Bataskan pergaulan remaja elak terjebak maksiat


Share on Tumblr Remaja Islam seharusnya membataskan pergaulan seperti yang dituntut agama supaya terselamat daripada bencana dosa besar yang boleh menjerumuskan diri ke lembah maksiat. Setiap remaja harus belajar membatasi dirinya dalam pergaulan.

Jika terikut dan tergoda oleh nafsu syaitan seseorang itu boleh terjerumus ke lembah hina. Oleh itu, pendidikan akhlak dan budi pekerti penting bagi mengawal diri daripada terjebak dalam pergaulan bebas tanpa batas.

Pergaulan antara lelaki dengan wanita bukan muhrim mempunyai batas tertentu yang perlu dipelihara. Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada jasad atau rupa bentuk kamu tetapi Allah melihat kepada hati kamu.” - (Riwayat Muslim)

Maruah adalah amanah Allah kepada kita sementara sifat malu pula adalah salah satu cabang iman. Melalui maruah dan iman di hati akan dapat menghindarkan seseorang itu daripada terjebak dalam pergaulan bebas.

Beberapa faktor boleh diamalkan untuk menghindarkan diri daripada terperangkap ke lembah hina dalam pergaulan bebas tanpa batas. Antaranya:

l Membataskan pergaulan kerana pergaulan bebas lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan.

l Pengawalan adalah daripada diri sendiri untuk menjauhi perkara tidak diingini.

l Remaja perlu tahu mengenai seks terlarang yang akan membawa akibat buruk kepada diri mereka sendiri, ibu bapa, keluarga dan masyarakat.

l Remaja Muslim perlu menjaga maruah diri dan menjadikan agama sebagai panduan hidup kerana mereka yang beragama akan berjaya di dunia serta akhirat.

l Setiap remaja perlu tahu perubahan fizikal diri selain mengambil tanggungjawab memastikan diri tidak terjebak dengan perlakuan yang akan membawa kemudaratan.

Takut kepada Allah dan balasan bakal diterima boleh menjadi benteng kepada remaja daripada melakukan perbuatan menyalahi agama seperti pergaulan bebas.

Firman Allah yang bermaksud: “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka deralah masing-masing mereka seratus kali dera, pukul dan janganlah kamu belas kasihan kepada kedua-duanya menghalangi kamu untuk menjalankan agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan hendaklah dilaksanakan hukuman mereka itu disaksikan oleh sekumpulan orang yang beriman.” - (Surah An-Nur, ayat 2)

Pergaulan bebas boleh menjerumuskan seseorang itu ke arah seks bebas, bersekedudukan, melahirkan anak luar nikah dan perzinaan. Oleh itu, Allah berfirman yang bermaksud: “Dan barang siapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi hidayah pada hatinya.” - (Surah At-Taghabun, ayat 11)

Daripada ayat di atas dapat difahami bahawa Allah akan melenyapkan kesengsaraan kepada orang yang beriman dan mengampuni dosanya, akan menghilangkan kegusaran, menerangi jalannya dan meluruskan langkahnya.

Justeru, kita diingatkan supaya sentiasa beriman kepada Allah supaya terlindung daripada segala hasutan dan bisikan syaitan yang sentiasa mencari peluang untuk menyesatkan manusia.

Peningkatan gejala sosial di kalangan remaja masa kini amat membimbangkan terutama ibu bapa dengan meningkatnya kes jenayah rogol, mencabul kehormatan, sumbang mahram, penderaan kanak-kanak, pengguguran haram dan pembuangan bayi.

Tindakan tegas dan pantas perlu dalam usaha mendidik kalangan muda dan ibu bapa supaya menyedari kesan buruk daripada pergaulan antara lelaki dan wanita yang tidak dibataskan oleh hukum agama.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana menegakkan agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil), dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha supaya baik amalannya.” - (Surah al-Baqarah, ayat 195)

Pergaulan bebas adalah dilarang oleh Islam dan tujuannya untuk mengelakkan gejala sosial yang negatif menular dalam masyarakat memandangkan pergaulan tanpa batas banyak menjurus kepada kesan tidak baik yang boleh menghancurkan kekuatan ummah.

Oleh Dr Aminudin Mansor Bataskan pergaulan remaja elak terjebak maksiat

1 Komen:

Tanpa Nama berkata...

hebatlah karangan nie!!

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.