Cerpen- Inspirasi


Share on Tumblr Kesepian itu membawa aku cuba berlari jauh. Kesunyian itu menjadikan aku perindu yang tidak bertepi. Tanpa haluan, aku bangun.

Aliff, menyebut namamu saja mampu menikam hati ini apatah lagi kalau aku punya waktu untuk melihat ukiran wajahmu. Pantai di hadapanku begitu luas, bersama ombak dan langit yang juga tidak pernah aku hitung keluasannya.

Tapi mengapa hatiku sesempit lubang cacing? Sepasang kekasih di hadapanku begitu bahagia membelai cinta dan kesan tapak kaki mereka yang disapa ombak membuatkan aku sempat mencipta madah.

Kenangan itu ibarat kesan tapak kaki di pantai dan ombak itu ibarat masa yang berlalu. Semakin masa berlalu, semakin terhakis kenangan lalu, ibarat kesan tapak kaki yang dihapus ombak. Benarkah? Aku tidak mampu menjawab kerana kenangan itulah yang melukakan dan kenangan itulah yang aku cuba lupakan agar kehidupanku tidak terjerut dalam kepompongnya.

Telefon bimbitku berdering kuat sekali lantas mengganggu ketenangan semula jadi di pantai ini.

"Assalamualaikum."

"Waalaikummussalam."

"Dina..."

Suara yang terlalu lama tidak kudengari sehingga aku seakan melupakan pemiliknya.

"Dina, lusa datang Plaza Angsana tingkat dua ya. Saya tunggu."

Farhan. Aku mendengus perlahan dan aku menapak perlahan. Moga kenangan lalu itu tertinggal bersama tapak kakiku.

*****

Nyalaan pelita itu begitu mendamaikan. Aku dan adikku nyenyak dibuat mimpi. Dentuman kilat itu menyentak dirku lantas mataku yang enak dibuai mimpi terbuka pantas.

Kulihat ayah sedang duduk, tidak melelapkan mata barangkali.

"Kenapa ayah tak tidur?"

Suara keanak-anakanku memecah kesunyian, memandang ayah yang tersenyum.

"Ayah tengok anak-anak ayah tidur..."

"Kenapa?"

"Yalah, nanti kakak dengan adik dah besar, ayah dah tak dapat tengok muka anak-anak ayah macam budak-budak lagi."

"Hujan lebatlah ayah, rugi ayah tak tidur."

Ayah ketawa, mungkin lucu baginya. Tiba-tiba aku terasa sejuk di tapak kakiku. Mencerlang mataku memandang atap rumah.

"Ayah, air masuk."

"Akak tidurlah, ayah cari timba. Ayah tak sempat baiki atap rumah kita siang tadi."

"Tengok adik tidur ternganga ayah."

Ayah ketawa. Dia bangun mencari baldi untuk menadah air yang bocor. Hati kanak-kanakku sudah pandai merasa sayu. Aku pantas menarik selimut dan tanpa ayah sedar, aku menangis perlahan.

Ayah, bila akak besar nanti, akak jaga ayah dengan mak baik-baik, getus hatiku. Aku memandang adikku yang setahun muda dariku. Meskipun umurku tujuh tahun, kata ibu aku perlu matang untuk menjaga adik. Entah jam berapa, aku tertidur bersama angan-angan yang entah akan tercapai atau tidak.

*****

"Kak, bangun. Kita kan nak tengok mak kejap lagi."

Azwan menggoncangkan tubuhku. Aku menggeliat malas. Namun membayangkan wajah ibu, aku segera bangun. Meskipun baru semalam ibu memelukku, aku begitu merinduinya. Kami bertiga menunggu bas di stesen buruk kampungku. Azwan sibuk bercerita itu dan ini kepada ayah dan aku lebih gemar mendiamkan diri.

Setibanya kami di hospital, aku mencari wad bernombor 440. Doktor dan jururawat menyambut kami dengan senyuman yang sukar dimengerti.

"Mak! Mak! Kami dah sampai." Azwan ketawa girang sambil menuju ke arah ibu. Aku menegahnya membuat bising kerana aku lihat ibu sungguh tenang dalam tidurnya. Azwan meletakkan jarinya di bibir. Mungkin dia tersedar perlakuannya yang mengganggu tidur ibu.

Ayah mengucup dahi ibu dan memanggil aku dan adik merapati ibu. Tanpa disuruh, aku turut mencium ibu. Hanya itu yang mampu aku katakan. Adik juga menuruti. Dia yang petah berkata-kata terus bertanya.

