Motivasi Jimat Belanja


Share on Tumblr
Kekayaan bukanlah sesuatu yang mudah diperoleh, walaupun mungkin ada segelintir yang bernasib baik dilahirkan dalam keluarga yang kaya raya.

Tetapi tidak mustahil untuk seseorang itu mengumpul kekayaan. Mungkin dalam zaman ekonomi yang serba tidak menentu ini, ramai yang merasakan agak sukar untuk menyimpan dan mengumpul kekayaan.


Bagaimanapun, perkara itu tidak mustahil kerana dengan kaedah penjimatan serta mengurangkan pembaziran terutama kepada bahan yang tidak diperlukan dalam kehidupan seharian, pastinya kita mampu menyimpan dan mengumpul kekayaan walau dalam kegawatan ekonomi pun.

Mungkin penjimatan seringgit dua dalam setiap pembelian keperluan harian termasuk makanan tiada makna bagi kita, tetapi cuba bayangkan jumlah yang boleh dijimatkan dalam tempoh yang panjang walaupun hanya bermula dengan jumlah yang kecil.

Satu cara untuk berjimat ialah menanam sendiri sayuran dan buah-buahan di kawasan rumah. Jika tidak mempunyai kawasan laman untuk ditanam sayuran atau buah-buahan atau laman sudah penuh bersimen, penggunaan pasu adalah cara paling sesuai untuk menanam sayuran atau ulam.

Serai, daun pandan, cili dan kunyit adalah antara tanaman yang boleh hidup jika ditanam dalam pasu. Jadi, secara tidak langsung perbelanjaan dapur dapat dikurangkan. Walaupun tidak banyak, tetapi jika setiap hari kita memasak menggunakan tanaman yang ditanam sendiri pastinya mampu mengurangkan perbelanjaan bulanan dan juga lebih menyihatkan.

Selain itu, kita juga boleh mengumpul semua botol bahan cucian di rumah termasuk syampu, gel mandian dan bahan peluntur yang masih berbaki setengah atau sedikit dan gunakan sehingga benar-benar habis, barulah ke kedai untuk membeli yang baru atau lebih murah beli yang boleh diisi semula.

Sentiasa mengehadkan perbelanjaan seharian termasuk dapur dan kekalkan had itu bagi mengelakkan kita berbelanja yang berlebihan dengan membeli barang keperluan harian yang tidak penting.

Setiap kali mendapat kenaikan gaji atau pemberian bonus oleh pihak majikan, masukkan lebihan gaji itu ke dalam akaun simpanan yang tidak mempunyai kad pengeluaran automatik (ATM) untuk kegunaan ketika kecemasan dan kegunaan masa tua.

Sentiasa merekodkan perbelanjaan bulanan supaya kita tahu ke mana perginya gaji kita setiap bulan. Merekodkan perbelanjaan boleh mengawal perbelanjaan kita.

Di sini, kita mudah untuk menentukan apa yang perlu dipotong atau dijimatkan pada bulan akan datang. Jika kita merekodkan perbelanjaan bulanan tentunya timbul kesedaran untuk berjimat dari bulan ke bulan.

Ada juga berpendapat menggunakan kad kredit ketika berbelanja boleh menjimatkan dengan syarat pembayarannya dibuat sepenuhnya pada setiap kali menerima bil. Bagaimanapun, kita perlu mempunyai disiplin tinggi kerana kadang-kala menggunakan kad kredit kita sering terlupa dan berbelanja lebih dari kemampuan bulanan kita.

Berbelanja ketika jualan murah pastinya boleh menjimat perbelanjaan. Tetapi kita juga perlu berhati-hati kerana ada juga pihak yang menawarkan harga barangan pada kadar rendah tetapi sebenarnya harga asal adalah sama.

Belajar mengeluarkan sedikit daripada wang dalam dompet untuk disimpan di tempat lain.

Setiap bulan perlu ada penyimpanan secara automatik sama ada untuk pendidikan anak-anak, melancong dan kesihatan.

Sediakan carta mengenai hutang dan harta yang dimiliki termasuk pinjaman pendidikan, kereta, rumah dan wang simpanan. Ia adalah sebahagian daripada motivasi apabila kita melihat carta itu dan bagaimana hutang semakin berkurangan dan simpanan meningkat setiap bulan.

Setiap sesuatu memerlukan langkah pertama. Mulakan langkah yang bijak untuk menangani krisis perbelanjaan harian yang berlebihan.

Motivasi Jimat Belanja

2 Komen:

Zairi Faiezil berkata...

Salam..

1 perkongsian tip yang berguna kepada kita semua terutama pada saya kerana amalan jimat cermat harus ditanamkan dalam diri supaya dapat kita menyimpan untuk masa akan datang mungkin diperlukan untuk saat2 kecemasan..

Seorang jutawan juga mengamalkan amalan ini apatah lagi kita yang kurang serba-serbi..

Tq

Tanpa Nama berkata...

tips yg sgt berguna.... :)

sbg tambahan, sy amalkan kumpulkan RM1 sehari smpai ujung thn...w/pon x seberapa tp sgt hepi sbb sikit2 lama2 jd bukit :D

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.