Dia dapat membayangkan betapa gembiranya Dayana. Siapa yang tidak gembira apabila angan yang diimpikan menjadi nyata? Betapa seronoknya tadi Dayana bercerita bahawa rekaan fesyennya mula menjadi pilihan selebriti tempatan. Itu adalah permulaan kerjaya yang baik buat Dayana. Pasti kawannya itu akan menempa nama tidak lama lagi.
Daripada sekolah menengah hingga ke universiti, Yasmin dan Dayana berkawan baik. Mereka menjadi sahabat yang saling memerlukan. Biarpun sesekali bertingkah pendapat dan pandangan, bermasam muka hanyalah sekejap sahaja. Salah seorang daripada mereka akan mengalah dan hubungan persahabatan akan kembali seperti sedia kala. Itulah resipi yang meneruskan jalinan hubungan Yasmin dan Dayana.
Mereka juga berkongsi cita-cita dan minat yang hampir sama. Dayana meminati bidang fesyen dan bercita-cita menjadi seorang pereka fesyen. Kini, Dayana sudah pun berjaya menggapai cita-citanya itu.
Dia? Yasmin mengeluh kecil. Cita-citanya mahu menjadi jurusolek. Dia memang menyukai kecantikan dan amat mementingkan penampilan yang menarik. Sering kali dia dan Dayana menganyam impian untuk membuka perniagaan bersama. Dayana dengan rekaan fesyennya dan dia dengan andaman hasil tangannya. Gabungan minat mereka akan disatukan dengan membuka butik. Namun, impian yang disulam sejak sekian lamanya itu, masih bergantungan.
Akan berkuburkah cita-cita yang kuharapkan? Hati Yasmin kerap mengalunkan soalan yang tidak pernah menemui jawapan itu. Cita-citanya tidak pernah padam. Tetap membara dalam hati dan angannya. Biarpun dirasakan amat jauh untuk terjangkau dek tangan. Segalanya terletak di tangan kau, Min.” Kata-kata Dayana dalam perbualan telefon tadi hingga ke saat ini masih terngiang-ngiang di telinga Yasmin.
“Kau yang harus realisasikan impian dan cita-cita kau itu. Impian tak akan tercapai hanya dengan bermimpi. Tanpa keberanian, mimpi tak bermakna.”
Dayana seakan meminjam dialog daripada filem Soal Hati lakonan Afdlin Shauki dan Erra Fazira yang pernah menjadi ikutan suatu ketika dulu.
“Macam mana?” tanyanya seakan orang bodoh. Memang dia hilang punca. Mati akal biarpun cita-cita untuk menjadi jurusolek saban hari dibawanya sebaik dia membuka mata kala hari baru menjengah.
“Tidak mudah untuk menggapai kejayaan, Min. Kita kena usaha gigih. Jangan mudah mengaku kalah dan mesti kuat menahan cabaran,” penuh bersemangat teman baiknya itu menyuntik semangat. Bercakap penuh yakin. Dayana bercakap melalui pengalaman.
Betapa Dayana telah melalui kegetiran untuk menggapai impiannya yang sudah menjadi realiti itu. Hidup ini mana ada yang percuma. Semua yang hendak dimiliki tidak akan menjadi hak milik hanya dengan mengunyah angan-angan!
“Dengan cara bagaimanapun, kau mesti mencuba. Meriba tangan, menanti harapan datang menyembah samalah seperti angan mat jenin sahaja. Ingat Min, yang pipih tak datang melayang. Yang bulat tak datang bergolek. Tulang empat kerat dan akal fikiran harus digunakan untuk mencapainya.” Dayana benar-benar bagaikan pakar motivasi. Setiap patah kata-katanya sarat dengan makna yang cukup mendalam.
“Aku yakin kau boleh, Min. Kau ada bakat dan minat yang mampu menjulang kau nanti,” suntikan semangat daripada Dayana begitu membara.
Ya! Aku harus berusaha untuk berjaya. Mesti mencapai angan dan impian ini, penuh semangat kata hati Yasmin menanam harapan. Kejayaan Dayana akan dijadikan panduan dalam mencapai cita-citanya.
“Min.”
“Yasmin Adeela!”
“Hah?” Yasmin sedikit terpinga-pinga. Suara parau yang memanggil nama penuhnya mengejutkan dia daripada lamunan yang panjang.
“Dah sampai ke mana? Bulan? Bintang?” Taufiq, suami Yasmin tertawa melihat isterinya yang terpinga-pinga itu.