"Mak baru lepas mandi ke akak? Sejuk saja, kenapa mak tak sedar kita datang?"

Aku hanya senyap. Akalku yang masih pendek ketika itu terlalu sukar untuk mentafsir hakikat yang ibu sebenarnya telah pergi selamanya. Aku hanya mampu memahami erti kematian itu apabila aku dan adik terkebil-kebil melihat ibu dalam balutan kafan putih dan bacaan Yasin memenuhi ruang pondok buruk kami.

Malam itu adik menangis. Ayah kukira, menyimpan kesedihan itu di dalam hati. Dan aku, memeluk bantal yang pernah ibu jahitkan sebagai pengubat hati yang terlalu sepi ketika ini.

*****

Di sini akhirnya aku, di sebuah rumah kebajikan masyarakat. Ibarat drama-drama yang sering kutonton, ayah juga pergi buat selamanya sepuluh hari selepas kematian ibu. Cuma, untuk drama kehidupan ini, akulah pelakon yang memegang watak utama itu. Kuteka ayah begitu merindui ibu kerana aku pernah mendengar tangisannya ketika aku berpura-pura tidur.

"Dina, dah siap ke?" lamunanku terhenti.

"Hikma, terkejut aku. Sekejap ya."

Aku memandang cermin. Sudah puas hati dengan penampilanku, aku bersama-sama Hikma menuju ke tapak Kempen Anti Dadah. Di sinilah hidupku, bersama-sama sahabat yang mungkin kurang bernasib baik. Tetapi nasib kami terbela di bawah jagaan "ibu" dan "ayah" yang bagiku cukup adil memberi kasih sayang mereka.

"Kau tahu, Farhan bertanding sekejap lagi. Nak tengok?"

Aku mengangguk. Masakan tidak, Farhan adalah sahabatku dari kecil di rumah kebajikan ini. Kecerdikannya telah membawa dia ke Sekolah Berasrama Penuh. Aku tegar berpisah kerana aku tahu dia mampu menjadi insan yang cemerlang.

Ketika ini, aku berada di tingkatan lima. Peperiksaan SPM tahun ini bakal menentukan nasibku. Aku memandang Hikma. Hampir lapan tahun kami bersahabat. Sempena Kempen Anti Dadah, pusat kebajikan ini telah bergabung dengan sekolahku yang terletak berhampiran. Alunan piano itu menarik hatiku. Seakan bergerak seluruh sukmaku. Sebati sudah irama itu dengan jiwaku.

"I promise you

You're not alone

When the lights go out at night

When you're feeling lost inside

You're not alone

You're not alone

When your world is falling down

I will be the one around

You're not alone

You're not alone

Alunan suara Farhan menghayati lirik You're Not Alone nyanyian Shayne Ward begitu menusuk hatiku. Kenangan ketika aku masih di alam kanak-kanak menjelma. Farhan gemar memberiku coklat Kit Kat. Katanya, ia bermaksud, Kau Insan Tersayang, Kau Amat Teristimewa.

Tapi kini, masih adakah kenangan kanak-kanak itu di hati Farhan? Kedewasaan menjadikan kami begitu malu antara satu sama lain. Pada Hikma sahaja selalu kuluahkan rahsia hati. Sememangnya, kenangan kanak-kanak itu amat mengikat hatiku. Seingatku, kali terakhir aku beramah mesra dengan Farhan adalah ketika kami di tingkatan tiga.

Selepas itu, kami terpisah kelas kerana keputusan PMRnya yang lebih cemerlang. Sifatku yang terlalu pendiam juga menjadi penghalang. Siapalah aku dibandingkan dirinya. Aku anak kebajikan dan dia mempunyai keluarga yang cukup terkenal di daerah ini.

Namun, ayahnya cukup kukenali kerana beliau sering membantu anak-anak kebajikan. Ayahnya juga sering mendermakan wang untuk urusan pembelajaran kami penghuni rumah kebajikan itu.

"Dina..."

Lamunanku terhenti. Farhan menghulurkan sesuatu untukku. Setelah aku menyambutnya, dia berlalu dan sempat meninggalkan senyumannya untuk terus kusemat di hati.

*****

Malam itu, aku merasa betapa aku tidur dengan senyuman. Bait-bait surat Farhan seperti sudah kuhafal.

