidak tahu ke mana hendak ditujukan, masukkan saja ke dalam tabung masjid dan surau), salurkan bantuan kepada sekolah, badan amal atau mendapatkan khidmat daripada badan kebajikan.

Malah anda boleh menghadiahkan sajian ringan kepada mana-mana majlis ilmu di kawasan rumah anda. Sumbangan kecil begini yang dilakukan dengan ikhlas sebenarnya boleh mendidik hati kita dalam menjadi insan yang lebih tenang dan menghargai kehidupan sedia ada.

* Berkawan dengan orang yang memberi pengaruh negatif. Hidup kita ini sebenarnya terlalu pendek untuk dihabiskan dengan bergaul bersama kawan-kawan yang boleh memberi pengaruh negatif. Kawan yang memberi pengaruh buruk ini memang banyak, justeru perlu bijak mencari sahabat yang boleh membawa dan mendorong kita kepada kebaikan.

Bagaimanapun bukanlah bermakna anda perlu menghindar diri sepenuhnya. Cubalah cari peluang untuk berdakwah supaya kawan yang kurang `memberangsangkan' itu boleh sama-sama berubah. Pada pendapat sesetengah orang, perkataan dakwah itu terlalu besar untuk dipikul tetapi sebenarnya sebarang ajakan ke arah kebaikan adalah dakwah.

Namun jika usaha dakwah belum menampakkan hasilnya dan pengaruh negatif itu terlalu kuat, kitalah yang perlu berundur. Carilah kawan yang sanggup berada di sisi kita ketika kita susah.

* Menyimpan dendam atau tidak dapat melupakan kesilapan orang lain. Ada orang terutama wanita boleh memaafkan, tetapi amat sukar untuk melupakan kesilapan atau kesalahan yang dilakukan orang pada kita. Benar, bukan mudah melupakan tindakan seseorang apatah lagi jika ia memalukan kita.

Namun sebagai manusia, kita juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan kalau boleh mahu kesalahan itu dilupakan. Jika kita tidak mahu kesilapan lampau itu sentiasa dikenang, kitalah yang perlu mengambil langkah mula untuk meluputkan kesalahan orang daripada ingatan.

Fikirkanlah kembali, apa gunanya kita asyik mengenang kesilapan orang dan menyimpannya dalam hati? Tidakkah anda tahu perkara negatif yang sentiasa dikenang akan memberi satu titik hitam di hati kita; dikhuatiri ia boleh menebalkan dinding keegoan, membuatkan diri berasa lebih baik daripada orang lain.

* Asyik berpegang kepada kisah silam. Orang yang asyik berpegang kepada perkara silam amat sukar untuk bergerak ke hadapan. Tidak salah untuk mengenang kisah silam, tetapi cukuplah untuk dijadikan sempadan atau peringatan supaya perkara buruk tidak diulang.

* Cuba membeli kegembiraan. Ramai orang sangka membeli-belah boleh membuatkan kita gembira dan rasa puas hati. Namun, pernahkah anda dengar banyak perkara yang menggembirakan kita sebenarnya boleh diperoleh secara percuma? Anda tidak perlu berbelanja untuk berbual dengan ibu bapa, bermain bersama anak-anak atau sekadar duduk bersantai dengan pasangan tercinta.

* Menyalahkan orang lain. Memang lebih mudah menyalahkan orang lain atas kesedihan atau keadaan yang kita alami. Namun, sampai bila? Apa faedahnya pada kita? Sebenarnya kitalah yang perlu bertanggungjawab atas apa yang berlaku. Memang orang lain ada memberi pengaruh pada tindakan kita, tetapi kitalah yang bertanggungjawab atas kesudahannya. Carilah di mana silapnya supaya ia boleh dibetulkan. Jika kita terus menyalahkan orang lain, keadaan tidak akan berubah selamanya.

* Suka merungut. Hidup ini memang ada turun naiknya dan semua orang diuji dalam pelbagai cara. Jadi kenapa kita hendak merungut? Merungut tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya hanya membuat hati lebih resah dan gelisah.

Kalau kita rasa ujian yang dihadapi ini besar, lihatlah di sekeliling. Ada orang yang hidupnya jauh lebih susah dan derita daripada kita. Ini akan menjadikan kita rasa ujian yang diturunkan pada kita amat kecil, tidak perlu dirungutkan pun.

* Sentiasa rasa tidak bersedia. Sebenarnya tiada siapa yang berasa 100 peratus bersedia apabila peluang tiba. Namun kebanyakannya berani mencuba untuk keluar daripada zon selesa untuk mencapai kehidupan yang lebih baik. Jika tidak berjaya, ia bukan bererti gagal tetapi menjadi tangga pertama menuju kejayaan.

* Sentiasa ingin bersaing walaupun pada perkara yang kecil. Jangan bimbang jika orang lain lebih baik daripada anda. Setiap orang Allah berikan kelebihan yang berbeza. Benar, persaingan itu bagus kerana ia boleh merangsang semangat untuk menjadi lebih baik tetapi tidak perlu bersaing dalam semua perkara. Apa yang perlu kita lakukan ialah memberi tumpuan pada kerja supaya hasilnya lebih baik daripada semalam. Inilah kejayaan yang sebenarnya.

* Kurang bersyukur. Ramai orang terlepas pandang perkara yang amat penting ini. Tidak kira berapa baik atau buruk pun kehidupan kita, bersyukurlah sebaik kita membuka mata pada setiap pagi. Bersyukur kerana Allah masih memberikan kita peluang menikmati hari dan keindahan alam ini serta melihat wajah insan tersayang.

Ingatlah, ada orang yang bertarung untuk meneruskan hidup. Ada orang berjuang bermati-matian untuk mempertahankan negara. Ada orang menahan derita melihat anak kecilnya menghembuskan nafas terakhir di pangkuannya kerana kebuluran.

Jadi, marilah kita sama-sama bersyukur atas apa yang kita ada dan jika terlintas dalam fikiran rasa kecewa kerana tidak dapat memenuhi beberapa keinginan, ketahuilah ramai orang cemburu untuk merasai kehidupan dan kebahagiaan yang kita miliki.

Oleh Norlaila Hamima Jamaluddin
Sumber Metro
Artikel Motivasi: Buang yang keruh, ambil yang jernih

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.