“Abang dah balik?” soalnya yang masih lagi mamai. Begitu jauh dia hanyut dalam lamunan impiannya.
“Berangan? Berkhayal?” Taufiq bertanya dalam tawa yang masih lunak.
“Min minta maaf, abang. Min tak sedar abang balik,” ujarnya sambil mencapai tangan suaminya dan disalami serta dikucup. Kebiasaan yang diamalkan sejak mereka sah sebagai suami isteri sejak dua tahun yang lalu.
“Apa yang Min fikirkan?”
Soalan suaminya dijawab dengan gelengan. Dulu, sering dia mengalunkan angan dan cita-citanya kepada Taufiq. Suaminya amat masak dengan cita-citanya yang satu itu. Dan, Taufiq sentiasa memberikan sokongan. Tetapi sejak mereka mengambil keputusan berkahwin, angan-angan yang diimpikan itu sudah berkurangan diluahkan kepada suaminya. Dia tahu, sukar untuk dicapai impian itu. Usahkan mahu mendapat modal untuk belajar menyolek secara profesional, duit untuk membeli barangan dapur terpaksa berjimat cermat.
Hendak membeli barangan mekap untuk diri sendiri perlu berfikir banyak kali. Terutamanya setelah kelahiran Khaleeda, permata hati mereka suami isteri. Hidup ini, semuanya perlukan wang. Celik mata saja, harus ada wang untuk meneruskan kelangsungan hidup. Itulah hidup di bandar metropolitan ini.
“Kenapa ni, sayang?” lembut suara Taufiq mampu mengusir resah yang singgah di laman hati Yasmin. Taufiq seorang suami yang baik dan sentiasa di sisinya. Di saat dia memerlukan seseorang di sampingnya.
“Abang pergilah mandi. Min siapkan makan malam,” ujarnya lembut.
Biarpun hidup mereka serba kekurangan, namun dia amat bahagia hidup bersama Taufiq. Setiap hari dia cuba untuk menjadi isteri yang terbaik kepada suaminya. Mahu menjadi isteri yang sempurna kepada lelaki yang amat dicintainya itu.
Malam itu, sewaktu menonton televisyen bersama suaminya sambil melayani keletah Khaleeda yang berusia setahun lebih, Yasmin membuka cerita. Diceritakan kejayaan Dayana kepada Taufiq. Betapa dia amat teruja dengan kejayaan sahabat baiknya itu. Selain daripada menumpang gembira Dayana, dia juga mahu menggenggam kejayaan yang serupa. Juga mahu merasai kegembiraan yang sama.
“Cita-cita Min tak pernah padam, abang,” katanya.
“Abang tahu dan faham. Walaupun dah lama Min tak suarakan keinginan ini, abang tahu yang cita-cita Min tak pernah padam.”
“Abang tahu?” soalnya dengan sedikit ragu. Rasanya sudah dibungkus kemas keinginan itu di sudut hatinya. Dia tidak mahu membebankan Taufiq dengan cita-citanya yang memerlukan perbelanjaan yang bukan sedikit.
“Min isteri abang. Abang dah masak sangat dengan sifat dan sikap isteri abang.” Taufik mencapai jari jemari isterinya dan digenggam erat.
“Tapi, macam mana abang mahu jadikan cita-cita Min satu kenyataan? Hidup kita sekarang bukan senang, Min. Gaji abang di kilang itu cukup-cukup sahaja untuk kita terus hidup. Tidak mewah tapi kita tidak susah.”
“Min.. Min minta maaf. Min tak patut suarakan kemahuan Min dalam keadaan keluarga kita yang tidak seberapa ini. Min minta maaf, abang,” pintanya dengan rasa bersalah.
Tidak wajar dia menyuarakan cita-citanya kepada Taufiq. Sebetulnya dia lebih memahami taraf kehidupan mereka.
“Abang faham. Abang tak kisah. Min perlukan seseorang untuk berkongsi apa yang Min rasakan. Percayalah, abang akan sentiasa di sisi Min. Luahkan segalanya pada abang. Mungkin suatu hari nanti, impian Min akan tercapai. Kita jangan jemu berdoa.” Taufiq semakin mengemaskan genggaman. Seakan menyatakan betapa membara cintanya kepada sang isteri yang amat dikasihi.
“Terima kasih abang. Min bangga sangat dikurniakan abang sebagai suami. Min sayangkan abang,” ungkapnya dengan penuh rasa penghargaan. Ungkapan yang sering dilafazkan sebagai lambang cinta yang abadi dalam jiwanya.