"Assalamualaikum, buat Dina yang comel. Waktu Farhan nyanyi tadi, lagu itu istimewa untuk Dina. SPM dah tak lama lagi. Farhan harap Dina belajar rajin-rajin. Kita kan selalu berangan nak sambung belajar dan lepas itu, buka kedai coklat sama-sama? Jangan lupa kalau makan Kit Kat tu, ingat Farhan ya Dina."

Farhan, sememangnya aku punya impian itu meskipun tidak bersama kamu. Aku akan tetap berusaha mencapai yang terbaik untuk kehidupanku. Aku tidak sepandai Azwan tapi aku punya satu impian untuk membuka sebuah kedai menjual coklat, mungkin kerana semangat coklat itu.

*****

Ya, kini aku berjaya melanjutkan pelajaranku di UTM. Kedai coklat impianku entah ke mana. Farhan juga mungkin bernasib baik kerana dia melanjutkan pelajarannya dalam bidang perubatan di Indonesia. Dan aku, meneruskan pengajian dalam bidang psikologi.

Sudah lebih setahun aku tidak mendengar khabar Farhan. Aku tidak kisah kerana kami tidak pernah punya apa-apa ikatan atau janji. Mengapa pula aku mesti berasa kecil hati andai dia tidak menghubungiku? Namun, sejauh mana aku mampu menipu hati sendiri? Kenangan cinta kanak-kanak itu terlalu membelenggu. Cinta? Mungkin.

Cinta yang tidak terucap itu berbekas jauh di lubuk hati. Tambah menyakitkan kerana aku telah memberikan seseorang harapan atas dasar cuba melupakan. Aliff, satu nama yang cukup menenangkan. Biar aku sahaja yang tahu bahawa aku tidak pernah punya perasaan untuknya.

"Dina, jom makan?" Aku tersentak, jelas sekali sifatku yang gemar mengelamun.

"Aliff, terkejut Dina. Makan di mana? "

Pantas aku membuang ingatan untuk Farhan dan mengalihkannya kepada Aliff yang sentiasa di sebelahku, tidak kira ketika aku sedih atau ketawa. Aliff sentiasa membahagiakan dan aku tidak pernah punya alasan untuk menjauhinya. Biarlah kenangan kanak-kanak itu berakhir hari ini.

Saat ini aku begitu memerlukan sahabat seperti Hikma yang amat memahami. Dia kini di UTM dalam bidang TESL. Sesuai dengan dirinya yang begitu bijak dalam bahasa Inggeris. Apabila kelapangan, aku tidak pernah lupa bersama Hikma dan Azwan menjenguk rumah kebajikan tempat kami membesar. Melihat kanak-kanak di rumah itu menginsafkan aku betapa nasib manusia itu bukan pilihan kita. Tapi, kita punya jalan untuk merubahnya.

*****

"Dina nampak tak bermaya saja, kenapa?" tegur Aliff.

"Mengantuk agaknya."

"Aliff ada buat salah ke?"

"Taklah, Dina letih sikit. Mari jalan-jalan ke Angsana, nak tak?"

Petang itu kami bersiar-siar. Terlupa sebentar cinta monyet yang tidak terungkap itu. Pernah sekali aku diserang demam campak dan tidak mampu ke kuliah, Aliff bersusah payah membuat salinan nota agar aku tidak ketinggalan. Dia juga sering mengirimkan makanan untukku.

Bila saja aku tertekan dan berputus asa, dia sentiasa hadir memberikan semangat. Perasaan aku ada untuknya tetapi tidak seistimewa untuk Farhan. Malam itu, aku solat meminta ketenangan dari-Nya. Juga mendoakan kesejahteraan ibu bapaku yang amat aku sayangi. Doaku, moga aku menjadi manusia berguna di dunia dan akhirat.

*****

Kesibukan menghadapi peperiksaan akhir untuk semester ketiga membuat aku tidak punya waktu untuk memikirkan soal lain selain akademik. Hari ini hari terakhir aku menghadapi peperiksaan. Kukira, sudah membuat yang terbaik. Kadangkala aku turut mengulangkaji bersama Aliff dan berita terbaru, Azwan berpeluang melanjutkan pelajaran ke Russia di bawah tajaan JPA. Aku amat bersyukur. Esok merupakan hari terakhir untuk aku berada di UTM semester ini.

Selepas itu, mungkin aku perlu mencari pekerjaan sementara untuk menampung kehidupanku. Cutiku pada kali ini serentak dengan Hikma. Jadi kami merancang untuk bekerja bersama-sama. Ada juga Hikma mengajakku untuk mengajar tuisyen untuk kanak-kanak di rumah kebajikan tempat kami membesar dulu. Itu juga tawaran menarik untuk mengisi masa lapangku. Tiba-tiba telefon berbunyi. Panggilan dari Aliff.

