"Nisa tak tahu lagi balik pukul berapa, mak. Kalau cepat Nisa dapat kerja, cepatlah Nisa balik." Pesan Anisa sebaik saja bersalaman dengan ibunya, Aminah.
"Jaga diri baik-baik, Nisa. Mak doakan murah rezeki kamu hari ni."
Mengingatkan bicara ibu kesayangannya pagi tadi, segera Anisa mematikan niatnya untuk pulang. Dia mula sedar, doa ibunya sentiasa mengiringi setiap langkahnya. Setelah hampir satu setengah jam meredah bandar JB, akhirnya mata Anisa terpandang Kedai Kek D'Yaz di seberang jalan. Dengan senyuman yang melebar, segera Anisa membesarkan langkahnya untuk segera tiba di kedai itu.
'Dalam masa seminit, segala-galanya boleh berubah. Jadi, kita perlu bertindak cepat agar peluang yang telah terbentang di depan mata, tidak akan terlepas.'
Mengingatkan akan kata-kata bekas pensyarahnya semasa dia belajar di UiTM Dungun, maka Anisa bertindak cepat. Secepat yang termampu. Alangkah ruginya jika saat dia semakin hampir dengan kedai itu, tiba-tiba ada insan lebih pantas selangkah darinya.
SRETTTTTTT!!!! DUMMMM!!!
Serentak dengan bunyi brek ditekan mengejut, sebuah fail melambung tinggi dan melayang ke atas sekujur tubuh yang telah terlentang di atas jalan raya. Di saat pandangannya hampir kelam, Anisa masih dapat mengingat akan kata-kata pensyarahnya itu lagi. 'Walaupun kita perlu mengejar peluang di depan mata, tetapi kita tidak boleh mengabaikan keselamatan diri kita.'
'Nampaknya, aku dah tersilap langkah.' Detik hati kecil Anisa.
"Cik...cik..."
Anisa hanya sempat mendengar seorang pemuda cuba memanggilnya. Namun sayangnya, dia terlalu lemah untuk menyahut. Akhirnya, seluruh pandangannya gelap.
*****
"Mak cik, saya minta maaf banyak-banyak sebab telah melanggar anak mak cik. Percayalah, mak cik. Saya akan bertanggungjawab ke atas diri anak mak cik dan mak cik jika apa-apa berlaku."
Walaupun butir bicara pemuda yang melanggarnya sebentar tadi agak perlahan, namun sepasang telinga milik Anisa masih dapat mendengarnya dengan jelas. Anisa terus menanti suara yang amat dirinduinya. Semakin dinanti, semakin sesak dadanya. Seolah-olah penantiannya tiada berpenghujung. Akhirnya...
"Mak cik...tengok tu. Anak mak cik dah sedar."
Segera Puan Aminah yang sedang menunduk sambil menggenggam jemari Anisa, mengangkat muka. Air matanya mengalir tiba-tiba. Air mata yang penuh kesyukuran.
"Nisa anak mak..." ujar Puan Aminah sambil mendakap Anisa.
Anisa turut menangis. Sama seperti ibunya, menangis kerana kesyukuran. Mata Anisa sempat melirik ke sekitar biliknya. Dia mencari seseorang yang amat dirinduinya selama ini. Namun, lirikannya terhenti saat pandangannya berpadu dengan sepasang mata redup yang sedang memerhatikannya sambil tersenyum.
"Nisa, ini Encik Yazid. Dialah yang menyelamatkan Nisa."
Anisa menatap seraut wajah yang sedang tersenyum dan mengangguk padanya. Wajah yang penuh keikhlasan. Wajah yang penuh kejujuran. Anisa dan Yazid saling bertatapan. Lama.
*****
"Yazid minta maaf banyak-banyak, Nisa. Disebabkan kecuaian Yazid, Nisa terpaksa menanggung derita ni." Nada Yazid berbaur kekesalan.
Yazid tetap mengotakan janjinya untuk bertanggungjawab ke atas Anisa. Biarpun telah seminggu Anisa keluar dari hospital, namun Yazid tidak pernah jemu melawat Anisa di rumah. Malah, sepanjang Anisa terlantar di hospital, tidak pernah walaupun sekali, Yazid tidak menunjukkan wajahnya. Segala perbelanjaan perubatan Anisa juga ditanggung Yazid sepenuhnya.