“Min segalanya pada abang. Cinta abang hanya untuk Min.” Taufiq berkata dalam nada yang paling romantis.
Perasaan Yasmin semarak dengan kebahagiaan setiap kali Taufiq mengungkap kata-kata serupa itu. Tidak perlu mewah dengan kerlipan emas mahupun wang ringgit yang bertimbun, kasih sayang dan keperluan serba sederhana yang disediakan suaminya, sudah cukup membahagiakan dirinya. Tidak perlu simbahan sinar bulan mahupun cahaya bintang, senyuman suaminya mampu menceriakan hari-hari yang dilalui. Itulah cinta mereka yang sangat agung.
Tenang perasaannya melihatkan suaminya lena tidur sambil memeluk Khaleeda. Matanya masih mampu bertahan biarpun sudah melewati waktu tidur kebiasaannya.
Taufik dan Yasmin! Cintanya dan suami begitu agung. Mereka bercinta dari tahun pertama di universiti. Mereka membina harapan untuk hidup bersama. Mengimpikan kebahagiaan yang berpanjangan untuk bersama hingga ke nafas terakhir.
Namun cinta mereka mendapat halangan. Ditentang keluarga Taufiq lantaran Yasmin adalah anak yatim piatu yang dibesarkan di rumah anak-anak yatim. Kedua-dua orang tua Yasmin sudah meninggal sejak Yasmin kecil.
Atas nama kasih sayang yang luhur, Taufiq tetap mempertahankan hubungan mereka. Diberi kata dua, antara keluarga dan Yasmin, Taufiq rela dipinggirkan kesenangan keluarga dengan mengahwini Yasmin. Waktu itu mereka berdua baru saja menamatkan pengajian di universiti. Mereka membina hidup tanpa restu orang tua. Bukan muda untuk graduan seperti mereka diterima bekerja. Mereka menyewa flat untuk membina hidup sebagai suami isteri. Wang simpanan yang tidak seberapa, habis digunakan untuk bayaran pendahuluan sewaan flat dan membeli keperluan asas rumah.
Dua bulan hidup bersama, rezeki daripada Tuhan berada dalam rahim Yasmin. Keadaan diri yang hamil, membataskan Yasmin untuk mencari pekerjaan. Rezeki anak dalam kandungan, Taufiq diterima menjadi pembantu penyelia di sebuah kilang hingga akhirnya dinaikkan pangkat menjadi penyelia.
Biarpun mempunyai kelayakan, Yasmin tidak mampu bekerja kerana mengasuh Khaleeda di rumah. Mahu dihantar ke taska, bayarannya terlalu mahal untuk mereka. Yasmin cuba-cuba juga mengintai peluang pekerjaan namun rezeki masih belum menyebelahi dirinya. Selesa dengan tugasan sebagai suri rumah, isteri dan ibu membuatkan dia memendam cita-cita yang pernah menjadi kegilaannya ke lubuk hati. Namun panggilan telefon daripada Dayana siang tadi memarakkan semula impiannya.
Aku mesti boleh. Jika orang lain boleh, aku juga boleh. Yakin boleh! Suara hati kecilnya membakar semangat diri. Menyuntik harapan yang melangit. Tetapi bagaimana? Akal Yasmin buntu jua.
Setelah menidurkan Khaleeda, Yasmin mencapai akhbar Harian Metro yang dibelinya pagi tadi. Ada sesuatu yang menarik minatnya dalam akhbar itu. Sesuatu yang baginya adalah peluang. Mana tahu dia boleh mencuba. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Hatinya berbisik.
Pantas helaian akhbar diselaknya. Peraduan Fair & Lovely menawarkan hadiah yang cukup lumayan. 'Hanya dengan mengarang serba ringkas mengenai diri anda dengan menarik, Fair & Lovely akan merealisasikan impian anda.' Begitu mudah dan menarik sekali, fikir Yasmin. Rasa bagaikan peraduan itu dicipta untuknya.
Seharian itu, dia bekerja keras mengarang serba ringkas dengan sebaiknya mengenai dirinya. Hampir penuh bakul sampah dengan kertas-kertas yang direnyuknya.
Begitu payah untuk mencipta ayat yang baik, sedap dibaca dan menarik biarpun untuk mata sendiri. Bukan mudah hendak jadi pengarang rupanya, desis hatinya. Benarlah, tiada apa yang mudah dalam dunia ini.