"Janji dengan Aliff jaga diri baik-baik ya." Ada kelainan pada suara itu.

"Aliff tak mahu jumpa Dina sebelum balik esok?" ceria suaraku.

"Aliff tak sempat," dan panggilan terus terputus.

Universiti gempar malam itu. Seorang pelajar jurusan psikologi maut ditikam kerana cuba membantu mangsa ragut. Peragut itu mungkin seorang penagih. Dan insan yang maut itu adalah Aliff Haikal.

Mengapa di saat aku merasakan perasaan indah itu, dia terlalu cepat meninggalkanku. Kesepian yang tidak pernah kurasakan begitu mencengkam. Aku menangis di dalam solat. Mengenangkan insan-insan kesayangan yang telah pergi meninggalkan aku sendiri. Aku tidak sempat untuk menunjukkan betapa aku menghargainya. Yang tambah memilukan hatiku, di saat terakhir nyawanya, dia masih mengingatiku.

*****

Aku berjalan keseorangan di Plaza Angsana. Kenangan bersama Aliff berlayar di minda. Seharusnya aku tidak hidup dalam kenangan. Aku memerhatikan segenap ruang. Menunggu panggilan dari Farhan. Bagaimana agaknya wajah itu?

Pandanganku tertancap pada sebuah kedai coklat. D'HAN CHOCOLATE. Pantas sahaja aku menapak menuju ke arah kedai itu. Jurujual tersenyum manis menyambutku. Dekorasi kedai itu begitu menarik. Pencahayaannya juga sangat sesuai. Kebanyakan coklat tempatan dan luar negara dijual di situ.

Mengapa selama ini aku tidak pernah menyedari kewujudan kedai ini? Aku hanyut dalam angan-angan dan impian kanak-kanakku bersama Farhan.

"Cik Dina?" Aku menoleh. Jurujual itu menghulurkan sesuatu kepadaku.

"Assalamualaikum buat Dina yang Farhan rindui. Comel tak kedai ini? Kedai yang Dina selalu angan-angankan telah Farhan ciptakan dalam realiti. Farhan harap Dina sudi tolong Farhan uruskan kedai ini bersama-sama Farhan sebagai rakan kongsi. Lagipun, Farhan bukan selalu balik Malaysia nak tengok kedai ini. Dina belajar di Johor, jadi mungkin Dina punya lebih banyak masa. Jangan fikir lama-lama. Tawaran ini khas untuk orang yang Farhan sayang saja. Orang yang banyak memberi inspirasi pada Farhan. Farhan amat rindukan Dina. Selamat Hari Lahir dari Farhan."

Aku terdiam kerana terlalu terharu. Apabila aku mengangkat wajah, seseorang menghulurkan Kit Kat untukku. Farhan melemparkan senyuman paling manis yang mencairkan segenap rasaku. Impian kanak-kanak itu mewujudkan inspirasi. Aku amat merindui arwah ibu dan bapaku ketika ini. Dan aku berjanji untuk tidak mengabaikan pelajaranku di samping impian ini.

Oleh Khairyl Zanariah Azizan Cerpen- Inspirasi

11 Komen:

Tanpa Nama berkata...

terkenang kenangan terindah...

Tanpa Nama berkata...

ish2
camane my cerpen ley ade kat sini..hihik

Tanpa Nama berkata...

besh gak citer neyh...
tp part parents dia n aliff agak sedey~

Tanpa Nama berkata...

cute story..=]
true luv 4 d lucky one~

Tanpa Nama berkata...

sian aliff..
kehadiran farhan mcm tetbe..
so,terkujat sket.
huhu~

Tanpa Nama berkata...

only best men win

Tanpa Nama berkata...

sedey nyerrrrrrrrrrrrr.....tp the last part tu best arrr..
hehehe...klu la adalaki camtu lg kat dunia ni...alangkah bahagianya hidup....:):)

Tanpa Nama berkata...

aliff tu lagi berhak berbanding farhan...

Tanpa Nama berkata...

pnjg gle..
mlz na bce!

Tanpa Nama berkata...

alif maybe lbh berhak...
tp kdg2 cinta tuh buta=)

~ pengarang ~

Tanpa Nama berkata...

sesiapa pon jodah kita terimalah seadanya...

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.