Membantu Rakan Yang Memerlukan Sokongan Emosi Saat Menghadapi Kematian Insan Tersayang


Share on Tumblr
Pengembangan Diri: Membantu Rakan Yang Memerlukan Sokongan Emosi

Setiap yang hidup pasti akan mati. Itu janji Allah SWT kepada setiap makhluk yang wujud di bumi-Nya ini. Ada orang yang dapat menerima kematian orang tersayang dengan reda dan tenang. Namun begitu, terdapat juga insan yang sukar menerima kematian orang yang tersayang kerana sebab-sebab tertentu.

Kesedihan yang tidak boleh dikendalikan dengan baik boleh memberi kesan mendalam kepada emosi. Pada tahap yang paling kronik, boleh mempengaruhi fikiran sehingga menimbulkan perlakuan yang tidak sihat. Tidak dinafikan wujud dua jenis penerimaan yang dinyatakan tadi.

Sebagai insan biasa, kita perlu memahami psikologi orang yang bersedih akibat kehilangan orang tersayang, sama ada dia ahli keluarga, sahabat handai atau orang yang penting dalam hidup kita.

Oleh itu, marilah kita sama-sama mendalami bagaimana caranya kita dapat membantu orang yang sedang bersedih ini. Sebagai individu yang prihatin terhadap seseorang yang menghadapi kematian ahli keluarga atau orang yang disayanginya, anda perlulah mengenal pasti beberapa perkara seperti berikut:

1. Jaga Adab Dalam Majlis atau Upacara Kematian

Apabila anda menghadiri atau melawat sesuatu upacara atau majlis kematian, kurangkan ketawa dan jangan bergurau. Hendaklah anda menunjukkan sikap dan sifat yang penuh simpati kepada ahli keluarga yang dikunjungi.

Mereka yang tidak peka akan berbual di luar rumah atau di bawah pokok sambil ketawa berdekah-dekah. Ada yang bergurau senda tanpa memikirkan perasaan ahli keluarga yang ditimpa musibah itu. Perlakuan ini sangat menyinggung perasaan orang yang sedang bersedih.

Tiga perkara yang kita boleh lakukan untuk keluarga yang bersedih itu ialah; pertama sedekahkan pahala (jika ada) bacaan ayat-ayat suci kepada arwah dan doakan agar rohnya dicucuri rahmat.

Kedua sedekahkan wang ringgit untuk membantu meringankan bebanan ahli keluarganya dan ketiga jaga tutur kata serta kurangkan perbualan kosong yang tidak mendatangkan faedah.

2. Anda Perlu Aktif Untuk Membantu

Orang yang berada dalam kesedihan biasanya tidak bermaya dan tidak boleh berfikir secara normal. Mereka terumbang-ambing dibawa badai perasaan yang tidak menentu. Dunia menjadi kelam buat seketika. Banyak perkara yang difikir, direnung dan dirunsingkan sehingga keadaan menjadi bercelaru.

Anda sebagai pendamping dan penyokong seharusnya memulakan saranan untuk memberi bantuan secara lisan atau bukan lisan. Nyatakan dalam bentuk lisan perkara apakah yang boleh anda bantu. Katakan kepadanya bahawa anda akan kerap datang menjenguknya dan sedia menghulurkan bantuan yang diperlukan pada bila-bila masa.

Elakkan daripada berkata, "Hubungi saya jika anda perlukan saya" tetapi katakanlah, "Apakah yang boleh saya bantu anda?"

Katakan juga, "Saya akan datang lagi untuk membantu" dan elakkan daripada berkata, "Kalau saya tidak sibuk, mungkin saya datang lagi." Kata-kata seperti itu ibarat memberikan harapan yang palsu.

3. Hadirkan Diri Apabila Anda Diperlukan

Menghadirkan diri semasa upacara pengebumian menunjukkan bahawa anda peka dan simpati kepada mereka yang sedang bersedih pada hari itu. Menghadirkan diri semasa mereka memerlukan anda adalah lebih mulia dan baik lagi. Datang segera jika anda mengetahui bahawa mereka memerlukan kehadiran atau bantuan anda.

Jika anda mendapati dia sering bersendirian, tawarkan diri anda untuk menemaninya seketika. Sekali anda memberi alasan tentang kesibukan atau ada urusan lain anda yang lebih penting, anda sudah menggambarkan kepada mereka bahawa anda bukanlah orang yang boleh membantu mereka semasa mereka memerlukan anda.

3. Luahan Perasaan Terapi Terbaik

Orang yang sedang bersedih memerlukan seseorang untuk mendengar rintihan hatinya. Adakalanya dia ingin menyatakan apa yang dirasai, ingin berkongsi pengalaman sedih yang dilalui dan ingin mengadu rintihan hatinya. Luahan perasaan ini menjadi terapi atau rawatan penyembuhan terbaik bagi mengurangkan kesedihan yang dialami.

Anda hanya perlu mendengar dan memberikan sedikit dorongan agar dia terus bersemangat. Anda tidak perlu memberikan nasihat kerana dia hanya ingin anda mendengar rintihan hatinya dan kesedihan yang sedang dialami. Gunakan kemahiran mendengar anda secara maksimum. Lihat tepat ke arah mata dan air mukanya ketika dia bercerita.

Semasa dia bercerita, ekspresi wajah anda perlu mengikut ekspresi mukanya. Jika wajahnya berkerut, wajah anda juga ikut berkerut, jika dia tersenyum anda juga ikut tersenyum. Jika dia menangis, anda juga perlu bersedih dan kesat air matanya secara pelahan.

4. Jangan Samakan Perasaannya Dengan Perasaan Anda atau Orang Lain
Mungkin anda merasakan dia lemah semangat. Pada anggapan anda, anda perlu menyuntik dengan kata-kata semangat, maka anda mengatakan, "Jangan bersedih sebab saya juga telah melaluinya" atau anda menyatakan "Si polan itu juga kematian isterinya, dia boleh mengatasinya".

Tujuan anda baik kerana anda rasa anda memberi semangat tetapi bagi mereka yang sedang bersedih, pernyataan itu memberi gambaran bahawa anda tidak menghormati dan tidak memahami perasaannya. Lebih baik anda menyatakan, "Arwah suami anda itu memang baik, semua orang merasai kehilangannya" berbanding "Biarkanlah dia pergi, mungkin itu baik untuknya".

Anda juga mungkin boleh mengatakan, "Semua ini ialah ketentuan Allah SWT. Memang pahit dan bukan mudah untuk melaluinya" tetapi elakkan daripada berkata, "Kehidupan perlu diteruskan, bersabarlah."

5. Berikan Doa dan Harapan

Orang yang kematian seseorang seolah-olah hilang tempat bergantung. Mereka juga hilang rasa tanggungjawab dan putaran jarum jam seperti telah terhenti. Mereka keliru, bimbang, waswas, tidak yakin dan merasakan waktu bergerak terlalu lama dan lambat.

Ketika ini, anda boleh mendampinginya dan berikan sokongan. Berikan kata-kata yang boleh menyuntik semangatnya dan bersama-sama merasai kesedihan yang ditanggung oleh keluarga tersebut.
Membantu Rakan Yang Memerlukan Sokongan Emosi Saat Menghadapi Kematian Insan Tersayang

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.