Menjelang petang, barulah dia selesai melunaskan ‘tugas’nya itu. Hampir patah rasa tangannya itu menulis dari tengah hari hingga menjelang petang. Entah berapa puluh helai kertas dibazirkan begitu sahaja. Tetapi mampu menghasilkan karangan sebaik yang sudah dikarangnya itu, cukup memuaskan hati. Memarakkan perasaannya untuk menyertai peraduan itu.
Taufiq tersenyum membaca karangan pendek yang dihasilkan isterinya. “Ada bakat jadi penulis juga isteri abang ni,” komennya.
“Min teringin sangat nak sertai peraduan ni. Itu yang Min perah otak dari tadi. Mana tahu rezeki Min di sini,” ujarnya mula memasang harapan.
“Abang doakan untuk Min.” Taufiq memberi sokongan.
“Kalaulah Min berjaya dalam peraduan ni…”
“Apa yang Min mahukan?” duga Taufiq.
“Mestilah Min nak pergi kursus andaman dan dalami bidang solekan. Abang pun tahukan, impian isteri abang ni?”
Taufiq ketawa. Melihatkan keceriaan pada wajah Yasmin, dia berasa gembira. Dalam hati dia mendoakan yang terbaik buat isterinya itu. Juga mendoakan mama dan papanya akan menerima Yasmin sebagai menantu suatu hari nanti. Merestui perkahwinannya dengan Yasmin.
Benarlah, tuah manusia tiada siapa yang mampu menduga. Yasmin menerima panggilan daripada pihak penganjuran Fair & Lovely menyatakan yang dia terpilih sebagai salah seorang peserta yang akan ke peringkat akhir pertandingan itu. Pihak penganjuran memilih lima orang peserta untuk dibawa ke peringkat akhir bagi mencari seorang pemenang yang akan memenangi hadiah utama.
Antara syarat pertandingan itu adalah peserta harus berada di akademi pertandingan selama sebulan dan tidak dibenarkan pulang. Syarat itu cukup membuatkan Yasmin ‘terduduk’. Sebulan tanpa melihat Khaleeda dan Taufiq? Mahu haru biru hidupnya tanpa harta dan nyawanya itu. Sesaat pun dia tidak akan senang duduk tanpa melihat Khaleeda dan Taufiq di depan mata. Itulah dunianya setelah sah menjadi isteri dan ibu. Dunia yang penuh keindahan.
Kepada sang suami, dia meminta pandangan. Antara kemahuan dan rasa tanggungjawab, amat sukar untuk dia membuat pilihan. Peluang serupa ini tidak akan selalu bertandang. Sekali seumur hidup mungkinnya. Dia mencuba menyertai pertandingan ini dengan sejuta harapan. Lalu, wajarkah dia menolak peluang ini? Buntu Yasmin memikirkannya.
“Ini adalah peluang untuk Min. Peluang yang tak akan mungkin berulang semula.” Begitu kata suaminya ketika dia meminta pandangan Taufiq.
“Bagaimana dengan abang dan anak kita? Siapa yang akan uruskan abang dan Khaleeda?” soalnya dengan rasa gusar.
Taufiq mengelus erat jari-jemari isterinya. Anak matanya singgah pada wajah mulus Yasmin.
“Hidup ni perlukan pengorbanan. Kita sudah banyak berkorban selama ini demi untuk mencari yang terbaik. Abang doakan Min berjaya. Pergilah Min. Capai cita-cita Min.”
Dada Yasmin ditolak sebak. Restu dan keizinan daripada suaminya amat bermakna dan berharga. Membuatkan dia berasa cukup terharu. Air mata gembira mengalir laju di pipinya. Pantas tangan suami dikucupnya.
“Terima kasih kerana memahami diri isteri abang,” ucap Yasmin.
“Abang sentiasa doakan untuk Min. Pandai-pandailah jaga diri nanti,” kata Taufiq.
“Bagaimana dengan kerja abang? Siapa akan jaga Khaleeda?”
“Abang akan fikirkan nanti. Min jangan risau. Abang akan jaga anak kita baik-baik. Macam mamanya jaga,” gurau Taufiq.
“Tapi, Min belum tentu akan menang,” luah Yasmin.
“Yang utama Min sudah mencuba dan berusaha. Menang kalah, kita terima dengan hati yang terbuka. Abang mahu Min rebut peluang keemasan ini.”
“Terima kasih, abang,” entah kali ke berapa, ucapan itu meniti di bibir Yasmin. Sekalung penghargaan dititipkan buat suaminya yang tercinta.
