Lebih malang, ada yang terlanjur sebelum majlis akad nikah. Nauzubillah. Sebenarnya, pertunangan satu ikatan yang masih longgar dari segi komitmen kerana hubungan pasangan bertunang masih dalam batas dibenarkan syarak bukan seperti mana suami isteri yang sah.
Pertunangan masih berisiko kerana belum tentu akan berakhir dengan perkahwinan atau terputus di tengah jalan seperti laporan akhbar mengenai insiden bakal pengantin yang melarikan diri kerana enggan meneruskan perkahwinan.
Pertunangan sebaik-baiknya dirahsiakan, seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan) perkahwinan." (Hadis riwayat Ahmad dari Abbdullah bin Zubair)
Ulama mencatatkan, antara kelebihan merahsiakan pertunangan adalah untuk membendung hasad dengki manusia di luar dan kerahsiaan itu menjadikan kita menahan, mengawal perangai serta pergaulan kerana mereka masih belum sah menjadi suami isteri.
Ibu bapa perlu mengawal anak perempuan yang bertunang supaya tidak bergaul bebas dengan tunangnya. Jika dirasakan ikatan pertunangan menyebabkan hubungan bebas, maka ibu bapa perlu memikirkan supaya perkahwinan disegerakan bagi mengelak berlaku keterlanjuran.
Bertunang sebenarnya tempoh untuk pasangan mengenali satu sama lain dalam batas syarak dan sepatutnya dalam tempoh inilah bakal isteri perlu mengambil tahu adakah bakal suaminya seorang bertanggungjawab, beramanah serta rajin beribadah.
Dalam tempoh bertunang juga kedua-dua pihak perlu bermujahadah untuk menambah ilmu rumah tangga.
Dicadangkan pihak berwajib memikirkan mekanisme atau modul khusus untuk pasangan bertunang supaya dibimbing dengan ilmu rumah tangga, kewangan dan pengurusan rumah tangga, kerana pertunangan langkah permulaan kepada alam perkahwinan.
Ikatan pertunangan diamalkan masyarakat Islam tidak dinafikan memberi kebaikan kepada pasangan serta keluarga masing-masing untuk berkenalan dan menjalin hubungan lebih rapat. Malah, bertukar hadiah secara tidak langsung melahirkan kemesraan dan saling menghormati.
Tempoh pertunangan terlalu lama tidak digalakkan kerana takut membuka ruang maksiat kepada pasangan dan sering menyebabkan perkara yang merenggangkan hubungan, seperti kata orang tua pasangan bertunang darah manis.
Jika pasangan sudah berilmu dan bersedia, berkahwin awal memberi lebih peluang mendapat zuriat lebih awal. Zuriat adalah anugerah Allah yang menyerikan suasana hidup suami isteri. Justeru pasangan bertunang perlu menyimpan hasrat ingin mendapat zuriat yang ramai setelah berkahwin.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Berkahwinlah kamu dan mempunyai anak melaluinya, sesungguhnya aku berbangga dengan umatku yang ramai di akhirat nanti."
Mahu tidak mahu, pasangan perlu menerima hakikat jika ikatan pertunangan yang diharap ke jinjang pelamin terputus. Memandangkan pertunangan bukan perkahwinan dan hanya janji untuk berkahwin, kebanyakan fuqaha berpendapat pasangan bertunang boleh memutuskan pertunangan.
Bagaimanapun, pasangan yang bertunang tidak digalakkan membatalkan pertunangan demi memelihara nama baik pasangan dan keluarganya. Bagi kes putus tunang secara tidak munasabah, pihak berkenaan berhak menuntut ganti rugi di Mahkamah Syariah.
Mengenai pembatalan perjanjian pertunangan, Seksyen 15 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 menyatakan, jika seseorang sudah mengikat pertunangan mengikut hukum syarak, sama ada secara lisan atau bertulis, bersendirian atau melalui seorang perantaraan dan kemudian enggan berkahwin dengan pihak satu lagi tanpa sebab yang sah manakala pihak satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir perlu memulangkan pemberian pertunangan jika ada atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang sudah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan untuk perkahwinan itu dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan dalam mahkamah.
Peruntukan itu jelas menunjukkan pihak yang memutuskan pertunangan bertanggungjawab memulangkan pemberian pertunangan serta membayar wang yang dibelanjakan bagi tujuan persediaan perkahwinan kepada tunangnya.
Dari segi akhlak, pasangan bertunang digalakkan tidak membatalkan pertunangan mereka kecuali tidak dapat dielakkan dan mendesak, demi memelihara nama baik pasangan dan keluarganya.
Maka tidak seharusnya seseorang lelaki atau perempuan itu mengubah fikiran untuk membatalkan pertunangan kerana itu dianggap memungkiri janji. Hakikatnya, pembatalan pertunangan bukan haram tetapi tidak digalakkan syariat Islam.
* Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan boleh dihubungi melalui e-mel sekretariatpgsm@yahoo.com Pertunangan bukan lesen bebas berduaan
3 Komen:
yup, pertunangan bukan lesen untuk kita bebas berdua-duaan,,pertunangan suatu ikatan bagi mengenali kedua-dua pasangan dengan lebih mendalam begitu jugak dengan keluarga dia.
mkasih dah jelasin sehingga sya mengerti arti pertunangan yg sesunggunhya,.,.,.,
mmg pun...pertunangan itu tak boleh maen2 tau...ini jer pesan km...setia@terima dia dengan seikhlas hatimu...