"Bukan kecuaian Yazid. Tapi kecuaian kita bersama," balas Anisa ikhlas.
Anisa berhati-hati melabuhkan punggungnya di atas pangkin. Kedua-dua tongkatnya disandarkan di sisi pangkin itu. Melihatkan Anisa yang telah selesa berada di atas pangkin itu, Yazid turut berbuat demikian.
"Nisa tak rasa ini satu penderitaan, Yazid. Nisa bersyukur teramat sangat atas kejadian tempoh hari. Di sebalik semua ini, ada hikmah yang amat besar. Nisa benar-benar bersyukur." Yazid menatap wajah Anisa mengharapkan pengertian. Dia terlalu mengharap Anisa akan menyambung cerita selanjutnya tanpa dipinta.
"Kalau semua ni tak berlaku, sampai sekarang pun, Nisa tak tahu hati budi tunang Nisa yang sebenar."
"Nisa dah bertunang?"
Anisa mengangguk. Di hujung anggukannya, dia cuba mengukir senyuman tipis. Agak hambar. Yazid ingin bertanya lanjut mengenai tunang Anisa yang tidak pernah dilihatnya. Tetapi segera dia mematikan niat tersebut apabila wajah Anisa berubah keruh.
"Boleh Yazid tanya sesuatu?"
Anisa memandang Yazid. Agak lama dia memandang pemuda di sisinya itu. Yazid terus sabar menanti jawapan Anisa. Akhirnya Anisa mengangguk.
"Nisa minat dalam bidang perniagaan tak?"
Berkerut dahi Anisa mendengar pertanyaan Yazid. Soalan yang tidak diduganya itu benar-benar menimbulkan tanda-tanya dalam dirinya. Awal-awal lagi dia mengagak Yazid akan bertanya lanjut mengenai tunangnya. Tetapi, jangkaannya meleset sama sekali.
"Minat juga. Tapi bergantung pada bentuk perniagaanlah."
"Perniagaan yang macam mana Nisa minat?"
Anisa tidak segera menjawab. Sebaliknya dia terus merenung Yazid. Semakin direnung, semakin tenang rasa jiwanya. Anisa berkira-kira sendiri dalam hatinya. Apakah tujuan Yazid mengajukan soalan sedemikian kepadanya?
*****
Hari ini, genap setahun Anisa menguruskan Kedai Kek D'Yaz. Selama setahun itu jugalah, pelbagai kepayahan dan keperitan telah dilaluinya. Namun, berkat kesabaran dan usahanya selama ini, kini dia sudah mampu tersenyum melihat kejayaan D'Yaz hari demi hari.
Betapa Anisa masih ingat detik dia mengambil alih Kedai Kek D'Yaz itu dulu. Kedai itu 'bagaikan hidup segan mati tak mahu'. Pelanggan yang datang boleh dikira dengan jari. Untuk dapatkan RM10 sehari juga, terlalu sukar. Dari jam 10 pagi kedai itu dibuka sehinggalah ditutup pada jam 8 malam, sepotong kek yang berharga RM4 pun susah untuk laku.
Anisa sudah mula tidak senang duduk melihat keadaan kedai yang diterajuinya itu. Pernah dua orang pekerjanya menyuarakan pendapat untuk tutup kedai itu. Tetapi Anisa tetap dengan keputusannya. Walau sesukar mana pun, dia tetap ingin majukan Kedai Kek D'Yaz. Malahan, itu jugalah janjinya pada Yazid.
Disebabkan janji itu jugalah, Anisa akhirnya bertungkus-lumus seorang diri membangunkan kedai itu setelah kedua-dua orang pekerja Yazid mengambil keputusan untuk berundur.
"Yazid sedar, Nisa. Untuk menghidupkan kedai ni bukannya mudah. Ia sudah terlalu tenat sekarang."
"Jangan cakap macam tu, Yazid. Belum cuba, belum tahu. Insya-Allah, Nisa akan kembalikan kejayaan kedai ni macam dulu."