Bermulalah kehidupan Yasmin sebagai salah seorang peserta di akademi. Setiap peserta diberi pilihan untuk memilih bidang yang akan diceburi andai memenangi pertandingan ini. Setiap peserta akan diberi seorang pembimbing. Yasmin tentunya memilih bidang solekan. Dia mempelajarinya bersungguh-sungguh. Segala kebolehan dipraktikkannya. Ilmu yang dicurahkan, digunakan sebaik yang mungkin. Doa dan restu suami, akan dimanfaatkan sepenuh keikhlasan. Andai dia berjaya, kemenangan ini adalah untuk suami dan anaknya.
Berkat kesungguhan, Yasmin muncul sebagai pemenang. Kemenangan yang amat bermakna. Kemenangan yang diharapkan mampu merubah warna hidupnya. Yang paling utama, kemenangan ini adalah jambatan untuk dia meniti kejayaan yang menjadi harapan dan impian sejak sekian waktu lamanya.
Hari gilang gemilang itu dihadiri suami dan anaknya. Erat dipeluknya Taufiq dan Khaleesda bagi melepaskan rindu yang begitu hangat. Teresak-esak dia menangis apabila diberitahu suaminya mengambil cuti tanpa gaji selama sebulan demi menjaga anak mereka. Pengorbanan yang amat bermakna daripada seorang suami demi melihatkan kejayaan isterinya.
“Kita jemput pemenang pertandingan Impian Fair & Lovely kali ini, Puan Yasmin Adeela membacakan semula karangan pendek mengenai dirinya yang telah memikat para juri memilihnya sebagai salah seorang peserta pertandingan ini.” Si pengacara mempelawa. Yasmin melangkah ke tengah pentas bersama sekuntum senyuman. Jambangan bunga yang dimenangi erat dalam kendongan. Wajah suami dan anaknya dikerling sekilas. Itulah penguat semangatnya.
“Saya Yasmin Adeela, seorang suri rumah, isteri dan ibu kepada seorang anak perempuan. Hidup kami serba kekurangan, tidak mewah tetapi saya merasakan bagaikan hidup dalam istana. Saya sebagai permaisuri dan suami saya adalah raja. Kami melalui hari-hari dengan penuh ria dan tawa. Saling mempercayai adalah resipi kebahagiaan kami.
“Saya menyimpan angan dan cita-cita untuk menjadi seorang jurusolek. Cita-cita ini tidak pernah padam biarpun berasa amat tipis untuk saya berpeluang menggapainya. Sokongan dan dorongan suami tidak pernah ada hadnya. Melalui pertandingan ini, saya harap saya akan mencapai impian saya.” Mata Yasmin bertaut dengan sinar mata Taufiq yang bening.
“Dan hari ini, Fair & Lovely telah merealisasikan impian anda. Anda akan diberi modal untuk menjalani kursus andaman dan diberi bimbingan untuk memulakan perniagaan dalam bidang ini.” Si pengacara menyambung kata.
“Terima kasih yang tak terhingga saya kalungkan pada suami saya, Taufik Adam. Cintanya adalah penyuluh yang menerangi kegelapan.” Yasmin sebak saat menuturkan kata-kata itu.
Seluruh hadirin bertepuk tangan. Mata Yasmin bertaut dengan sepasang lelaki dan perempuan yang memimpin Khaleeda. Emak dan ayah mentuanya yang turut hadir memberi sokongan. Suaminya berjaya memujuk emak dan ayahnya menghadiri hari yang penuh sejarah indah ini. Melihatkan kebahagiaan Taufiq dan Yasmin, kedua-duanya mengalah dan menerima perkahwinan itu. Apatah lagi dengan kehadiran cucu sulung yang amat diharapkan.
Air mata Yasmin semakin laju membasahi pipi. Hari ini dia memperolehi sebuah kemenangan yang amat berharga. Kemenangan yang tidak akan boleh dijual beli. Impiannya menjadi kenyataan. Harapan dan restu yang didambakan sudah dimiliki. Berasa maruah dirinya sebagai perempuan dimartabatkan.
Terima kasih Tuhan, bisik hatinya.
Oleh Noranizan Tahir
Sumber: Mini Novella Fair & Lovely, Harian Metro: Sejujur Cinta Seluhur Impian Cerpen Cinta Online - Sejujur Cinta Seluhur Impian
5 Komen:
best sangat cerpen nie...sebak n so sweet
x baca sampai abis pon...cam x best jer......
best....dah nangis 2 kali nih
J3lexs x k0.....??????????? b0Z@n DAH JADUL???
heran....ape yg menyebabkn korg nangis bl bc cerpen nih? aku termiss part yg sedih ke?