Yazid hanya melepaskan satu keluhan mendengarkan janji Anisa. Keluhan yang bercampur baur antara harapan dan kepasrahan.
"Buatlah apa yang patut, Nisa. Kalau Nisa nak tutup sekali pun, Yazid izinkan. Yazid sendiri tak pasti bila Yazid akan jejakkan kaki ke sini lagi."
Anisa terdiam. Dia tidak menyangka, rakan yang baru dikenalinya itu begitu percaya padanya hingga sanggup menyerahkan kedai yang amat disayanginya itu. Namun, dalam diam dia berjanji pada dirinya sendiri. Kedai Kek D'Yaz akan 'hidup' gemilang suatu hari nanti.
"Cik Nisa, ada orang nak jumpa."
Lamunan Anisa mati serta-merta. Wajah Marlia ditatapnya untuk mensahihkan apa yang disampaikan gadis itu. Marlia yang bagaikan mengerti dengan renungan majikannya itu akhirnya mengangguk untuk mengiakan apa yang dikatakannya sebentar tadi.
"Jemput dia masuk, Marlia."
"Baik, Cik Nisa." Marlia terus keluar dan menutup pintu bilik Anisa. Beberapa saat kemudian, pintu bilik Anisa diketuk dari luar. Setelah Anisa mempersilakan masuk, perlahan-lahan pintu itu terkuak.
Anisa terpempan saat menatap wajah tetamu yang tersenyum padanya.
*****
"Tahniah, Nisa. Yazid kagum dengan Nisa." Ucapan yang penuh dengan keikhlasan. Anisa yang masih terkejut dengan kehadiran Yazid secara tiba-tiba hanya mampu tersenyum. Lidahnya terasa kelu. Perasaannya juga berdebar tidak menentu. Dia tidak pasti mengapa perasaan aneh itu menyerangnya tiba-tiba. 'Mungkin dah lama tak jumpa agaknya.' Detik hati Anisa cuba menenteramkan jiwanya sendiri.
"Selama ni Yazid tertanya-tanya sendiri tentang khabar Nisa dan kedai ni. Tapi Yazid tak ada kesempatan untuk menghubungi Nisa. Sehinggalah Yazid terbaca artikel dalam majalah tentang kejayaan Anisa membangunkan Kedai Kek D'Yaz ni." Panjang lebar Yazid menerangkan duduk perkara yang sebenar.
Anisa hanya tersenyum. Namun dalam hati, dia memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana doanya termakbul. Saat dia ditemuramah tempoh hari, dia berdoa agar Yazid yang menetap di Singapura itu terbaca artikel itu dan segera menghubunginya.
"Kenapa diam saja? Nisa tak suka Yazid datang ke?" Soal Yazid sambil merenung anak mata Anisa. Perasaan Anisa semakin berdebar.
"Siapa cakap Nisa tak suka? Sebenarnya, Nisa suka sangat. Suka sampai tak terkata." Yazid ketawa mendengar jawapan Anisa. Anisa mula tersedar. Dia dapat rasakan ada unsur kelucuan dalam jawapannya sebentar tadi. Ditambah pula dengan mimik mukanya yang kelihatan begitu bersungguh-sungguh sewaktu menuturkannya. Menyedarkan itu, akhirnya Anisa turut ketawa.
"Kenapa Nisa tak tukar nama kedai ni?" Soal Yazid setelah tawa mereka reda.
"Sebab nama tu ada sentimental value, " ujar Anisa sambil tersenyum memandang Yazid. Yazid turut membalas pandangan itu. Namun, Anisa dapat rasakan, pandangan Yazid jauh berbeza. Hati Anisa dilanda debaran sekali lagi.
"Err..dah lama Yazid sampai, kan ? Tapi Nisa tak hidangkan air pun. Marilah kita keluar. Boleh Yazid rasa hidangan yang ada di kedai ni." Anisa cuba mengubah topik untuk menutup debaran hatinya. Yazid mengangguk. Mereka beriringan menuju ke meja hidangan di luar. Setelah mempersilakan Yazid duduk, Anisa berlalu membuatkan minuman dan mengambil hidangan untuk Yazid.
"Jemput minum, Yazid." Anisa melabuhkan punggungnya berhadapan dengan Yazid setelah meletakkan hidangan di atas meja. Anisa hanya memerhati Yazid yang sedang meneguk minuman coklat panas yang menjadi minuman utama di kedai itu.
"Sedap," ujar Yazid setelah meletakkan kembali kole seramik ke atas meja. Anisa tersenyum mendengar pujian itu.
"Takkan pandang saja. Cubalah rasa," pelawa Anisa.
Yazid tersenyum. Dia mula merasa hidangan di depan matanya. Keenakan puding jagung, nyata begitu luar biasa rasanya. Sambil menikmati keenakannya, Yazid mengangguk beberapa kali. Anisa tersenyum melihatkan gelagat Yazid.
"Kek gulung?" Soal Yazid saat dia ingin menikmati hidangan terakhir.
"Bukan kek gulung. Tapi, baulu gulung." Dahi Yazid sedikit berkerut mendengar jawapan Anisa. Namun dia tidak bertanya lanjut kerana dia sangat teruja untuk menikmati keenakan baulu gulung.
"Sedap." Akhirnya Yazid bersuara. "Nisa memang kreatif. Sebab tu kedai ni hidup semula." Sekali lagi Yazid memuji Anisa penuh dengan keikhlasan.
"Nisa tak nafikan, Yazid. Disebabkan puding jagung dan baulu gulung inilah kedai ni hidup semula."
Anisa tiada cara lain untuk menghidupkan kedai itu selepas pemergian dua orang pekerjanya, Yati dan Ija. Anisa terpaksa mencuba resipi baru, iaitu puding jagung dan baulu gulung. Cubaannya berhasil. Saban hari, ada sahaja orang perseorangan atau syarikat-syarikat yang ingin mengadakan jamuan atau mesyuarat menempah puding jagung dan baulu gulung buatannya.
Sejak itu, pelbagai jenis puding dihasilkan Anisa mengikut tempahan para pelanggan. Begitu juga dengan baulu gulung. Pelbagai perisa jem baulu gulung disediakan mengikut selera dan permintaan para pelanggan. Namun begitu, Anisa masih mengekalkan menu utamanya, iaitu kek. Pelbagai jenis kek juga dihasil dan dijual di kedai itu.
"Jauh menung. Ingatkan tunang ke?" Sapa Yazid, mematikan lamunan Anisa.
"Buat apa nak diingatkan lagi. Dia dah bahagia dengan isteri dia." Ujar Anisa selamba. Yazid mula rasa serba salah.
"Maafkan Yazid, Nisa. Yazid tak tahu..."
"Tak apa, Yazid. Nisa tak kisah. Lagipun, Nisa sedar, gadis tempang macam Nisa ni, tak ada siapa pun yang sudi." Nada suara Anisa mula bergetar.
"Jangan cakap macam tu, Nisa. Bagi Yazid, tempang bukan penghalang untuk Nisa mengecap bahagia." Yazid mengesat air mata Anisa yang mula menitis.
"Izinkan Yazid untuk membahagiakan Nisa." Anisa terpempan buat seketika waktu. Dia tidak menyangka bahawa Yazid akan menuturkan kata keramat itu. "Cukuplah setahun Tambak Johor memisahkan kita, Nisa."
Sekali lagi air mata kesyukuran Anisa menitis. Sambil menitiskan air mata, sempat juga mata Anisa mengerling ke arah puding jagung dan baulu gulung.
'Kau telah menghidupkan kembali kedai ini dan kau juga telah menyaksikan cinta kami.' Detik hati Anisa seolah-olah puding jagung dan baulu gulung mengerti isi hatinya.
Oleh Zaidah Md Yusoff Cerpen - Puding Jagung Baulu Gulung
5 Komen:
tak best lah.......cter tergantung
bestlah...sedih2 romantik
xbpe phmla..
npe msa xcident, nisa ckp kalo x xcdnt xthu ati budi tunang die??
Ooo sbb tunang die xlwat die kat hspital eh??
boleh la....cuma kurang mnarik minat.
xbez lgsung...
reject2..